Isnin, 10 September 2012

Info Ilmu: Kesalahan Kata Pinjaman?

Sila kesan kesalahan pada papan tanda ini.


Kebelakangan ini kita selalu berhadapan dengan kata pinjaman dalam apa sahaja jenis tulisan.  Bagi saya,  kata pinjaman yang digunakan dalam bahasa Melayu tidaklah melampau.  Tujuannya adalah untuk memperkayakan kosa kata bahasa Melayu dan hasil tulisan yang lebih menarik.

Kita lihat dua teks di bawah ini :
Walau pun rumahnya besar, tetapi mereka tidak mempunyai tempat penaruhan kereta yang khas.
Walaupun rumahnya besar, tetapi mereka tidak mempunyai garaj.

Maksud kedua-dua ayat di atas adalah sama.  Namun, penggunaan kata pinjaman memberi kemudahan kepada penulis untuk menulis maksud yang hendak disampaikannya.  Akan tetapi, kadang-kadang timbul pula masalah lain, misalannya penulis ghairah menggunakan kata pinjaman sehingga ejaan kata pinjaman tersebut  dimelayukan.  Dengan kata lain, penulis ghairah menggunakan perkataan asal tanpa menukarkan ejaannya mengikut garis pandu yang telah disediakan.

Di sini, saya senaraikan info serba sedikit  cara mengeja kata pinjaman terutamanya yang berasal dari perkataan bahasa Inggeris (seterusnya BI) :



Huruf  ‘ai’ dalam BI menjadi  ‘e’  dalam BM, contohnya :
Mail                       menjadi                              mel


Huruf ‘c’  (sebelum e,I dan y) yang dilafazkan sebagai [s] dalam BI akan menjadi ‘s’ dalam BM, contohnya :
December                          menjadi                              Disember


Huruf ‘cc’ dalam BI akan menjadi ‘k’ dalam BM, contohnya :
Account                              menjadi                              akaun


Vokal gandaan ‘oo’ dalam BI menjadi vokal tunggal ‘u’ dalam BM, contohnya :
Monsoon                           menjadi                              monsoon


Huruf ‘x’ dalam dalam BI menjadi ‘ks’ dalam BM, contohnya :
Taxi                       menjadi                              teksi


Akhiran ‘-ive’ dalam BI akan menjadi ‘-f’ dalam BM, contohnya :
Positive                               menjadi                              positif


Huruf ‘sh’ dalam BI menjadi ‘sy’ dalam BM, contohnya :
Fashion                               menjadi                              fesyen


Huruf g yang dilafazkan [Ĵ] dalam BI akan menjadi ‘j’ dalam BM :
Message                             menjadi                              mesej

Dengan adanya penjelasan di atas, diharap mulai sekarang kita akan lebih peka dan akan dapat mengurangkan kesalahan penggunaan ejaan bagi kata-kata pinjaman.  Untuk menguji minda dan kefahaman terhadap ejaan kata pinjaman, anda boleh mencuba latihan berikut: 
Cushion            =________________________
Express             =________________________
Workshop         =________________________
Boot                  =________________________
Cent                  =________________________
Sausage            =________________________
Active              =________________________
Affective          =________________________
Scooter             =________________________
Complex           =________________________

Disediakan :
Hjh.Masnordina
11M8168

Seindah Bahasa: Keikhlasan dan Semut?




Melalui segmen Seindah Bahasa kali ini, saya kemukakan mutiara kata yang berbunyi ‘keikhlasan diumpamakan seperti seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam’. 

Apakah yang dimaksudkan dengan keikhlasan? Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), keikhlasan bermaksud kesucian hati dan ketulusan jiwa.   Berlaku ikhlas, tidak semudah seperti mengatakannya.  Perkara ini pernah diakui oleh salah seorang ulama besar Sufyan ats-Tsauri.  Beliau berkata, “Tidak ada suatu perkara yang paling berat bagiku untuk aku ubati daripada meluruskan niatku, kerana niat itu sering berubah-ubah terhadapku.”

Keikhlasan juga merupakan rahsia hati seseorang individu.  Ia begitu samar dan tersembunyi sehingga begitu sulit bagi diri seseorang atau orang lain untuk mengukurnya.  Jadi, disebabkan kesamaran dan tersembunyinya sifat sesebuah keikhlasan itu, ia diumpamakan seperti seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang amat kelam.   

Persoalannya sekarang, sejauh manakah keikhlasan anda dalam melakukan apa jua perkara?  Bagaimanakah penilaian orang di sekeliling anda tentang keikhlasan anda?


Sekian.

Dikongsikan Oleh:
Cikgu Ros Linawati
    



Ahad, 9 September 2012

Seni Kreatif: Ambuyat Nenekku




Video ini dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Tahun 9GS-1 Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait pada tahun 2010.  Ia dihasilkan sebagai salah satu projek.  Tujuan projek ini dijalankan adalah untuk menggalakkan pelajar-pelajar supaya mengenali bahasa puak-puak Melayu jati di Brunei.  Salah satu bahasa puak yang dimaksudkan ialah bahasa puak Belait seperti yang dipaparkan melalui video di atas. Selain itu, projek ini juga diadakan dengan tujuan untuk mencungkil kreativiti dan mengasah bakat yang ada pada diri pelajar.  

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang menjayakan projek ini.  Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang turut terlibat dalam pembikinan video yang ‘simple’ dan sederhana ini.

Mesra Hm

Asam Garam Duniaku: Dulu dan Sekarang?


Sedikit terkilan apabila mendengar kereta guru tercalar, cermin kereta pecah, paku pula terpacak pada tayar, malah ada di antara segelintir pelajar berani  membuat perjanjian perjumpaan dengan  guru di luar sekolah atau lebih popular dengan panggilan ‘mengintai’ tidak mengira sama ada guru tersebut tua, muda, lelaki atau perempuan.  Adakah kerana teguran akibat tidak membawa buku, tidak menghantar kerja rumah, melarang bercakap sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi kesalahan yang besar kepada pelajar.  Saya ingin mengimbas kembali kenangan semasa tahun 80-an ketika saya masih bersekolah di sekolah rendah.  Betapa garangnya guru tika itu.  Dirotan, berdiri di bawah terik matahari, berlari turun naik tangga, pusing keliling padang.  Pelajar pada ketika itu tidak mengeluh, malahan  mereka berasa bersyukur kerana perkara tersebut dapat menyedarkan mereka akan kesilapan yang dibuat.  Malah ramai yang berjaya atas didikan guru pada waktu itu. Sikap hormat kepada guru pada waktu itu tidak terhingga.  Jauh berbeza dengan keadaan masa kini.  Mengapakah agaknya perbezaan ini begitu jauh?  Mungkin adakah dalam kalangan kita mengatakan bahawa zaman ini merupakan zaman atom? Terpulanglah kepada anda untuk menilai keadaan ini?

Mesra Hm.

Sabtu, 8 September 2012

Berfikir Sejenak: Susah Sangatkah Nak Menekan Isyarat Lampu Kereta?


Kemalangan jalan raya sering berlaku disebabkan kecuaian pemandu! Sehingga musim Aidilfitri tahun 2012 ini saja telah banyak kes yang dilaporkan dan ramai pula yang telah terkorban.  Minta kita semua, ahli keluarga dan semua yang kita kenali sentiasa berada dalam rahmat-Nya, amin...

Kali ini saya tergerak untuk membincangkan isu sebilangan pemandu yang malas menggunakan lampu isyarat.  Saya percaya semua kenderaan di negara ini dilengkapi dengan kemudahan tersebut.  Ketahuilah bahawa menyalakan lampu isyarat kenderaan sebelum memasuki simpang sememangnya sangat penting.  Namun, saya telah sering berhadapan dengan jenis pemandu yang boleh saya katakan pemalas, sombong dah membahayakan orang lain! 

Saya tidak tahu sebab mereka malas hendak berbuat demikian, padahal bukannya susah sangatpun. Keengganan menggunakan lampu isyarat ke kiri atau ke kanan sememangnya boleh menyusahkan pengguna jalan raya yang lain, malah boleh menyebabkan kemalangan.  Saya harap pihak berwajib akan dapat memikirkan hal ini, khasnya dari segi penguatkuasaan undang-undang.   Kempen-kempen kesedaran mengenainya juga perlu dihebahkan sebelum sikap dan mentaliti buruk ini semakin menjadi-jadi.  


‘Kecuaian yang dianggap remeh boleh mencetuskan masalah besar, fikirkanlah…’

Oleh:
Cikgu Md. Husaini