Rabu, 12 September 2012

Seni Kreatif: Mari Berihaiku (Haiku)



Haiku ialah sejenis puisi tradisional yang berasal daripada Jepun.  Haiku ialah sajak terikat yang boleh berdiri sendiri sama seperti pantun Melayu.  Namun berbeza dengan pantun, Haiku tidak memiliki rima akhir.  Keunikan haiku ialah ia terdiri daripada tiga baris dengan tiap barisnya terdiri dari 5, 7 dan 5 suku kata. 

Haiku sememangnya menarik untuk dipelajari kerana ia dapat ‘melukis’ imaginasi ke minda pembaca.  Ia secara tidak langsung dapat melatih minda untuk membuat ringkasan peristiwa, menerangkan pelbagai situasi atau golakan perasaan dalam sejumlah perkataan yang terhad.  Berikut adalah contoh-contoh haiku:

(a)
Furuike ya                         --> (lima suku kata)
kawazu tobikomu               --> (tujuh suku kata)
mizu no oto.                       --> (lima suku kata)

(Karya Basho yang terkenal)

Terjemahannya:

Di kolam tua                     --> (lima suku kata)
katak melompat masuk     --> (tujuh suku kata)
air berbunyi.                      --> (lima suku kata)


(b)
Mulut membisu             --> (lima suku kata)
bicara dengan minda     --> (tujuh suku kata)
mata membaca.             --> (lima suku kata)

(c)
Alam yang sunyi           --> (lima suku kata)
ada rindu berlagu          --> (tujuh suku kata)
mengenang dia.             --> (lima suku kata)        

(d)

Jam dinding putih           --> (lima suku kata)
cadar, peluk dan bantal   --> (tujuh suku kata)
katil yang kosong.           --> (lima suku kata)


Tulisan ini sebahagiannya adalah diterjemah daripada http://www.toyomasu.com/haiku
Manakala haiku (b, (c) dan (d) adalah nukilan saya sendiri.


Disediakan oleh:
Cikgu Muhammad Husaini



Analisis Kesalahan Bahasa: Betulkan Penggunaan 'Dari, Pada, Daripada, Kepada'






Kata sendi ialah kata yang bertugas sebagai kata depan kepada kata nama atau frasa nama.  Dalam segmen analisis kesalahan bahasa kali ini dibincangkan fungsi, kesalahan dan penggunaan yang betul terhadap empat jenis kata sendi bahasa Melayu, iaitu ‘dari, pada, daripada’ dan ‘kepada’. 

(a)    ‘dari’
Digunakan untuk menerangkan masa (tempoh), tempat dan arah.  Contoh penggunaan:

1.       Mereka bertolak dari rumah pada pukul 3.00 petang.
2.       Gerai itu akan dibuka dari jam 4.30 petang hingga jam 10.00 malam.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk manusia, asal usul sesuatu atau perbandingan, misalnya:

3.       Tikar ini dibuat dari daun mengkuang.  (SALAH)
Tikar ini dibuat daripada daun mengkuang.  (BETUL)

4.       Surat itu diterima dari Aaron Aziz.  (SALAH)
Surat itu diterima daripada Aaron Aziz.  (BETUL)



(b)   ‘pada’

Digunakan untuk waktu, manusia, haiwan, tempat dan benda-benda yang bersifat abstrak.  Contoh penggunaan:

5.       Kasut yang saya beli tadi ada pada adik.
6.       Sambutan Aidilfitri itu akan diadakan pada malam Jumaat.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk arah, misalnya:
7.       Duit ini hendak dikirim pada siapa?  (SALAH)
Duit ini hendak dikirim kepada siapa?  (BETUL)

(c)    ‘daripada’
Digunakan untuk manusia, asal sesuatu, perbandingan atau perbezaan bahagian sesuatu benda yang abstrak.  Contoh penggunaan:

8.       Yusri menerima banyak SMS daripada peminatnya.
9.       Masakan Hidayah lebih sedap daripada Siti.

Kata sendi ini tidak boleh digunakan untuk masa, tempat dan arah, misalnya:
10.   Kamu datang daripada mana?  (SALAH)
Kamu datang dari mana?  (BETUL)


(d)   ‘kepada’
Digunakan untuk menunjukkan arah yang khusus merujuk manusia, haiwan dan menyatakan pecahan.  Contoh ayat:
11.   Sila hantar borang pendaftaran kepada cikgu Hasibah.
12.   Potong kek itu kepada lapan bahagian.


UJI DIRI

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih kata sendi yang betul, sama ada ‘dari, pada, daripada atau kepada’.

1.       Mesra menyerahkan kad jemputan perkahwinan itu _______ Roslina.

2.       Kain yang berwarna hijau itu lebih cantik ______ kain yang saya beli kelmarin.

3.       Husain mengambil seketul ayam lalu diberikan ______ kucing kesayangannya.

4.       Kotak ini diperbuat ______ bahan-bahan kitar semula.

5.       “Novel yang saya beli tadi ada ______ adik,” kata Masnor.

6.       Azim akan menyerahkan hadiah itu ______ tunangnya ______ hari esok.

Sila e-mailkan jawapan anda kepada rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas. 



Disesuaikan daripada:
Explorasi Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 1, 2003.

Disediakan oleh:
Cikgu. Muhammad Husaini