Baru-baru ini sempena Sambutan
Hari Guru Kali Ke-22 bagi Tahun 2012, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah tentang
pencapaian rendah markah Bahasa Melayu (BM) dalam Ujian dan Peperiksaan. Menurut baginda, usaha perlu dilakukan bagi
menguatkan lagi subjek BM ini. Persoalannya,
apakah yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan dan menguatkan lagi subjek
ini? Siapa pula yang perlu berbuat
demikian?
Jika diimbas zaman sebelum era
abad ke-21 (sebelum tahun 2000), pencapaian pelajar dalam subjek BM adalah pada
tahap yang baik. Jarang sekali kita
dengar yang pelajar atau anak kita gagal dalam subjek ini. Ini kerana apabila disebut subjek BM,
kebanyakan antara kita akan membayangkan bahawa “Subjek ini MUDAH”. “Kita kan orang Melayu, jadi adalah MUSTAHIL
bagi kita untuk GAGAL dalam subjek ini”.
Itulah antara kata-kata yang terkeluar daripada mulut orang-orang kita. Tapi, sejak akhir-akhir ini, kegagalan dan
pencapaian rendah pelajar dalam subjek BM
TIDAK MUSTAHIL lagi. Lebih-lebih dalam peperiksaan awam di peringkat G.C.E 'O'.
Persoalannya, mengapakah perkara
ini berlaku? Siapakah yang patut dipersalahkan?
Guru? Ibu bapa? Pelajar? Atau pengaruh globalisasi iaitu teknologi maklumat dan komunikasi yang ada sekarang? Dalam hal ini, saya tidak memihak kepada
sesiapa kerana masing-masing mempunyai peranan untuk menguatkan dan mengukuhkan
lagi kedudukan subjek BM.
Kita tidak perlu salahkan guru
kerana dalam konteks pendidikan sekarang, pelbagai strategi dan kaedah pengajaran
bahasa yang berteraskan trend semasa sudah diaplikasikan oleh guru-guru di
negara kita. Salah satu pendekatan yang
paling popular pada masa kini ialah pendekatan konstruktivisme. Namun, persoalannya? Betulkah guru-guru ini sudah mengaplikasikan
strategi, kaedah dan pendekatan ini dengan sebaik-baiknya? Bolehkah mereka mengaplikasinya dalam
menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?
Bagaimanakah dengan ibu bapa?
Adakah mereka dapat menjadi contoh dan role model yang terbaik dalam
mendaulatkan penggunaan BM, bukan sahaja dalam konteks lisan, malahan juga
dalam konteks tulisan? Bagaimanakah
agaknya tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan
penggunaan BM dalam kehidupan dan sekali gus terhadap pendidikan
anak-anak mereka lebih-lebih lagi dalam menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?
Bagaimanakah dengan ‘pelajar’ itu
sendiri? Adakah mereka SEDAR akan
kepentingan penggunaan BM dan subjek BM itu sendiri lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan cabaran globalisasi abad ke-21 ini? Apakah perkara yang perlu mereka lakukan agar
pencapaian mereka dalam subjek ini TIDAK RENDAH? Perlukah menyalahkan GURU dan IBU BAPA atas
kegagalan mereka dalam mencapai keputusan yang baik dalam subjek ini?
Persoalan-persoalan yang saya
kemukakan di atas saya tinggalkan kepada ANDA untuk menjawabnya. Hal ini kerana USAHA UNTUK MENGUATKAN LAGI
SUBJEK BAHASA MELAYU BUKAN HANYA DIPIKUL OLEH SATU PIHAK SAHAJA, MALAHAN OLEH RAMAI PIHAK, LEBIH-LEBIH LAGI DALAM MENANGANI CABARAN GLOBALISASI ABAD KE-21. Jadi, fikir-fikirkanlah.
Dihasilkan sepenuhnya Oleh:
Cikgu Ros Linawati