Rabu, 29 Ogos 2012

Seindah Bahasa: Berfikir Sejenak dan Merenung Masa Lalu...






"Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak." Dipetik dari: http://www.usim.edu.my/qusim/index.php?option=com_content&view=article&id=42&Itemid=44

Mengapa kita perlu BERFIKIR SEJENAK dan MERENUNG MASA LALU?  

Ini kerana dengan BERFIKIR SEJENAK, kita akan BERTINDAK menggunakan AKAL dan BUKAN menggunakan EMOSI.  Apabila kita bertindak menggunakan akal, segala tindakan yang dilakukan tidak bersifat keterlaluan atau di luar batas ketatasusilaan, adat, budaya dan agama kita. 
 
Begitu juga jika kita MERENUNG MASA LALU,  kita akan PERTIMBANGKAN SEGALA TINDAKAN atau PERBUATAN kita pada MASA KINI sama ada baik atau buruk untuk dijadikan sebagai ikhtibar atau pengajaran.  MASA LALU merupakan PENGALAMAN yang PALING BERHARGA yang boleh membantu kita agar dapat BERTINDAK dengan lebih BERHATI-HATI dan berasaskan FIKIRAN YANG WARAS serta RASIONAL.     

Oleh itu,  BERFIKIRLAH walaupun SEJENAK, dan RENUNGLAH MASA LALU sebelum sesuatu TINDAKAN dibuat.  Ini kerana dengan BERFIKIR SEJENAK dan MERENUNG MASA LALU, Insya Allah segala TINDAKAN yang akan kita lakukan dapat memberi FAEDAH bukan sahaja kepada DIRI SENDIRI, malahan juga kepada ORANG-ORANG LAIN yang ada di sekeliling kita.

Sekian.

Keterangan Seindah Bahasa Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Info Ilmu: Mengapakah Pengajaran Tatabahasa Perlu Diperbaiki?


MASALAH PENGAJARAN TATABAHASA

MEMBOSANKAN
Menurut Awang Sariyan (2009), aspek tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek atau aspek yang “kering”, membosankan, dan kadangkalanya menakutkan. Tatabahasa dianggap “kering” dan membosankan kerana kononnya ia hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya seperti mata pelajaran Matematik.  Disebabkan itulah, tidak ramai pelajar yang dapat menguasai aspek ini walaupun mereka sudah mempelajarinya sejak sekolah rendah lagi (Nawi Ismail, 2010).  


KESALAHAN BAHASA
Pelbagai kesalahan bahasa dapat dikesan dalam latihan atau jawapan pelajar, bukan sahaja dalam penulisan karangan (Nawi Ismail, 2010), malahan juga dalam konteks lisan.  Menurut Raminah Hj. Sabran (1987), kesalahan bahasa bermaksud bentuk bahasa yang menyimpang daripada bentuk bahasa yang baku, iaitu suatu bentuk bahasa yang digunakan dalam hubungan formal. Bentuk ini benar-benar mematuhi tatabahasa dan bebas daripada pengaruh dialek daerah dan bahasa pertuturan yang tidak formal.  Juriah dan kawan-kawan (1994) pula menyatakan bahawa kesilapan bahasa adalah sesuatu bentuk penggunaan bahasa yang menyimpang daripada sistem bahasa yang diterima sebagai baku oleh penutur jati yang terpelajar dan kesilapan itu meliputi semua aspek bahasa seperti tatabahasa, ejaan, sebutan, penggunaan perkataan dan istilah.


KURANGNYA KESANTUNAN BERBAHASA
Selain itu, kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi juga kurang diambil perhatian.   Kesantunan bahasa diukur berdasarkan kepatuhan penggunaan bahasa terhadap peraturan bahasa yang digunakan oleh sesuatu masyarakat.  Secara umum, ia merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara (Awang Sariyan, 2007).  Namun, masyarakat kita hari ini hanya sekadar menyampaikan idea dengan menggunakan bahasa yang memperlihatkan kesombongan, keangkuhan ketidakacuhan, keegoan, tidak beradat dan kurang ajar terutamanya dalam konteks lisan.  Menerusi penggunaan kata ganti diri, misalnya, masyarakat kita masih gagal untuk mengenal pasti bentuk sapaan yang sesuai dan sopan untuk digunakan  Ada juga golongan remaja yang tidak mengucapkan salam tanda sapaan dan hormat sebelum memulakan bicara (Zuraidah Mohd. Sulaiman, 2011).   


MENGGUNAKAN SATU KAEDAH PENGAJARAN SAHAJA
Selain itu, terdapat juga guru yang mengajarkan aspek tatabahasa dengan menggunakan satu kaedah pengajaran sahaja.  Menurut Awang Sariyan (2009), guru yang hanya memberi penekanan kepada penguasaan rumus-rumus tatabahasa akan lupa untuk menerapkan tatabahasa dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Manakala, guru yang taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tatabahasa.  Akibatnya, kaedah tradisional gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan pelajar.  Manakala, kaedah komunikatif pula gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem walaupun mungkin menarik kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari.

TUJUAN PENGAJARAN TATABAHASA


Bagi menangani masalah ini, guru Bahasa Melayu perlu mengambil sikap terbuka.  Mereka perlu memperbaiki pengajaran mereka agar ia dapat menarik minat pelajar dan dapat membantu pelajar bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan berbahasa (sama ada lisan mahupun tulisan) bukan sahaja di dalam kelas, malahan juga dalam konteks lingkungan yang lebih luas.  

MENARIK MINAT
Salah satu tujuannya adalah untuk menarik minat pelajar.  Menarik minat yang dimaksudkan ialah dapat merangsang atau menarik perhatian pelajar untuk menyertai dan melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan oleh guru di dalam bilik darjah.  Dalam hal ini, motivasi dan rangsangan daripada gurulah yang memainkan peranan penting.  Dengan kata lain, guru perlu mengembangkan minat pelajar untuk mempelajari tatabahasa bukan hanya terhad di dalam bilik darjah, tetapi, apa yang lebih penting ialah, minat itu dapat dibangkitkan secara berterusan dan diarahkan kepada sesuatu matlamat tertentu yang akan dapat membawanya jauh melebihi daripada pengalaman yang digunakan sebagai penggerak atau motivasi ke arah pembelajaran selanjutnya (Kamarudin Haji Husin, 2010).

MENINGKATKAN MUTU BAHASA PELAJAR
Selain itu, tujuan lain pengajaran tatabahasa perlu diperbaiki ialah untuk meningkatkan mutu bahasa pelajar ketika berkomunikasi.  Dengan kata lain, bahasa yang digunakan oleh pelajar perlu mempunyai kualiti dan nilai yang tinggi sama ada digunakan dalam konteks lisan mahupun tulisan.  Dalam hal ini, kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja mementingkan ketertiban dari segi morfologi, fonologi, sintaksis dan semantik, malahan juga mementingkan dari segi ketertiban atau kesantunan berbahasa. 


RUJUKAN
Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Juriah Long, Raminah Hj. Sabran dan Sofiah Hamid (1994). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Kamarudin Haji Husin  (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Nawi Ismail (2010). Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Tatabahasa dan Ejaan: Satu Cadangan. Strategi Pengajaran Guru Cemerlang. Diselenggarakan oleh Azizul Rahman Abdul Rahman dan Mohamad Saleeh Rahamad. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Raminah Hj. Sabran (1983). Satu Analisis Kesilapan Nahu Penutur Jati Bahasa Melayu di Kalangan Guru Pelatih, Tesis Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya.

Zuraidah Mohd. Sulaiman (2011). Sopan Berbahasa Wadah Semarak Bangsa. Pelita Bahasa. Jun 2011: 4


Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati