Sabtu, 22 September 2012

Info Ilmu: Apakah Teknologi 3G?



3G adalah singkatan bagi The Third Generation atau Generasi Ketiga teknologi telefon bimbit.  Teknologi 3G secara ringkasnya merupakan satu sistem yang membolehkan pengguna berkomunikasi secara bersemuka dari telefon bimbit ke komputer riba.  Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun lagu dan video pada kadar sepuluh kali ganda lebih cepat daripada biasa.  Telefon ini diperkenalkan oleh Jepun.  Bentuk dan saiznya agak kecil tetapi menarik dan dilengkapi dengan kamera serta video berkembar.

Telefon 3G juga adalah teknologi rangkaian telekomunikasi tanpa wayar yang membolehkan video, audio dan data dihantar lebih cepat menerusi satu rangkaian jalur lebar tanpa wayar berbanding teknologi yang sedia ada.  Teknologi yang semakin popular ini menyediakan akses bagi tayangan televisyen, pertunjukan multimedia, sidang video langsung, pelayaran laman web, e-mel, pesanan segera, faksimili dan petunjuk peta.

Persoalannya sekarang, sejauh manakah anda menggunakan kecanggihan teknologi 3G ini dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan anda? 

Disesuaikan dari artikel yang bertajuk 'Teknologi 3G', susunan G-Beh, dari Majalah Juara Pelajar, Keluaran September-Oktober, 2007.

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Seindah Bahasa: Antara Bahagia dan Bersyukur?



Melalui Segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini, saya ingin mengemukakan mutiara kata yang berbunyi ‘Bukan Kebahagiaan yang Menjadi Kita Bersyukur tapi Bersyukurlah yang Membuat Kita Bahagia’.  Melalui mutiara kata yang dikemukakan di atas, terdapat dua perkataan yang menjadi dasar pemikiran kita, iaitu pertama, ‘bahagia’ dan kedua, ‘bersyukur’. 

Pada hakikatnya, bahagia ini tidak boleh diukur dengan material.   Ini kerana seseorang yang mempunyai harta yang banyak tidak semestinya berasa bahagia jika dia tidak disayangi atau dicintai, atau tidak dapat berkongsi kisah suka duka dengan orang yang disayangi atau dicintai.  Oleh itu, bahagia itu bermaksud ‘kebebasan’, ‘keringanan’ dan ‘ketenangan’ jiwa seseorang tanpa mempersoalkan apa-apa...    Dengan kata lain, ‘bahagia’ itu hanya dapat dirasai oleh ‘hati’, ‘perasaan’ dan ‘jiwa’ seseorang individu dan jarang dapat dilihat dengan mata kasar.




Manakala, 'bersyukur' pula bermaksud menerima dan memanfaatkan segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita sesuai dengan tujuan Allah memberikan kenikmatan itu kepada kita.  Sederhananya, bersyukur itu menikmati kenikmatan Allah dengan cara yang redha. 



Namun, persoalannya ialah bahagia dan bersyukurkah kita dengan apa yang kita ada?   Bersyukurkah kita dengan nikmat bahagia yang kita kecapi?  Apakah perkara-perkara yang membuatkan kita bahagia dan bersyukur itu?  Wang?  Harta? Pangkat?  Kekasih?  Anak?  Pasangan? Kasih sayang? Atau segala-galanya?  Persoalan –persoalan ini akan saya tinggalkan kepada anda untuk menjawabnya kerana sesungguhnya, segala pilihan adalah terletak di tangan anda...

Sekian.

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Rujukan:
1.                   Facebook: Dunia Macam-macam