Dalam pengajaran tatabahasa, bahan pengajaran yang
dimaksudkan ialah bahan yang dapat digunakan bagi menyampaikan maklumat tentang
unsur atau unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Bahan ini merupakan
wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan
asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tatabahasa tertentu (Awang
Sariyan, 2009).
Terdapat
beberapa pertimbangan yang perlu dilakukan oleh guru dalam memilih bahan-bahan
pengajaran tatabahasa. Salah satunya ialah bahan-bahan yang digunakan perlulah pelbagai jenis (Kementerian Pendidikan,
1994). Antaranya ialah bahan-bahan sastera seperti prosa
(novel, cerpen dan skrip drama) dan puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan
sajak). Dengan menggunakan bahan
sastera, aspek-aspek tatabahasa dalam Bahasa Melayu seperti bentuk dan golongan
kata, jenis-jenis ayat, bentuk-bentuk kata dan kesalahan bahasa dapat
dibincangkan. Menurut Abdul Rasid
Jamian dan Arba’ie Sujud (2001), penggunaan bahan sastera mempunyai banyak kelebihan.
Antaranya, ia boleh memberikan keseronokan kepada pelajar. Ini kerana karya sastera mengandungi pelbagai
keindahan serta huraian tentang hal-hal yang aneh dan ajaib yang diselaraskan
mengikut peringkat umur pelajar. Selain
keseronokan, Ismail Ahmad pula berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera
dalam pendidikan Bahasa Melayu juga membuka ruang kepada pelajar untuk melihat
dunia dengan lebih luas lagi. Ia bermula
dari pengalaman sendiri dan seterusnya meneroka pengalaman di luar dari
hidupnya melalui hubungannya dengan masyarakat dan budaya (Abdul Rasid Jamian
dan Arba’ie Sujud,2001).
Selain bahan
sastera, bahan-bahan multimedia
seperti audio, video, grafik, animasi dan komputer juga boleh digunakan untuk
pengajaran tatabahasa. Namun, kesesuaian
dan kelebihan bahan-bahan ini perlulah diberi perhatian. Contohnya,
komputer hanya sesuai digunakan untuk pengajaran tatabahasa secara
terancang, manakala, video karaoke pula dapat digunakan untuk latihan membina
ayat dan menyebut perkataan dalam sebutan baku
(Kamal Shukri Abdullah Sani, 2007).
Penggunaan bahan-bahan multimedia ini akan dapat mewujudkan pembelajaran
secara aktif kerana kesemua pancaindera murid dapat dirangsang untuk mengingati
fakta-fakta dengan lebih baik (Mayer, 2001).
Penggunaan grafik dan video pula dapat mempercepatkan proses yang rumit,
manakala, penggunaan audio pula dapat memberikan pelajar pendedahan kepada
sebutan yang betul (Khine dan Fisher 2003).
Bahan-bahan autentik seperti iklan, jadual, gambar, brosur,
poster, akhbar, majalah dan grafik juga boleh digunakan (Kementerian Pendidikan
Malaysia : 1994 dan Awang Sariyan : 2009). Bahan yang dipilih mestilah bermutu
bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan (Awang Sariyan, 2009) agar
dapat melatih pelajar supaya menjadi lebih kritikal dan peka terhadap
penggunaan bahasa yang betul dan tepat (Kementerian Pendidikan, 1994).
Selain itu, bahan-bahan yang dipilih oleh
guru juga mestilah meliputi pelbagai
bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu
di samping mengandungi nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan
nilai (Awang Sariyan, 2009).
Dengan adanya bahan rangsangan itu tadi, pelajar akan
dapat diajar tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa,
mahupun jenis-jenis wacana. Ini bermakna, pelajar tidak mempelajari tatabahasa
tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan tersebut untuk memberikan
contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Selain itu, guru juga dapat membina latihan
daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan
latihannya adalah berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah
pengajaran yang berdasarkan tema (Awang Sariyan, 2009).
Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati