Ahad, 28 Oktober 2012

Tunjuk Ajarku Guru: Panduan Meringkaskan Petikan


KONSEP RINGKASAN
Ringkasan ialah satu proses menukarkan sebuah petikan yang panjang menjadi petikan pendek (mengikut kehendak soalan) TANPA MENGUBAH MAKSUD ASAL ATAU KEDUDUKAN ISI-ISI.


LANGKAH-LANGKAH MERINGKASKAN PETIKAN
Proses meringkaskan sesebuah bahan bacaan memerlukan pelbagai kemahiran.  Antaranya ialah:

Langkah 1:
Membaca Keseluruhan Teks Untuk Memahami Persoalan Teks
Baca teks yang diberi sekurang-kurangnya dua kali untuk memahami persoalan teks.

Langkah 2:
Mengenal Pasti Subjek Dan Predikat Ayat Biasa Perenggan Demi Perenggan
Kenal pasti subjek dan predikat bagi ayat-ayat biasa yang terdapat pada setiap perenggan. 


Contoh Soalan:
Biasanya mereka yang sering mengabaikan masa dengan melakukan hal-hal yang tidak berfaedah akan mengalami kehidupan yang tidak berubah ke arah yang terbaik.

Contoh Jawapan:
Subjek Mereka yang sering mengabaikan masa dengan melakukan hal-hal yang tidak berfaedah

Predikat : akan mengalami kehidupan yang tidak berubah ke arah yang terbaik


Bagi ayat-ayat songsang, pastikan ayat-ayat tersebut dinyahsongsangkan terlebih dahulu sebelum anda dapat mengenal pasti subjek dan predikatnya.


Contoh Soalan
Tempoh masa yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada setiap orang adalah 24 jam sehari semalam.

Contoh Jawapan:
Apabila dinyahsonsangkan à Setiap orang diberikan tempoh masa oleh Allah Subhanahu Wataala selama 24 jam sehari semalam.

Subjek : Setiap orang
Predikat : diberikan tempoh masa oleh Allah Subhanahu Wataala selama 24 jam sehari semalam.

Langkah 3:
KAEDAH MERINGKASKAN AYAT

Menggugurkan Frasa Keterangan Sama Ada Pada Subjek Atau Predikat Sesuatu Ayat
Apabila meringkaskan sesuatu frasa atau ayat (yang sudah dikenal pasti subjek atau predikatnya) , “maksud dasar” atau “maksud asal” sesuatu frasa atau ayat mesti dikekalkan, manakala, frasa keterangannya hendaklah digugurkan.



Contoh Subjek:
Subjek :   Mereka yang sering mengabaikan masa dengan melakukan hal-hal yang tidak berfaedah

Ringkasannya: Mereka yang sering mengabaikan masa



Gugurkan Perkataan-Perkataan Yang Tidak Penting Dan Gantikan Ia Dengan Perkataan Yang Pendek dan Lebih Bersesuaian (Hiponim).


Contoh Predikat:
Predikat : akan mengalami kehidupan yang tidak berubah ke arah yang terbaik

Ringkasan: hidupnya tidak maju

               
Hanya kutip isi atau idea utama.  Manakala, huraian dan contoh hendaklah digugurkan.
               
CONTOH 1
Masyarakat kota biasanya amat sibuk.   Ada antara mereka yang keluar bekerja pada sebelah pagi dan hanya pulang pada sebelah malam.

JAWAPAN 1
Masyarakat kota biasanya amat sibuk.

Atau
Masyarakat kota biasanya amat sibuk dengan pekerjaan.

CONTOH 2
Masyarakat Brunei dikatakan kurang membaca bahan-bahan ilmiah.   Mereka tidak suka membaca bahan-bahan berbentuk laporan, berita atau penyata.  Mereka lebih berminat membaca bahan bacaan berbentuk hiburan.  Antara bahan yang diminati ialah komik, majalah filem, cerita-cerita seram, dan sebarang makalah sensasi yang memenuhi pasaran.

JAWAPAN 2
Masyarakat Brunei dikatakan kurang membaca bahan-bahan ilmiah dan lebih meminati bahan bacaan hiburan.


Langkah 4:  
Semua isi penting dalam petikan yang diberikan harus dikutip.

Langkah 5 :
Jangan ubah kedudukan isi.  Susunan asal perlu dikekalkan.  Anda tidak perlu menganalisis dan mengelompokkan jenis isi yang sama dan sebagainya.

Langkah 6:
Bina ayat sendiri.  Jangan tiru ayat-ayat yang diberikan dalam petikan itu bulat-bulat.  Kenal pasti idea yang penting dan seterusnya cuba bina ayat sendiri.  Elakkan daripada menggunakan bahasa yang bombastik.  Untuk memastikan setiap isi berurutan, gunakan penanda wacana, seperti “selain itu”, “selanjutnya”, dan”walau bagaimanapun”.

Langkah 7:  
Tepati ketetapan bilangan perkataan.  Ringkasan bertujuan untuk melihat keupayaan seseorang pelajar boleh menulis semula idea-idea penting yang terdapat dalam sesebuah petikan dalam bentuk yang lebih ringkas.   Oleh itu, pastikan bilangan perkataan hasil ringkasan anda tidak melebihi arahan dalam kertas soalan.

Langkah 8:
Ringkasan hendaklah ditulis dalam satu perenggan.

Latihan:



Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian ringkaskan hingga menjadi kira-kira 100 patah perkataan sahaja.  Penggunaan kata-kata kamu sendiri dalam susunan maksudnya yang asal akan diberi perhatian utama dalam pemarkahan. [40 markah]

Pelancongan adalah salah satu industri yang mengeluarkan perbelanjaan yang besar dan mempunyai hasil pulangan yang menguntungkan kepada sesebuah negara.  Beberapa perkara juga perlu diambil kira bagi memastikan bidang tersebut berjalan dengan baik, antaranya ialah hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, kebersihan, dan kemudahan yang disediakan di tempat berkenaan.

Aspek keselamatan merupakan perkara yang diberi keutamaan.  Para pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara adalah untuk mencari keseronokan dan hiburan, ketenangan dan kedamaian, jauh dari gangguan.  Tempat-tempat itu terkawal daripada kegiatan yang kurang sihat seperti kecurian barang, ancaman dan bunyi bising.  Pelancong juga gemar berkunjung ke tempat-tempat yang tidak terdapat di negara mereka, seperti kawasan hutan libur, tempat pergunungan yang kaya dengan flora dan fauna, melihat cara hidup penduduk yang berlainan etnik serta budaya.

Selain itu, aspek kebersihan juga hendaklah diberi perhatian oleh semua orang.  Bandar yang bersih dan kawasan pantai yang memutih akan selalu dikunjungi oleh orang ramai.  Bagaimana pula jika sampah sarap seperti bekas makanan, kotak dan bahan-bahan plastik bersepah di sana sini?  Tentulah imej sesebuah negara itu akan tercemar dan segala kemudahan seperti pantai dan tasik yang dianugerahkan oleh Allah tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.

Bagi menggalakkan bidang pelancongan pula, sesebuah negara itu hendaklah menyediakan kemudahan penginapan, seperti chalet, taman permainan, kolam memancing ikan, taman flora yang beraneka jenis, tempat pembuangan sampah dan tandas awam yang bersih.  Apa yang lebih penting lagi ialah penduduk tempatan hendaklah menunjukkan budi bahasa dan sopan santun yang baik kepada pelancong luar negeri.

Kejayaan sebuah industri pelancongan itu bukan sahaja terletak di bahu kerajaan, tetapi juga dimainkan oleh masyarakat itu sendiri, terutamanya dalam memelihara keselamatan dan kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.  Orang ramai juga hendaklah bersikap pemedulian dan mudah didekati pelancong yang ingin bertanyakan sesuatu kepada mereka.  Manakala, pemandu pelancong pula perlu melengkapkan diri dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi sebagai salah satu daya tarik kepada pelancong yang hendak datang ke negara mereka.

(Disesuaikan dari artikel yang bertajuk “Pelancongan”, hasil tulisan Ali Termizzi Hr, Majalah Juara Pelajar, Keluaran Mei- Jun, 2007, Bilangan 74, Tahun 13)



Disesuaikan dan disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati