Memaparkan catatan dengan label Tunjuk Ajarku Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tunjuk Ajarku Guru. Papar semua catatan

Rabu, 30 Januari 2013

Tunjuk Ajarku guru: Perenggan Penutup?



PERENGGAN PENUTUP
Binaan perenggan penutup adalah seperti berikut:
1.                  Rumusan/Kesimpulan 
2.                  Cadangan/Harapan 
3.                  Pendirian penulis

Contoh Perenggan Penutup:
Masalah remaja lari dari rumah merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.  Pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi menangani masalah ini khususnya ibu bapa dengan cara memberikan kasih sayang dan meluangkan masa bersama anak masing-masing, memberi didikan agama dan sebagainya.  Dengannya adanya langkah-langkah ini, gejala sosial lain yang tidak diingini akan dapat dielakkan.       

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Selasa, 29 Januari 2013

Tunjuk Ajarku Guru: Menulis Perenggan Isi?



Melalui segmen 'Tunjuk Ajarku Guru' pada kali ini, saya akan memberikan tips yang berguna kepada pelajar tentang teknik menulis perenggan isi.

PERENGGAN ISI 
a)     Binaan perenggan isi adalah seperti berikut:

1.         Isi Penting

2.         Huraian  (Isi-isi sampingan dan contoh).



b)  Untuk memperlihatkan perkaitan antara satu perenggan isi dengan perenggan yang lain, gunakanlah penanda wacana seperti namun demikian, walau bagaimanapun, tambahan pula dan sebagainya.



c)    Pelajar perlu menyediakan rangka karangan sebagai panduan untuk menulis setiap perenggan isi dengan baik sebelum memulakan penulisan.  Bentuk rangka karangan yang disediakan adalah bebas mengikut kreativiti pelajar. 



d)   Rangka karangan (yang berupa peta minda) ini mengandungi jawapan-jawapan ringkas kepada persoalan-persoalan seperti “Apa?”, “Siapa?”, “Di Mana?”, “Mengapa?” dan “Bagaimana?”





Contoh Rangka Karangan : Isi Penting 1

Kurangnya perhatian/kasih sayang ibu bapa

Apa? (Maksud)
Ibu bapa tidak mempedulikan

Mengapa? (Punca)
·          Sibuk dengan urusan kerja
·          Tidak ada masa bersama anak-anak

Apa? (Kesan)?
·          Anak ditinggalkan dengan orang gaji
·          Anak bosan

Apa? (Langkah)?
·          Mencari hiburan di luar rumah


 
Contoh Perenggan Isi:
Kurangnya perhatian atau kasih sayang daripada ibu bapa merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah remaja lari dari rumah.  Hal ini berlaku kerana kebanyakan ibu bapa kini sibuk dengan urusan di tempat kerja.  Ada di antara mereka yang balik lewat malam sehingga tidak punya masa untuk bersama dengan anak-anak.  Segala urusan anak-anak diserahkan kepada pembantu rumah atau kepada orang tua mereka.  Akibatnya, anak-anak berasa bosan duduk di rumah dan mengambil jalan penyelesaian dengan mencari hiburan di luar rumah.  Salah satu caranya ialah dengan lari dari rumah.

Sekian, dikongsikan.

Oleh:
Cikgu Ros Linawati 


Jumaat, 25 Januari 2013

Tunjuk Ajarku Guru: Menulis Perenggan Pendahuluan?


Melalui segmen "Tunjuk Ajarku Guru" pada kali ini, saya akan memberi serba sedikit panduan kepada para pelajar tentang teknik menulis perenggan pendahuluan (khususnya bagi karangan jenis pendapat/perbincangan).  Semoga panduan ini akan dapat membantu para pelajar menghasilkan perenggan pendahuluan yang baik.

 

PERENGGAN PENDAHULUAN 
Binaan perenggan pendahuluan adalah seperti berikut:

  1. Ayat Rangsangan [Memperkenalkan tajuk]
  2. Huraian Sokongan [Definisi/Maksud/Erti tajuk dan contoh-contoh]
  3. Ayat Arah [Memperkenalkan kunci tajuk].


Contoh Soalan 1:

Kes remaja lari dari rumah merupakan kes yang sering diperkatakan pada zaman kini. Bincangkan punca-punca berlakunya masalah ini.


Tajuk bagi Soalan 1 : Kes remaja lari dari rumah


Kunci tajuk bagi Soalan 1: Punca-punca


Contoh Perenggan Pendahuluan:

[1] Golongan remaja sering dikaitkan dengan masalah lari dari rumah. [2] Mereka merupakan golongan yang berusia antara 12 hingga 18 tahun dan biasanya berada dan bersekolah di peringkat sekolah menengah.  Manakala, lari dari rumah bermaksud meninggalkan rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.    [3] Dalam hal ini, terdapat beberapa punca berlakunya kes remaja lari dari rumah seperti yang akan dibincangkan berikut:


UJI DIRI :
LATIHAN MENULIS PERENGGAN PENDAHULUAN

Bina perenggan pendahuluan bagi soalan-soalan berikut:


  • Sejak kebelakangan ini, kita sering didedahkan dengan berita-berita kemalangan jalan raya.  Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya masalah tersebut?
  • Bincangkan kebaikan dan keburukan telefon bimbit.


Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati