Selasa, 2 Oktober 2012

Seindah Bahasa: Yang Mana Satu Pilihan Anda? Cari 'Jalan' atau 'Alasan'?



Melalui segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini, saya tertarik untuk membincangkan tentang peribahasa Arab yang saya temui melalui blog www.penpatah.blogspot yang berbunyi “Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan”.   Peribahasa ini membawa maksud bahawa manusia akan sanggup melakukan atau berbuat apa sahaja bagi mendapatkan sesuatu yang diingininya, akan tetapi, sebaliknya akan memberi pelbagai alasan atau berdolak-dalih jika dia tidak menginginkan sesuatu.    

Jika dikaitkan dengan konteks kehidupan pelajar, peribahasa ini memberi peringatan agar pelajar sentiasa mempunyai keinginan dan semangat yang kuat untuk menuntut ilmu pengetahuan.  Dengan kata lain, untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan, iaitu memperolehi keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan, seseorang pelajar perlulah mencari ‘jalan’ yang sesuai dan dapat memberi kesan yang efektif.  ‘Jalan’ yang dimaksudkan di sini ialah cara atau teknik yang boleh dilakukan untuk membantu mereka mencapai kejayaan seperti yang diidam-idamkan.  Terdapat banyak ‘jalan’ sebenarnya.  Antaranya ialah dengan memberi perhatian terhadap apa jua ajaran atau penerangan yang diberikan oleh guru di dalam kelas, membuat segala kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru, mendengar nasihat guru, membuat persediaan sebelum masuk ke dalam kelas, membuat ulang kaji lebih awal dan sebagainya.  Akan tetapi,  mencari ‘jalan’ sahaja tidaklah mencukupi.  Ini kerana ‘jalan’ tanpa USAHA merupakan perkara yang sia-sia.  Dengan kata lain, pelajar perlu juga MELAKUKAN atau MEMBUAT SESUATU mengikut ‘jalan’ yang dipilih tadi. 


Bagi pelajar yang malas atau kurang bermotivasi untuk belajar, sudah setentunya akan memberi pelbagai alasan.  Contohnya ketika dikehendaki oleh guru untuk membuat kerja rumah, mereka akan memberikan pelbagai alasan yang kadang kala tidak munasabah.  Mengikut pengalaman, pelajar-pelajar seperti ini akan sering memberi alasan ‘tertinggal’ atau ‘terlupa’.   Bila ditanya kenapa ‘tertinggal’ atau ‘terlupa’?  Jawapannya pelbagai.  Kadang-kadang logik, namun, ada juga yang tidak logiknya.  Walau dimarah atau diberi peringatan oleh guru berulang-ulang kali, namun, segala peringatan bagai ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.  Mereka tidak akan serik melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali.  Bagi mereka, tidak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu masalah ‘biasa’.  Mereka kreatif dalam mencipta idea-idea ketika mengemukakan ‘alasan’ kepada guru.  Walhal sepatutnya idea-idea kreatif seumpama ini lebih baik digunakan untuk perkara-perkara yang positif sahaja.



Oleh itu, sebagai seorang pelajar, yang mana satukah pilihan anda jika hendak berjaya dalam bidang akademik?  Adakah anda ingin mencari ‘jalan’ atau mencari ‘alasan’?  Ingatlah, ‘alasan’ memang boleh dicari dengan mudah, sedangkan ‘jalan’ perlulah dilalui dengan ketabahan dan kesabaran kerana ia penuh berliku.   Kata orang  ‘Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih’.          


Dihasilkan sepenuhnya oleh:
Cikgu Ros Linawati


Info Ilmu/Oh rupanya: Kenal Piranha?





Pernah dengar ikan yang diberi nama ‘Piranha’?  ‘Piranha’ merupakan sejenis ikan yang cukup ditakuti kerana mempunyai gigi yang tajam setajam pisau cukup.  Ikan jenis ini banyak mendiami kawasan sungai di Amerika Selatan, seperti di Sungai Amazon, Brazil dan juga Venezuela.  Di Venezuela, ikan ini dikenali dengan nama ‘Caribes’. 

Ikan ini merupakan ikan air tawar yang cukup terkenal di dunia kerana mempunyai tabiat makan yang RAKUS.  Sangat rakus terhadap makanan mentah seperti daging dan mampu menghabiskan seekor lembu dewasa hanya dalam beberapa minit.  Saiznya dikatakan boleh mencapai 17 inci. 

Para saintis menganggarkan bahawa terdapat hampir 30-60 spesies Piranha.  Namun, spesies Red Bellied merupakan spesies yang cukup dikenali  yang dikatakan mendiami Sungai Amazon dan Sungai di Venezuela.  Spesies ini diakui sangat rakus serta berselera tinggi terhadap haiwan yang singgah dan minum atau bangkai haiwan atau haiwan yang terjatuh ke dalam sungai.

Ikan piranha juga merupakan antara spesis ikan air tawar paling ganas di dunia.   Sewaktu makan, piranha sentiasa bergerak di dalam kumpulan besar, melebihi 20 ekor dan mereka akan berebut serta mengoyak daging mangsa.   Oleh kerana gigitannya yang sangat tajam, orang asli di Amazon dan Venezuela menggunakan gigi ikan ini sebagai senjata dan ikan ini juga merupakan aset pelancongan bagi Brazil dan Venezuela. Walaupun ganas, piranha, biasanya menjadi makanan buaya Amazon dan juga bangau, terutama pada musim kemarau kerana ikan ini akan terperangkap dalam lumpur

Hakikatnya, masyarakat Amerika Selatan mengatakan bahawa isi ikan ini sememangnya sedap.

Persoalannya, adakah anda berani berhadapan dengan ikan ‘Piranha’ yang dikatakan sangat ganas ini?  Bagaimanakah ikan ‘Piranha’ ini ditangkap dan boleh dijadikan makanan manusia sedangkan ikan ini dikatakan sangat ganas?


Disesuaikan dari:
Facebook Misteri dan Keajaiban Alam

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati