Pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti;
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa ke mati.
Rangkap pantun budi di atas sangat
masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu.
Gaya bahasanya indah dan mempunyai nilai etika yang sangat tinggi. Sungguhpun pantun ini mungkin sudah berusia
beratus-ratus tahun lamanya, ia masih sangat releven hingga ke zaman
sekarang. Pantun ini dengan begitu jelas
menggambarkan betapa tingginya nilai budi dalam konteks bangsa Melayu.
Apakah yang dimaksudkan dengan
budi? Budi dapat diertikan sebagai
kesantunan, jasa, sifat atau akhlak.
Sememangnya budi dan masyarakat Melayu begitu sinonim dan tidak dapat
dipisahkan. Dalam konteks bahasa, budi
dapat dikategorikan kepada tiga, iaitu budi bahasa, budi bicara dan budi
pekerti. Budi bahasa bermaksud
gaya pertuturan, cara bercakap dengan orang yang lebih berusia atau berpangkat
tinggi dalam keluarga mahupun masyarakat.
Budi bicara pula bermaksud cara seseorang membuat pertimbangan
akal sebelum membuat keputusan dan tindakan.
Manakala, budi pekerti pula bermaksud tingkah laku ataupun
keolahan dalam pergaulan seharian.
Peringatan dan kepentingan menghargai
budi banyak terzahir dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu semenjak
dahulu lagi, khasnya dalam budaya, adat dan istiadat. Budi telah sekian lama menjadi prioriti dan
mengalir dalam darah orang-orang Melayu, misalnya dalam hal-hal kekeluargaan,
berurus niaga, perhubungan, mencari pasangan hidup dan sebagainya. Oleh itu, sebagai orang Melayu, kita mestilah
sentiasa menyanjung nilai budi, khasnya terhadap budi yang diberi. Jangan sampai kita dikatakan orang yang tidak
tahu mengenang budi atau ‘Seperti kacang lupakan kulit’. Selain itu, dalam hidup ini juga, kita
hendaklah selalu memberi, jangan hanya tahu menerima.
Yang
kurik itu kundi yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi yang indah itu bahasa.
Nukilan:
Cikgu Md. Husaini