Jumaat, 5 Oktober 2012

Tunjuk Ajarku Guru: Kata Ganti Nama Diri



  • Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan nama orang
  • Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga jenis iaitu :
a).  Kata ganti nama diri pertama;
b).  Kata ganti nama diri kedua; dan
c).   Kata ganti nama diri ketiga

KATA GANTI NAMA DIRI PERTAMA
  • Digunakan untuk menggantikan nama diri orang yang bercakap atau merujuk kepada diri sendiri apabila bercakap dengan orang lain.
  • Kata ganti nama diri pertama terbahagi kepada dua iaitu bentuk tunggal dan bentuk jamak
    • Bentuk tunggal   -              aku, beta, daku, hamba, patik, saya
    • Bentuk jamak     -              kami, kita

Penerangan penggunaan Kata ganti nama diri pertama (KGNDP) :
KGNDP
Penerangan
Contoh ayat :
aku
Untuk merujuk diri sendiri apabila bercakap dengan orang yang sangat rapat dan apabila berdoa kepada Tuhan
  • “Aku anak yatim piatu,” kata Halim kepada Syaleena.
beta
Digunakan oleh raja, sultan dan kerabat diraja apabila bertitah kepada rakyat, sama ada dalam majlis/urusan rasmi ataupun dalam urusan/situasi biasa
  • “Beta berdoa ke hadrat Ilahi agar rakyat beta hidup aman dan sejahtera,” titah Sultan Mohammad
daku
Sebagai objek kepada kata kerja transitif yang ejaannya berakhir dengan huruf ‘n’
  • Masih ingatkah engkau akan daku?
hamba
Digunakan untuk membahasakan diri sendiri terutamanya tatkala berbicara pada zaman dahulu
  • “Janganlah hamba dihina begini,” rayu saudagar itu kepada Bendahara
Patik
Digunakan oleh rakyat untuk merujuk kepada diri sendiri apabila bercakap dengan raja, sultan dan kerabat diraja sama ada dalam suasana rasmi atau sebaliknya
  • “Patik datang ke mari membawa hajat yang besar, tuanku,” kata Bendahara kepada Sultan
Saya
Merujuk kepada diri sendiri apabila bercakap dalam suasana rasmi; dengan orang yang baru dikenali; dengan orang yang dihormati; dengan orang yang lebih tua dan dengan orang lain pada umumnya
  • “Rumah saya tidak jauh dari sini,” kata Rahim kepada cikgunya.
kita
Merujuk kepada diri sendiri dengan menyertakan diri orang kedua atau orang yang dilawan bercakap
  • “Usaha kita selama ini tidak sia-sia,” kata Faiza kepada Syakirah
kami
Merujuk kepada diri orang yang bercakap serta anggota kumpulannya apabila bercakap dengan orang kedua yang tidak termasuk dalam kumpulan mereka
  • “Kami sudah dua hari tidak makan nasi,” kata Ali dan Nisa kepada ibu mereka.

KATA GANTI NAMA DIRI KEDUA
  • Digunakan untuk menggantikan nama diri orang kedua atau orang yang diajak bercakap
  • Terbahagi kepada dua bentuk, iaitu bentuk tunggal dan bentuk jamak;
    • Bentuk tunggal        -              anda, awak, dikau, engkau, tuanku, kamu
    • Bentuk jamak          -              anda, kalian, kamu

Penerangan tentang penggunaan kata ganti nama diri kedua (KGNDKD) :

KGNDKD
Penerangan
Contoh ayat
anda
Digunakan pada orang yang tidak dihadapan kita. Contohnya dalam siaran radio, televisyen dan sebagainya
  • Anda pasti akan berpuas hati apabila menggunakan barangan kami.
Awak
Digunakan pada orang yang rapat hubungannya dengan kita
  • “Sejak bila awak tinggal di sini?” soal Izam kepada Amin.
Dikau
Digunakan dalam tulisan sebagai objek kepada kata sendi dan kata kerja transitif yang ejaannya berakhir dengan huruf ‘n’
  • “Aku akan memperkenalkan dikau dengan kawan-kawanku yang lain,” kata Amal kepada Liza.
Engkau
Digunakan pada orang yang rapat hubungannya dengan kita dan dengan Tuhan apabila berdoa
  • “Ya Allah, Engkau ampunilah dosaku ini!”
Kalian
Digunakan pada orang yang dilawan bercakap yang bilangannya melebihi seorang/bilangan banyak
  • “Kalian tunggu aku di tebing sungai sana,” kata Yusrin kepada rakan-rakannya.
Kamu
Digunakan pada orang yang dilawan bercakap yang rapat hubungannya dengan kita; juga digunakan oleh orang dewasa apabila bercakap dengan orang yang lebih muda
  • “Kamu masih belum sihat lagi, Man?” Amin bertanya
Tuanku
Digunakan apabila pihak yang dilawan bercakap ialah raja/sultan/ permaisuri
  • “Patik menghadap, Tuanku,” kata Tun Telanai kepada Sultan Salleh

KATA GANTI NAMA DIRI KETIGA
  • Digunakan untuk menggantikan nama diri orang yang dicakapkan atau yang diperkatakan
  • Contoh kata ganti nama diri ketiga ialah : baginda, beliau, dia, ia dan mereka

Penerangan penggunaan kata ganti nama diri ketiga (KGNDKT)

KGNDKT
Penerangan
Contoh ayat :
baginda
Untuk menggantikan nama sultan/ raja/kerabat diraja serta para rasul.
  • Nabi Muhammad cucunda Abdul Mutalib.  Baginda diputerakan pada tahun gajah.
Beliau
Untuk menggantikan nama diri orang yang dicakapkan yang dianggap mulia, berjasa dan tidak melakukan keji
  • Semua anak beliau belajar di universiti luar negara.
Dia/ ia
Untuk menggantikan nama diri orang yang diceritakan/dicakapkan
  • Dia/ia sering menghiburkan hati kami.
Mereka
Untuk menggantikan nama diri orang ketiga yang dicakapkan yang bilangannya melebihi seorang
  • Rumah mereka ranap ditiup angina ribut.

Rujukan : Tatabahasa Bahasa Malaysia (UPSR).  Selangor : Longman.

Diubahsuai oleh :
Masnor_8168

Tiada ulasan:

Catat Ulasan