Isnin, 3 September 2012

Asam Garam Duniaku: Kenali Siapa Pelajar Kamu


Paparan kali ini ialah kisah benar seorang guru yang berlaku beberapa tahun yang lalu. Beliau menyaksikan sendiri kesusahan sebuah keluarga. Bacalah…..

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur . Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah.

Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah.

Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.

Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah. Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

 “Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita-cerita  begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut :

i. Solat sunat

ii. puasa sunat

iii. berzikir

iv. bersedekah

v. mengusap rambut anak yatim

vi. mendengar cerita-cerita kesusahan orang lain

vii. membantu orang susah

Wassalam


Oh Rupanya: Asal Usul Melayu


Peta Lama Negara Melayu


Terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul Melayu, seperti berikut:

Menurut catatan orang Cina, sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja Cina sekitar Tahun 644-645 Masihi. 

Ada yang mempercayai bahawa kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, berasal dari sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai MELAYU.

Satu lagi catatan orang Cina ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu merekodkan tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.