Memaparkan catatan dengan label Seindah Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seindah Bahasa. Papar semua catatan

Selasa, 2 Oktober 2012

Seindah Bahasa: Yang Mana Satu Pilihan Anda? Cari 'Jalan' atau 'Alasan'?



Melalui segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini, saya tertarik untuk membincangkan tentang peribahasa Arab yang saya temui melalui blog www.penpatah.blogspot yang berbunyi “Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan”.   Peribahasa ini membawa maksud bahawa manusia akan sanggup melakukan atau berbuat apa sahaja bagi mendapatkan sesuatu yang diingininya, akan tetapi, sebaliknya akan memberi pelbagai alasan atau berdolak-dalih jika dia tidak menginginkan sesuatu.    

Jika dikaitkan dengan konteks kehidupan pelajar, peribahasa ini memberi peringatan agar pelajar sentiasa mempunyai keinginan dan semangat yang kuat untuk menuntut ilmu pengetahuan.  Dengan kata lain, untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan, iaitu memperolehi keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan, seseorang pelajar perlulah mencari ‘jalan’ yang sesuai dan dapat memberi kesan yang efektif.  ‘Jalan’ yang dimaksudkan di sini ialah cara atau teknik yang boleh dilakukan untuk membantu mereka mencapai kejayaan seperti yang diidam-idamkan.  Terdapat banyak ‘jalan’ sebenarnya.  Antaranya ialah dengan memberi perhatian terhadap apa jua ajaran atau penerangan yang diberikan oleh guru di dalam kelas, membuat segala kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru, mendengar nasihat guru, membuat persediaan sebelum masuk ke dalam kelas, membuat ulang kaji lebih awal dan sebagainya.  Akan tetapi,  mencari ‘jalan’ sahaja tidaklah mencukupi.  Ini kerana ‘jalan’ tanpa USAHA merupakan perkara yang sia-sia.  Dengan kata lain, pelajar perlu juga MELAKUKAN atau MEMBUAT SESUATU mengikut ‘jalan’ yang dipilih tadi. 


Bagi pelajar yang malas atau kurang bermotivasi untuk belajar, sudah setentunya akan memberi pelbagai alasan.  Contohnya ketika dikehendaki oleh guru untuk membuat kerja rumah, mereka akan memberikan pelbagai alasan yang kadang kala tidak munasabah.  Mengikut pengalaman, pelajar-pelajar seperti ini akan sering memberi alasan ‘tertinggal’ atau ‘terlupa’.   Bila ditanya kenapa ‘tertinggal’ atau ‘terlupa’?  Jawapannya pelbagai.  Kadang-kadang logik, namun, ada juga yang tidak logiknya.  Walau dimarah atau diberi peringatan oleh guru berulang-ulang kali, namun, segala peringatan bagai ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.  Mereka tidak akan serik melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali.  Bagi mereka, tidak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu masalah ‘biasa’.  Mereka kreatif dalam mencipta idea-idea ketika mengemukakan ‘alasan’ kepada guru.  Walhal sepatutnya idea-idea kreatif seumpama ini lebih baik digunakan untuk perkara-perkara yang positif sahaja.



Oleh itu, sebagai seorang pelajar, yang mana satukah pilihan anda jika hendak berjaya dalam bidang akademik?  Adakah anda ingin mencari ‘jalan’ atau mencari ‘alasan’?  Ingatlah, ‘alasan’ memang boleh dicari dengan mudah, sedangkan ‘jalan’ perlulah dilalui dengan ketabahan dan kesabaran kerana ia penuh berliku.   Kata orang  ‘Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih’.          


Dihasilkan sepenuhnya oleh:
Cikgu Ros Linawati


Jumaat, 28 September 2012

Seindah Bahasa: Tolong dan Terima Kasih?





Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Dalam segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini saya ingin membincangkan perkataan yang sering didengar tetapi agak jarang diungkapkan, iaitu ‘tolong’ dan ‘terima kasih’.  Saya tertarik untuk mengetengahkan tajuk ini setelah membaca tulisan Nur Syamimi Mohamad Napis di dalam laman sesawang ILoveIslam.com.  Hal yang boleh saya rumuskan setelah membaca tulisan ini  ialah perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ mencerminkan keperibadian yang mulia dan sangat penting dalam kehidupan kita.

Bagi masyarakat Barat, kedua-dua perkataan ini menjadi satu kelaziman dalam pertuturan seharian.  Hal ini kerana tanpa menggunakan perkataan-perkataan ini kita boleh dianggap tidak sopan atau biadab.  Dalam hal ini penulis telah membawakan beberapa senario sebagai contoh seperti berikut:

"Can you press for me level 7, please…" pinta seorang Kiwi (orang New Zealand), semasa penulis berada di dalam lif di perpustakaan universiti.

"Sure!" balas penulis sambil jari menekan butang lif.

"Cheers!" Dia membalas.

Seterusnya dalam satu kejadian lain…

"Excuse me, can you take that for me. Please..." pinta seorang makcik.

"Which one? This one?" sambil memegang tin penulis menunjukkan kepada makcik yang meminta.

"Yup. Thank you so much, my love!"

Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'!  Penulis berasa gembira dengan jawapan balas makcik tersebut.

Tetapi dalam satu kejadian lain, penulis mengongsikan pengalaman beliau semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki sebuah bas.  Senario rakan penulis membayar tambang bas kepada pakcik pemandu:

Dikatakannya, "university."  Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50.

"Sorry?"  Ujar pakcik pemandu bas tersebut sambil air mukanya berubah.

Rakan penulis mengulang perkataan yang sama, "University."

Pakcik tersebut,"again...?"

Ketika itu penulis sudah mulai berasa pelik.  Di dalam hati penulis, "Eh, teruk sangat ke slang kita orang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"

Rakan penulis menyebut lagi, "University."   Air muka rakan penulis tetap tidak berubah, tetap tersenyum.

Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.

Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, penulis dan rakannya berfikir, kenapa pakcik tersebut marah?  Apakah yang membuatnya marah?  Lantas, Allah SWT mendatangkan pengajarannya. 

Rakan penulis berkata, "mesti sebab kita tak guna perkataan please...”

* * *

Mungkin bagi sesetengah individu, senario seperti di atas adalah kejadian biasa-biasa saja.  Malah menurut beliau, beliau sendiri bukanlah seorang yang terlalu peka tentang keadaan, tetapi untuk masa-masa yang tertentu, beliau menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling.  Senario tersebut telah mengajak beliau untuk berfikir, menilai dan mempelajari erti kehidupan.   Jadi, apakah yang boleh dipelajari daripada contoh yang diberikan penulis ini?

Penulis telah membuat perbandingan dengan situasi yang hampir sama tetapi dengan latar masyarakat yang berbeza, iaitu dalam masyarakat kita, orang-orang Melayu seperti dialog berikut:

"Mimi, ambilkan buku di atas meja..."

Penulis berhenti sekejap.  Diam.  Otaknya ligat berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.  Akhirnya badannya bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.

"Mimi, buka pintu rumah," nada suaranya biasa sahaja.  Tiada nada marah, mahupun mengarah. Penulis diam.  Akhirnya pintu dibuka.

Hati penulis memberontak.  Penulis sememangnya mahu juga berkata tentang apa yang beliau rasa pada rakan sekeliling.  Akhirnya, pada masa senggang yang ada penulis telah membuat perbincangan dengan rakan beliau, dengan harapan rakan juga boleh berfikir tentangnya.

"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'?" penulis memulakan bicara.

"Macam mana?" Ijan menyoal untuk mengetahui.

"Saya selalu perasan, kawan-kawan kita jarang menggunakan perkataan 'tolong'.  Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan," ujar penulis.

"Saya selalu perasan jugak, orang-orang di sini kalau hendak meminta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, ‘please’.  Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan ‘please’ tu."

Egokah diri, sebab tak mahu 'diarah'?  Bukan.  Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sikap si penutur perkataan tersebut.

Penulis tahu bahawa mengungkapkan perkataan ‘please’ tidak bererti meminta 'tolong'.  Malah, tidaklah terlalu berat atau susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.  Dalam hal ini, penulis mengulas bahawa bukankah perkataan 'tolong' itu menunjukkan rasa rendah diri?  Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu.  Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan penulis bahawa manusia tidak ada yang sempurna.  Dari itu, manusia perlu untuk hidup dalam komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain. 

Dalam konteks ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ ini, penulis seterusnya menjelaskan berdasarkan  monolog berikut:

"Eh, dah lah nak minta tolong orang.  Lepas itu nak mengarah pula!"  Detik penulis di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu.  Pada hal bukanlah penulis sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan penulis rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau difikirkan tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' sebenarnya.

Lagi teruk keadaannya apabila setelah permintaan dipenuhi, perkataan 'terima kasih' tidak dilafazkan.  Menurut penulis, ucapan terima kasih adalah tanda penghargaan kepada yang telah membantu.  Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?

Sememangnya hal inilah yang menjadi realiti dalam hidup masyarakat Melayu kita.  Kita sudah cukup bagus dalam menegakkan budaya bersopan santun dan berbudi bahasa.  Tetapi dalam hal ini saya akur dengan teguran penulis.  Kita kekurangan sesuatu yang cukup bernilai tetapi kita masih boleh memperbaiki dan mengubahnya.  

Saya sangat tertarik dengan pesanan penulis:  Jangan ditinggalkan perkataan 'tolong' dan 'terima kasih' dalam hidup sehari-hari.  Hakikatnya, kita lemah.  Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta! 

Seterusnya dengan komentar seorang pengunjung laman sesawang tersebut, iaitu “Jikalau dipikirkan memang tak sedar dek akal.  Selama ini apa yang kita sebut adalah arahan semata-mata.  Patutlah kadang-kadang orang yang kita arah itu mengikut kata tapi dengan muka yang masam...”

Maka, gunakanlah perkataan ‘tolong’ atau perkataan lain yang mempunyai maksud yang sama konsepnya dalam konteks perbualan harian kita seperti ‘boleh’, ‘dapat’ dan sebagainya.  Sentiasalah juga kita hendaknya mengucapkan ‘terima kasih’.  Jadikanlah ungkapan-ungkapan atau bahasa-bahasa indah ini sebagai kebiasaan lidah kita.


"Manners are not born with us, they are acquired."



Disediakan oleh:
Muhammad Husaini

Disesuaikan dan diubah suai daripada:
‘Kehebatan Tolong dan Terima Kasih’,


Sabtu, 22 September 2012

Seindah Bahasa: Antara Bahagia dan Bersyukur?



Melalui Segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini, saya ingin mengemukakan mutiara kata yang berbunyi ‘Bukan Kebahagiaan yang Menjadi Kita Bersyukur tapi Bersyukurlah yang Membuat Kita Bahagia’.  Melalui mutiara kata yang dikemukakan di atas, terdapat dua perkataan yang menjadi dasar pemikiran kita, iaitu pertama, ‘bahagia’ dan kedua, ‘bersyukur’. 

Pada hakikatnya, bahagia ini tidak boleh diukur dengan material.   Ini kerana seseorang yang mempunyai harta yang banyak tidak semestinya berasa bahagia jika dia tidak disayangi atau dicintai, atau tidak dapat berkongsi kisah suka duka dengan orang yang disayangi atau dicintai.  Oleh itu, bahagia itu bermaksud ‘kebebasan’, ‘keringanan’ dan ‘ketenangan’ jiwa seseorang tanpa mempersoalkan apa-apa...    Dengan kata lain, ‘bahagia’ itu hanya dapat dirasai oleh ‘hati’, ‘perasaan’ dan ‘jiwa’ seseorang individu dan jarang dapat dilihat dengan mata kasar.




Manakala, 'bersyukur' pula bermaksud menerima dan memanfaatkan segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita sesuai dengan tujuan Allah memberikan kenikmatan itu kepada kita.  Sederhananya, bersyukur itu menikmati kenikmatan Allah dengan cara yang redha. 



Namun, persoalannya ialah bahagia dan bersyukurkah kita dengan apa yang kita ada?   Bersyukurkah kita dengan nikmat bahagia yang kita kecapi?  Apakah perkara-perkara yang membuatkan kita bahagia dan bersyukur itu?  Wang?  Harta? Pangkat?  Kekasih?  Anak?  Pasangan? Kasih sayang? Atau segala-galanya?  Persoalan –persoalan ini akan saya tinggalkan kepada anda untuk menjawabnya kerana sesungguhnya, segala pilihan adalah terletak di tangan anda...

Sekian.

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Rujukan:
1.                   Facebook: Dunia Macam-macam