Memaparkan catatan dengan label Asam Garam Duniaku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Asam Garam Duniaku. Papar semua catatan

Selasa, 9 Oktober 2012

Asam Garam Duniaku: Lihat Keadaan Sekeliling...



Pengalaman pahit saya ketika hari pertama saya bergelar seorang guru memang tidak dapat saya lupakan.  Pada hari pertama saya ditugaskan, saya ditempatkan di sebuah sekolah rendah separa pedalaman di Daerah Belait.  Memang pelbagai perasaan yang timbul dalam lubuk hati saya ketika saya menerima surat tawaran tersebut.  Ada perasaan cemas, risau, gembira dan pelbagai perasaan lagi.  

Pada hari pertama pendaftaran, saya datang awal ke sekolah.  Saya dapati, udara di kawasan sekolah tersebut sungguh nyaman dan menenangkan.  Sebagai guru baru, saya sudah setentunya belum mempunyai pengetahuan tentang selok belok sekolah ini.  Oleh itu, ketika waktu rehat, saya bercadang untuk meninjau kawasan sekolah untuk melihat kanak-kanak bermain.   Sewaktu meninjau kawasan sekolah, saya tiba-tiba tertarik dengan sebuah bangunan yang terbiar.    

Apa yang menarik minat saya ialah keadaan sekelilingnya yang dipenuhi dengan sampah padahal bangunan tersebut terletak berhampiran dengan bangunan sekolah.  Timbul rasa tanggungjawab saya sebagai guru agar dapat dijadikan contoh kepada murid-murid saya.  Saya tiba-tiba terfikir untuk mengutip semua sampah tersebut. Tetapi, tiba-tiba, tanpa saya sedari, rupa-rupanya gerak geri saya sedang diperhatikan oleh sekumpulan monyet liar di kawasan tersebut. Alangkah terkejutnya apabila nampak sekumpulan monyet liar.  Saya nyaris-nyaris diserang oleh monyet liar tersebut.  Namun, mujur seorang guru yang ada di sana mengekori saya.  Jika tidak, saya pun tidak tahu apakah yang bakal terjadi kepada saya.  Pada ketika itu, saya sempat melarikan diri dan dapat melepaskan diri daripada diserang oleh monyet tersebut.  Menurut guru tersebut, monyet di sana sangat ganas sehingga menyebabkan tiada seorang pun yang sanggup menyewa kantin sekolah.  Setiap hari barang jualan akan dicuri, dan kadang-kadang menurutnya monyet-monyet tersebut menyerang penguasa kantin. 

Syukur saya panjatkan kepada Ilahi kerana telah menjauhkan saya dari kejadian yang tidak diingini.  Nasihat saya kepada guru-guru yang baharu saja ditempatkan di sekolah baharu agar memerhatikan keadaan sekeliling mereka dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Rabu, 3 Oktober 2012

Asam Garam Duniaku: Mengapa Aku Menjadi Guru?




Hati berasa terharu apabila melihat pengorbanan seorang ayah.  Pernah satu ketika, aku menangis melihat ayah terlantar sakit berbulan lamanya.  Masih terbayang di ingatan ketika itu aku dimarahi, dirotan, berdiri atas kerusi bersama rakan-rakan yang lain.  Sungguh perit kurasakan ketika itu.  Namun kini aku berada di sini sepertimu. Akhirnya aku merasai dan memahami situasi profesion itu, ‘Guru’.  terfikir di benakku tanpa ayah aku tidak akan berada di sini.  Jasamu dikenang oleh ramai insan-insan yang telah berjaya kini.  Sekarang hanya tinggal sisa-sisa kenangan. Sewaktu dulu kau melontarkan suaramu yang tinggi dengan penuh keikhlasan ketika kau mengajar kami.  Di rumah pula kau membimbing kami melaksanakan peranan dan tanggungjawabmu sebagai seorang ayah.  Di meja yang usang itulah kau menyemak, membaca dan menunaikan amanahmu sebagai seorang guru.  Kulihat kau begitu tekun hingga malam hari menjelma.  Berbagai-bagai persoalan bermain di benakku kini.  Tanpa guru..bagaimanakah kita mengenal huruf dan nombor?  Tanpamu guru…siapakah doktor, peguam, ahli-ahli korporat dan sebagainya.  Namun adakah jasamu masih dikenang kini?

Disediakan oleh:
Mesra hm

Khamis, 27 September 2012

Asam Garam Duniaku: Mengapakah Pelajar Kita Bermasalah?



Melalui segmen ‘Asam Garam Duniaku’ kali ini, saya ingin mengongsikan pengalaman saya sebagai seorang pendidik.  Kisah ini berlaku di salah sebuah sekolah tempat saya pernah mengajar suatu ketika dahulu.

Kisah ini berlaku pada tahun 2000.  Pada ketika itu, saya berhadapan dengan seorang pelajar yang bermasalah dari segi pembelajaran dan disiplin.  Pelajar ini sebelumnya dijaga oleh bapa saudara di tempat lain dan diberi kasih sayang yang sepenuhnya daripada mereka.  Namun, apabila jodoh bapa saudaranya telah berakhir, dia terpaksa dihantar semula ke tempat asalnya iaitu ke pangkuan ibunya.

Apabila berada dalam jagaan ibunya, pelajar ini mula memberontak kerana segala keinginannya tidak dipenuhi.  Dia mula berkelakuan kasar sehingga terbawa-bawa ke sekolah. Akibat perangainya ini, ibunya tidak menyukainya.  Ibunya mula berat sebelah terhadapnya berbanding dengan saudaranya yang lain.  Keperluan sekolahnya tidak seperti saudaranya yang lain.  Dia diabaikan.  

Pada tahun 2001, saya ditugaskan untuk menjadi guru kelas dan sekaligus mengajar kelas pelajar ini.  Walaupun dia dikenali sebagai pelajar yang tidak berdisiplin, namun saya tetap tekal untuk mendidiknya dan memberi semangat kepadanya untuk menyukai sekolah sekaligus meminati apa sahaja pembelajarannya.

Alhamdulillah, dia berubah.  Dia mula mengikuti pembelajaran sekolah dan mula mengikuti aktiviti yang dianjurkan sekolah dan Jabatan Sekolah-sekolah.  Dia mula pandai mengira, mengeja dan membaca.  Sejak itu dia mempunyai ramai kawan di sekolah.

Pada tahun 2003, pelajar ini masih di bawah didikan saya. Tetapi, pada bulan Ogos, saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Brunei Darussalam (UBD).  Saya tidak berkesempatan mengucapkan selamat tinggal  dan memberi nasihat kepadanya.  Terakhir kisahnya saya dengar, dia menjadi seperti dahulu, tidak mahu belajar dan menimbulkan banyak masalah di sekolah.   Saya juga mendengar cerita bahawa dia telah dipindahkan oleh ibunya ke sekolah lain.  Akan tetapi, dia bertindak lebih ganas di sana. 

Dua tahun lepas, saya terjumpa pelajar ini.  Dia terus bersalam dengan saya walaupun agak kekok kerana dia sekarang sudah menjadi seorang remaja.  Dia memberitahu saya yang dia sekarang bekerja di bengkel membuat perahu.  Dia juga berhasrat untuk membuka perniagaannya sendiri iaitu membuka bengkel membuat dan membaiki perahu kerana minatnya ada di situ.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepadanya tentang kisahnya setelah saya melanjutkan pelajaran ke UBD.  Dia memberitahu bahawa, guru yang menggantikan saya tidak pernah memperdulikannya. Malah mereka sering memarahinya.  

Timbul dalam fikiran saya, adakah saya terlalu memanjakannya semasa saya mengajarnya?  Saya imbas kembali, saya juga pernah memarahinya jika dia melakukan kesalahan.  Mungkin cara saya menangani pelajar ini berbeza daripada guru yang lain.  Walau bagaimanapun, saya dapat mengambil pengajaran daripada cerita ini, bahawa jika kita mengambil berat terhadap pelajar kita, tidak mustahil dia akan mengingati kita selamanya malah kita akan menjadi seorang guru yang paling dihormatinya dan disukainya.

Dihasilkan :
Masnor_8168

Jumaat, 21 September 2012

Asam Garam Duniaku: Betul atau Fitnah?



Apa sebab saya berada dalam bilik ini?  Berlegar-legar dalam fikiran kenapa agaknya guru tersebut dipanggil.  Di hadapan pula duduk seorang perempuan pertengahan usia. Sebelah kanan dua orang Timbalan Pengetua. Tidak ketinggalan guru disiplin dan beberapa orang guru yang juga mengajar di sekolah tersebut. Duduk  berhampiran dengan perempuan itu memang dikenali rupa parasnya.

“Apa agaknya masalah anda datang berjumpa dengan kami kali ini?”, Timbalan Pengetua mula bersuara dengan nada yang tenang. 

“Begini, saya ingin mengadu kepada pihak sekolah bahawa guru anak saya yang mengajar subjek x telah menganggap anak saya tidak wujud dalam kelas”. 

Guru berasa hairan.  Terkial-kial juga memikirkan apa kena mengena kata-kata perempuan tersebut dengan dirinya. 

“Layakkah seorang guru, menganggap pelajarya tidak wujud dalam kelas.  Ini memang tidak patut!” Semakin keras suara si ibu. 

Terasa pedas telinga guru berkenaan mendengarnya. 

Akhirnya guru bersuara tetapi ditujukan kepada pelajarya dan bukannya kepada si ibu,  “Bila agaknya cikgu berkata begitu kepada kamu?”

Pelajar menyahut seakan-akan tidak terdengar suaranya “Kelmarin sewaktu cikgu mengajar dalam kelas”.  

Rasanya tidak pernah guru berkata apa-apa apatah lagi menyakitkan hati pelajar-pelajarnya.  Akhirnya guru bertanya lagi “Adakah cikgu berkata begitu kepada kamu”. 

“Tidak.  Tetapi rakan sekelas saya ada memberitahu kepada saya bahawa cikgu mengatakan saya tidak wujud,” Dengan penuh yakin pula dia menjawab begitu. 

Akhirnya bersuaralah beberapa orang guru yang juga duduk bersama pada masa itu.  Mereka turut memberikan beberapa komen tentang sikap dan anaknya dalam kelas. 

Guru berkenaan akhirnya bersuara, “Terima kasih.”  Guru yang lain terdiam, mungkin berasa hairan.   “Terima kasih membuka mata dan hati saya bahawa tugas guru bukanlah mudah malahan ia mencabar bagi saya” , jelas guru berkenaan tadi. 

Si ibu tertunduk malu dan terus mengarahkan anaknya meminta maaf daripada gurunya.

Melalui peristiwa asam garam duniaku kali ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi.  Salah satunya ialah kehidupan pasti ada cabaran. Tidak mengira apa jua profesion anda sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya.  Jadi, terpulanglah kepada anda bagaimana untuk menangani cabaran tersebut.  Timbul persoalan, profesion apakah agaknya yang tidak mempunyai cabaran?

Mesra hm.

Sabtu, 15 September 2012

Asam Garam Duniaku: Sejauh mana Kita Memainkan Peranan Kita Sebagai Pendidik?



Menjadi seorang pendidik memang bukan tugas yang mudah.  Ia memerlukan kesabaran dan kegigihan seseorang guru itu kerana amanah yang diberikan adalah sungguh besar.

Sepanjang karier saya sebagai pendidik saya bertemu pelbagai ragam pendidik.  Ada yang memikul amanah Allah SWT ini dengan seikhlasnya dan tidak kurang juga yang memikulnya sambil lewa sahaja.

Pertemuan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana kesungguhan seorang guru mendidik anak muridnya hingga menempa kejayaan yang membanggakan.  Individu ini saya kenali sejak saya mengajar di sekolah ini.  Dia seorang guru yang berdedikasi dan berkarisma namun kesihatannya tidak mengizinkan beliau untuk bekerja lebih keras lagi.  Akan tetapi, individu ini tidak pernah menganggap kekurangannya itu sebagai penghalang untuknya berbakti kepada muridnya.

Bermacam inisiatif beliau laksanakan termasuklah mengadakan kelas tambahan secara percuma di rumahnya.  Beliau juga sanggup mengorbankan hujung minggunya untuk mendidik muridnya dengan mengadakan kelas tambahan setiap minggu.  Berkat kesungguhan beliau, sekolah kami telah menempah sejarah buat pertama kalinya apabila berjaya mendapat 100% dalam mata pelajaran yang diajarnya iaitu Matematik.  

Sesungguhnya beliau merupakan sumber inspirasi untuk saya.  Walaupun dengan masalah kesihatan yang dialaminya tetapi semangat dan kegigihannya tetap membara.  Beliau menyedarkan saya bahawa mendidik ini tidak mengira masa dan tempat kerana ia adalah amanah Allah SWT kepada kita.  Saya berasal kesal  kerana terdapat  sesetengah guru yang mendidik anak bangsa sambil lewa sahaja.

Semoga kita diberi kekuatan, keinsafan dan kesihatan yang terbaik untuk memikul amanah ini demi mendidik anak bangsa kita yang tercinta. 

Renungkanlah…

Memang benar sumber rezeki kita halal namun adakah ia cukup berbaloi dengan sumbangan kita?
Sejauh manakah kita sanggup menyuap mulut anak kita dengan rezeki yang kita peroleh ini?

Dihasilkan oleh :
Cg.Masnor_8168