Rabu, 12 September 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Betulkan Penggunaan 'Dari, Pada, Daripada, Kepada'






Kata sendi ialah kata yang bertugas sebagai kata depan kepada kata nama atau frasa nama.  Dalam segmen analisis kesalahan bahasa kali ini dibincangkan fungsi, kesalahan dan penggunaan yang betul terhadap empat jenis kata sendi bahasa Melayu, iaitu ‘dari, pada, daripada’ dan ‘kepada’. 

(a)    ‘dari’
Digunakan untuk menerangkan masa (tempoh), tempat dan arah.  Contoh penggunaan:

1.       Mereka bertolak dari rumah pada pukul 3.00 petang.
2.       Gerai itu akan dibuka dari jam 4.30 petang hingga jam 10.00 malam.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk manusia, asal usul sesuatu atau perbandingan, misalnya:

3.       Tikar ini dibuat dari daun mengkuang.  (SALAH)
Tikar ini dibuat daripada daun mengkuang.  (BETUL)

4.       Surat itu diterima dari Aaron Aziz.  (SALAH)
Surat itu diterima daripada Aaron Aziz.  (BETUL)



(b)   ‘pada’

Digunakan untuk waktu, manusia, haiwan, tempat dan benda-benda yang bersifat abstrak.  Contoh penggunaan:

5.       Kasut yang saya beli tadi ada pada adik.
6.       Sambutan Aidilfitri itu akan diadakan pada malam Jumaat.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk arah, misalnya:
7.       Duit ini hendak dikirim pada siapa?  (SALAH)
Duit ini hendak dikirim kepada siapa?  (BETUL)

(c)    ‘daripada’
Digunakan untuk manusia, asal sesuatu, perbandingan atau perbezaan bahagian sesuatu benda yang abstrak.  Contoh penggunaan:

8.       Yusri menerima banyak SMS daripada peminatnya.
9.       Masakan Hidayah lebih sedap daripada Siti.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk masa, tempat dan arah, misalnya:
10.   Kamu datang daripada mana?  (SALAH)
Kamu datang dari mana?  (BETUL)


(d)   ‘kepada’
Digunakan untuk menunjukkan arah yang khusus merujuk manusia, haiwan dan menyatakan pecahan.  Contoh ayat:
11.   Sila hantar borang pendaftaran kepada cikgu Hasibah.
12.   Potong kek itu kepada lapan bahagian.


UJI DIRI

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih kata sendi yang betul, sama ada ‘dari, pada, daripada atau kepada’.

1.       Mesra menyerahkan kad jemputan perkahwinan itu _______ Roslina.

2.       Kain yang berwarna hijau itu lebih cantik ______ kain yang saya beli kelmarin.

3.       Husain mengambil seketul ayam lalu diberikan ______ kucing kesayangannya.

4.       Kotak ini diperbuat ______ bahan-bahan kitar semula.

5.       “Novel yang saya beli tadi ada ______ adik,” kata Masnor.

6.       Azim akan menyerahkan hadiah itu ______ tunangnya ______ hari esok.

Sila e-mailkan jawapan anda kepada rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas. 



Disesuaikan daripada:
Explorasi Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 1, 2003.

Disediakan oleh:
Cikgu. Muhammad Husaini






2 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanafaat ini

    BalasPadam
  2. Bapa saya membawa saya ke sekolah dalam kereta.

    BalasPadam