Assalamualaikum
dan salam sejahtera…
Benarkah jenayah semakin
menjadi-jadi pada masa ini? Inilah
antara isu yang menjadi buah mulut ramai orang.
Apa tidaknya hampir saban hari berita atau informasi tentang kejadian
jenayah tersebar sepantas kilat. Kiriman
video, salinan berita-berita perihal kejadian jenayah sudah seperti pisang
goreng; panasnya tak menyempat di tangan sudah dipindah ke tangan orang lain. Inilah bahana aktiviti ‘copy & paste’ dan
‘copy & forward’ yang sudah menjadi trend semasa. Trend ini sememangnya menjadikan ramai
individu menjadi ‘iski’ (ghairah) tanpa memikirkan kesan-kesannya.
Sebenarnya bukan
tujuan saya untuk menentukan boleh atau tidak kerana masing-masing mempunyai
akal untuk membuat pilihan, penilaian dan keputusan. Saya juga turut menerima
informasi-informasi berkaitan pelbagai kejadian termasuk kejadian-kejadian yang
tidak diingini. Namun, seperti yang saya
nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, kita jangan mudah percaya bulat-bulat
berita yang dipindahkan kepada kita.
Kita perlu lebih bijak membuat pertimbangan. Bukti yang sahih perlu ada. Paling tidak pun sumber berita tersebut
mestilah yang boleh dipercayai seperti berita daripada akhbar-akhbar tempatan
dan juga pihak kerajaan.
Menyebarkan
berita palsu adalah salah dan boleh membahayakan ketenteraman masyarakat. Di dalam akhbar Media Permata, keluaran 2
Oktober 2012, hal ini telah ditegaskan oleh Pengiran Haji Abd Salam bin
Pengiran Haji Abd Ghani, Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja
Brunei sewaktu mengulas tentang penyebaran berita palsu melalui sistem pesanan
ringkas WhatsApp yang mendakwa
kononnya berlaku pergaduhan besar di ibu negara. Menurut beliau berita tersebut tidak
benar. Beliau lantas mengingatkan
bahawa menyebarkan berita atau maklumat yang tidak betul atau tidak berasas
yang boleh menggugat ketenteraman awam adalah menjadi satu kesalahan jenayah
yang boleh dihukum di bawah Undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Namun, saya
tidak menafikan ada juga berita-berita atau maklumat-maklumat yang kita terima
itu benar dan memang berlaku. Gejala
curi, ragut, jenayah terhadap golongan wanita dan orang tua, pecah rumah dan
memusnahkan harta benda orang lain semakin membimbangkan.
Apa sudah jadi
dengan manusia dan kemanusiaannya?
Keselamatan dan rasa aman yang kita kecapi di bumi bertuah ini sudah
mula dicemari oleh penjenayah yang semakin berani. Saya sangat kesal dengan kemungkaran yang
dilakukan oleh mereka yang tidak ada belas kasihan dan tidak takut akan dosa
dan balasan Allah. Malah saya secara
peribadi mengutuk perbuatan yang tidak bermoral yang dilakukan di dalam rumah
Allah.
Kita tidak boleh
berpeluk tubuh. Kita semua perlu
bertindak. Selain memberikan pertolongan
dan kerja sama kepada golongan yang teraniaya dan pihak berwajib, kita hendaklah
mengamalkan sikap beringat sebelum kena.
Jangan menganggap kejadian-kejadian buruk yang kita tonton atau baca
tidak akan berlaku kepada kita.
Berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini, kita perlu
melakukan langkah-langkah intervensi atau pencegahan seperti berikut:
- Pastikan semua pintu dan tingkap rumah kita dikunci rapat.
- Jangan tinggalkan atau dedahkan barang-barang berharga di dalam kenderaan.
- Jangan tinggalkan kenderaan tanpa menguncinya walaupun sekejap.
- Jangan tinggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa.
- Jangan tinggalkan orang tua, kanak-kanak atau orang kurang upaya bersendirian di dalam rumah.
- Jangan bawa barang berharga di dalam masjid.
- Bagi golongan wanita (dan kanak-kanak), jangan pakai perhiasan yang boleh menarik perhatian penjenayah.
Penjenayah
semakin berani kini. Oleh itu, kita
perlu menggandakan usaha. Sediakan
payung sebelum hujan.
Disediakan
sepenuhnya oleh:
Muhammad Husaini
Sumber ilustrasi/gambar: