Isnin, 8 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Susahkah Untuk Melafazkan Ungkapan 'Maaf'?





Melalui segmen ‘Berfikir Sejenak’ kali ini, saya tertarik untuk mengemukakan satu ungkapan iaitu ‘Maaf’.  Ungkapan ‘maaf’ ini memang sering kali kita dengar dan ucapkan ketika Sambutan Hari Raya, namun, jarang sekali kita ungkapkan pada hari-hari biasa.  Sedangkan untuk mengungkapkan perkataan ‘maaf’ bukanlah satu perkara yang sukar, dan apabila diucapkan tidaklah mendatangkan kesakitan, malahan sebaliknya akan lebih mengeratkan hubungan persaudaraan atau persahabatan.

Ada yang beranggapan “Tidak perlulah meminta maaf, kerana aku tak buat salah pun!”  Namun, hakikatnya, anggapan seperti ini perlulah diperbetulkan.  Ini kerana ungkapan ‘maaf’ tidak semestinya menunjukkan kita mempunyai atau melakukan ‘kesalahan’  terhadap orang lain, tetapi lebih merupakan sebagai satu komitmen terhadap sesuatu perhubungan persaudaraan atau persahabatan.   Pada hakikatnya, kita yakin yang kita tidak melakukan kesalahan, namun, di sebaliknya, kita tidak sedar ada tingkah laku atau perbuatan kita yang tidak disenangi sehingga boleh menggores atau menyinggungkan perasaan orang lain.  Contohnya, ketika kita bergurau senda.   Oleh itu, dengan meminta maaf, perasaan tergores dan tersinggung tersebut tidak akan menjadi ‘nanah’ dan ‘duri’ dalam sesebuah perhubungan persaudaraan atau persahabatan.

Orang yang tidak tahu meminta maaf walaupun mengetahui yang dirinya melakukan kesalahan merupakan manusia yang ‘ego’ dan ‘tinggi diri’.    Dalam Agama Islam sendiri ada menyatakan akan kepentingan meminta maaf itu seperti mana sabda Rasulullah yang berbunyi "Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT". Ini bererti bahwa manusia yang baik bukan bererti tidak pernah melakukan kesalahan, sebab perkara itu adalah mustahil kecuali Rasulullah SAW yang ma’shum (sentiasa dalam bimbingan Allah SWT). Tetapi, manusia yang baik adalah manusia yang menyedari akan kesalahannya dan segera bertaubat kepada-Nya.

Oleh itu, dalam konteks kehidupan kita sehari-hari, janganlah kita ralat untuk mengungkapkan ucapan ‘maaf’ antara sesama manusia.  Ini kerana ungkapan ‘maaf’ boleh menjadi  ‘ubat’ dan meredakan perasaan ‘amarah’.  Namun, persoalannya apakah kita sudah bersedia untuk meminta maaf jika kita memang benar-benar melakukan kesalahan?   Bagaimanakah caranya kita mengungkapkan perkataan ‘maaf’ tersebut? Adakah kita ikhlas mengungkapkan perkataan ‘maaf’ tersebut?  






Sekian dikongsikan.


Dihasilkan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Rujukan: