Memaparkan catatan dengan label Segmen Ibu Bapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Segmen Ibu Bapa. Papar semua catatan

Ahad, 7 Oktober 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Cara Anda Mengawal Anak Anda?





Berapa kerapkah anak-anak anda menolak pelawaan anda?. Umpamanya apabila  diajak ke majlis kenduri atau majlis formal?.  Bagaimana anda sebagai ibu bapa menangani masalah ini? 

Berikut adalah beberapa perkara yang ingin saya kongsikan kepada anda mengenai dengan anak-anak remaja.  Sebagai ibu bapa, saya faham anda inginkan yang terbaik untuk anak-anak anda.  Dalam agama Islam, kategori umur remaja bagi lelaki ialah antara 13 hingga 15 tahun, manakala, bagi perempuan ialah antara 9 hingga 15 tahun.  Pada peringkat ini, mereka sudah dianggap remaja kerana perubahan tahap fizikal dan pemikiran.  Perubahan ini semakin ketara apabila mencapai akil baligh. Bagaimanapun dari segi kedewasaan mereka belum lagi berubah sepenuhnya.  Oleh itu,  menegur anak perlulah tepat dan berhati-hati kerana pada tahap ini mereka masih dalam proses perubahan.

Pada masa kini, remaja  lebih banyak mengalami pelbagai tekanan jika dibandingkan pada zaman anda menjadi remaja. Banyak faktor yang menyebabkan mereka berasa tertekan dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup mereka. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, gunakanlah pengalaman yang anda ada untuk redakan tekanan yang menyelubungi hidup mereka.

Beberapa tips untuk mengawal anak-anak remaja:

Bagi yang berugama Islam sudah setentunya doa dari ibu bapa.  Amalan-amalan cara hidup yang berlandaskan syariat Islam.

  1. Galakkan remaja mengambil bahagian dalam kegiatan kokurikulum yang menjurus  kepada aktiviti yang sihat.
  2. Ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan dengan membiarkan anak-anak sendirian sebaliknya cari masa terluang untuk menjalankan aktiviti bersama dengan anak-anak dan rakan-rakan mereka.
  3. Bagi mengelak pengaruh negatif daripada kawan yang negatif, ibu bapa perlulah bersikap prihatin, kenalilah siapa kawan anak-anak.
  4. Bersikap terbuka kepada anak-anak.  Pastikan anak-anak bercerita dan meluahkan masalah yang dihadapi kepada diri anda.   Pada usia begini mereka mudah terpedaya dengan cinta.  Adalah perkara biasa jika timbul perasaan ingin dicintai dan mencintai dalam diri anak remaja. Terangkan kepada mereka perasaan cinta itu satu lumrah dalam hidup tetapi cinta dalam usia muda tidak ke mana, sebaliknya keperluan diri perlu dipenuhi.

Kasih sayang tidak boleh dibeli dengan harta dan wang ringgit.  Jika anda menyayangi anak anda,  bertindaklah dengan bijak.  Jangan cuai mendidik anak agar mereka tidak hanyut dibawa oleh arus perkembangan zaman. 

Disediakan oleh:
Mesra Hm.

Isnin, 1 Oktober 2012

Segmen Ibu Bapa: Bahana Internet Kepada Anak-anak





Internet menyajikan bermacam-macam benda baru kepada kita.  Pokoknya Internet menyediakan A hingga Z segala permintaan kita.  Semua informasi ada di hujung jari dengan adanya Internet. Namun, Internet juga boleh membawa padah kepada anak-anak jika tidak ada kawalan sepenuhnya.

Memang sukar jika kita tidak membenarkan anak kita sama sekali untuk melayari Internet.  Ini kerana, pendidikan sekarang banyak memerlukan pelajar untuk mencari bahan dari Internet.  Apa yang perlu kita lakukan sebagai ibu bapa ialah kawal dan pantau penggunaan Internet anak-anak kita.

Oleh kerana kebanyakan maklumat di Internet sangat mudah diakses oleh anak-anak, ibu bapa perlu mengawal aktiviti mereka berada dalam online.  Laman web yang amat dikhuatiri akan dilawati oleh anak-anak bukan sekadar laman web yang boleh memberi virus kepada komputer kita melalui perisian-perisian yang dimuat turun secara percuma tetapi yang amat perlu diawasi ialah portal yang mengandungi unsur lucah (pornografi), keganasan, penyelewangan agama dan laman sosial yang tidak bermoral.

Begitu juga dengan kawalan terhadap jenis-jenis web yang dilawati.  Sentiasa ingatkan mereka agar mencari maklumat di laman web berkaitan saja.  Aturkan masa penggunaan internet dengan menetapkan had masa penggunaan khususnya menjelang lewat malam.  Adalah lebih baik komputer yang disediakan untuk mereka ditempatkan di ruang tamu atau pun di bilik yang sama dengan tempat ibu atau ayah membuat kerja agar aktiviti anak-anak lebih mudah dipantau. Elakkan meletakkan komputer di bilik yang terasing daripada pandangan orang lain.

Namun sekarang, Internet bukan sahaja boleh dilayari melalui komputer bahkan telefon bimbit dan Ipad juga telah memberi kesenangan untuk melayari Internet.  Di sini lah peranan ibu bapa dalam memberi limitasi kepada anak-anak mereka terutamanya dalam melayari Internet. 



Oleh :
Masnor_8168

Selasa, 25 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Memupuk Budaya Minat Membaca?





Sebelum ini dalam Segmen Ibu Bapa  telah menyentuh tentang membaca ayat mudah.  Dalam segmen kali ini, saya akan memberi panduan kepada ibu bapa bagaimana memupuk budaya minat membaca kepada anak.  Kita sering mendengar ‘melentur buluh biar dari rebungnya’.  Namun, kita juga jangan terlena bahawa ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan kepada anak-anak.  Kejelasan maksud peribahasa ’bagaimana acuan begitulah kuihnya’ memberikan bukti akan peranan ibu bapa dalam aspek pembacaan.  Berikut adalah beberapa panduan yang ringkas bagaimana memupuk minat anak anda untuk membaca:


  • Bahan bacaan hendaklah bersesuaian dengan tahap umur anak-anak. Bahan bacaan tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja.  Bacaan umum tidak kurang pentingnya kerana ia mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk minat sikap membaca mereka. Jangan lupa melihat isi kandungan buku tersebut.
  • Galakkan anak anda meminjam buku-buku yang digemari.  Bagi ibu bapa yang mampu dari segi ekonomi boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka.  Selain itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka.
  • Layanilah anak anda jika sekiranya ada pertanyaan yang mereka tidak faham dari buku tersebut.
  • Sesekali bertanyalah kepada anak anda untuk memastikan pemahaman mereka tentang buku yang mereka baca.
  • Bagi ibu bapa yang prihatin, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak dan anda menghabiskan masa lapang dengan begitu berfaedah.


Semoga dengan amalan yang baik ini akan dapat mengasah fikiran anak anda supaya lebih bercambah kerana dengan banyak membaca kita mempunyai imaginasi yang tinggi serta menyuburkan perkembangan minda. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat di negara kita ini yang mengamalkannya?


Disediakan oleh:
Mesra HM.

Rabu, 19 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimana Mengajar Anak Membaca Ayat Mudah?



Bertemu lagi dalam segmen Ibu Bapa.  Untuk segmen kali ini saya ingin mengongsikan tips yang sederhana untuk mengajar anak sekitar usia 3-5 tahun membaca ayat mudah.

Ibu bapa hanya perlu menyediakan buku ‘Bacalah Sayang’ atau buku ‘Bacalah Anakku’ (siri 1 hingga 8).  









Saya tidaklah mempunyai  pengalaman dalam mengajar membaca terutamanya bagi anak kecil sekitar usia begini.  Namun, dengan bantuan buku-buku ini, saya berjaya mengajar kedua-dua anak saya membaca seawal usia mereka mencecah 4 tahun.

Penting :
·        Ibu bapa hanya perlu mengikuti arahan dalam buku tersebut. 
·        Ibu bapa hendaklah meluangkan masa bersama anak mereka membaca setiap hari walau hanya 5  minit sahaja.
·         Gunakan suara yang lembut
·         Membaca berselang-seli bersama anak
 
Timbul persoalan, apakah teknik yang saya gunakan? Saya hanya menggunakan teknik fonik dan teknik bunyi suku kata.  Macam mana saya tahu teknik fonik?  Jangan risau,  buku-buku ini dijual bersama cekera padat dan kaset yang mengajar cara membunyikan setiap huruf.  Bermula dengan memperkenalkan bunyi huruf, kemudiannya saya menggunakan teknik bunyi suku kata.  Ternyata teknik gabungan ini membuahkan hasil untuk anak-anak saya.

Selamat Mencuba….


Dicatat:
Cg.Masnor_8168


Khamis, 13 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Cara Merangsang Kreativiti Kanak-kanak?



Umur empat tahun ke bawah dikatakan sebagai "critical age" bagi kanak-kanak.  Dalam lingkungan umur inilah, perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak memerlukan pengasuhan yang teratur, positif dan sempurna.  Sebagai ibu bapa, kita perlulah mengetahui bahawa ketika usia sebeginilah, minda kanak-kanak perlu dirangsang dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana perkembangan minda yang positif dan kreatif.  Pada peringkat ini jugalah kanak-kanak suka meneroka dan mencuba sesuatu yang kreatif.  Apabila anak anda sedang memegang pensel atau apa-apa sahaja bahan yang boleh mengembangkan minda anak anda, jangan ditegur.  Malah, anda sepatutnya memberikan galakan dan bantuan, seperti membetulkan cara mereka melukis, cara memegang pensel, dan memberikan kertas untuk mereka menulis, melukis atau mewarna. Apakah anda telah melaksanakan yang terbaik untuk anak anda? 

Disediakan Oleh:
Mesra Hm

Jumaat, 7 September 2012

Info Ilmu/Segmen Ibu Bapa: Penggunaan Huruf 'E'


Bertemu lagi di segmen ibu bapa…Pertemuan kali ini membincangkan serba sedikit tentang “Tiga Bunyi  Huruf ‘e’.”
Bunyi e pertama : seperti dalam perkataan /ekor/, /enak/, /esok/

Bunyi e kedua,  pada zaman dahulu dikenali sebagai e bertanda (Ä•) bagi melambangkan bunyi /É™/ :  seperti dalam perkataan /emak/, /emas/, /empat/

Bunyi e ketiga : Dengan kepesatan teknologi maklumat komunikasi membawa bersama-samanya beberapa perkataan baharu. Antara perkataan itu termasuklah elektronik. Hanya huruf e digunakan apabila perkataan ini digabungkan dengan perkataan lain.  Maka muncullah perkataan seperti e-mel, e-dagang, e-buku, e-dokumen dan e-penerbitan.

Sebutan huruf e bagi perkataan-perkataan ini bukanlah bunyi /e/ atau /É™/.

Yang kita sebut ialah nama huruf itu. Sebutan nama huruf itu ialah /i/. Sebutan ini satu bunyi juga. Jadi, kini huruf e melambangkan tiga bunyi.

Perkembangan ini menarik. Namun, dengan berdasarkan ilmu bunyi bahasa, satu huruf sebaik-baiknya melambangkan satu bunyi.


Disediakan : Masnor_8168