Memaparkan catatan dengan label Analisis Kesalahan Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Analisis Kesalahan Bahasa. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Oktober 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Kata Seru


Kata Seru
Penggunaannya
Ayat Contoh
aduh
digunakan untuk menyatakan perasaan hairan atau sakit
1.Aduh, cantiknya puteri itu!
2.Aduh, sakit perutku!
aduhai
digunakan untuk menyatakan perasaan sedih
Aduhai, malang sungguh nasibku!
ah
digunakan untuk menyatakan rasa tidak setuju atau untuk menyatakan penolakan
1.Ah, aku tidak setuju!
2.Ah, aku tidak mahu terbabit!
Amboi
digunakan untuk menyatakan rasa hairan atau kagum
1.Amboi, comelnya bayi itu!
Cih/cis
digunakan untuk menyatakan perasaan tidak suka, mengejek atau marah
1.Cih, biadap sungguh pemuda itu!
2.Cis, nyah engkau dari sini.
Eh
digunakan untuk membayangkan perasaan hairan atau terkejut
Eh, kamu tinggal di sini rupa-rupanya.
Hai
digunakan untuk menyatakan perasaan hendak menyapa atau untuk menarik perhatian
1.Hai, lama kita tak berjumpa!
2.Hai, lihat perbuatanmu ini!
Nah
digunakan untuk menarik perhatian dan berbagai-bagai maksud
1.Nah, inilah yang ku nanti-nanti!
2.Nah, kalau begitu, bersabarlah!
3.Nah, rasakan penumbukku ini!
Oh
digunakan untuk menyatakan perasaan kecewa, hairan, terkejut, dan sebagainya
1.Oh, sampai hati engkau berbuat begitu!
2. Oh, baru aku teringat!
wah
digunakan untuk menyatakan perasaan kagum
Wah, banyaknya durian yang gugur!
Wahai
digunakan untuk menyatakan perasaan sedih atau untuk menarik perhatian
Wahai saudara-saudara sekalian, kembalilah ke jalan yang benar!


Lengkapkan ayat-ayat di bawah ini dengan kata seru yang paling sesuai yang terdapat dalam kurungan.
________, pesat sungguh pembangunan di sini!
________, abang saya rupa-rupanya bermain di padang itu!
________, pelajar-pelajar, belajarlah dengan sungguh-sungguh!
________, berani kamu menunjukkan muka di sini!
________, pening kepala aku apabila memikirkan hal itu!

Sabtu, 6 Oktober 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Kesalahan Tanda Titik (.), Tanda Sempang (-) dan Tanda Seru (!)





Tanda baca ialah lambang-lambang tertentu yang digunakan sewaktu menulis untuk memberikan penjelasan tambahan tentang makna yang ingin disampaikan.  Pada kali ini dikongsikan beberapa kesalahan yang sering berlaku dalam penggunaan tanda-tanda baca, iaitu tanda titik atau noktah (.), tanda sempang (-) dan tanda seru (!).  Diharap dengan adanya penerangan ini kita akan lebih peka dan dapat menggunakan tanda-tanda baca ini dengan betul dalam penulisan.

1.       Kesalahan Tanda Titik/Noktah (.)
Tanda titik atau noktah ialah tanda baca yang penting dan mesti digunakan dengan betul.  Selain berfungsi sebagai tanda penamat dalam ayat, tanda titik juga digunakan untuk menyatakan singkatan.  Kesalahan berlaku apabila tanda titik tidak digunakan, seperti berikut:

SALAH
BETUL
Hj
Hj.
Ak Ali
Ak. Ali
Dk Hjh Roslina
Dk. Hjh. Roslina
Prof
Prof.
Dr Yahya
Dr. Yahya


2.       Kesalahan Tanda Sempang (-)
Terdapat banyak tempat dalam penulisan yang memerlukan sempang, tetapi penggunaannya sering diabaikan.  Tidak menggunakan sempang pada tempat-tempat yang diperlukan merupakan kesalahan.  Berikut dihuraikan kesalahan-kesalahan dari segi penggunaan tanda sempang:

(a)    Sebagai Tanda Kata Ganda
Kata ganda ditulis dengan penggunaan tanda sempang.

SALAH
BETUL
meja meja
meja-meja
jabatan jabatan
jabatan-jabatan
berkata kata
berkata-kata
bantah membantah
bantah-membantah
ipar duai
ipar-duai
saudara mara
saudara-mara

(b)   Antara Ke dengan Angka
Sempang hendaklah hadir antara ke dengan angka.
SALAH
BETUL
ke 21 atau ke21
ke-21
ke 102 atau ke102
Ke-102

(c)    Antara Angka yang Merujuk Tahun dengan Akhiran -an
Sempang perlu hadir antara angka yang merujuk tahun dengan akhiran -an.
SALAH
BETUL
tahun 90 an atau tahun 90an
tahun 90-an
tahun 20 an atau tahun 20an
tahun 20-an

(d)   Antara Huruf Kecil dengan Huruf Besar
Huruf besar digunakan apabila merujuk Tuhan atau nama khas.  Jikalau huruf besar ini digunakan serangkai dengan perkataan lain, maka sempang digunakan untuk memisahkan huruf besar dengan huruf kecil.

Contohnya:

1.                   Merujuk Tuhan

SALAH
BETUL
hambaMU atau hamba mu
hamba-Mu
rahmatNya atau rahmat Nya
rahmat-Nya

2.                   Huruf besar bagi nama khas

SALAH
BETUL
pro Barat atau proBarat
pro-Barat
pan Asia atau panAsia
pan-Asia
KDN nya atau KDNnya
KDN-nya


3.       Kesalahan Tanda (!)

Tanda seru hadir di akhir ayat.  Salah jika tanda seru diletakkan sepelas kata seru.  Contohnya:

SALAH
BETUL
Amboi!  Mahalnya harga baju ini.
Amboi, mahalnya harga baju ini!
Alamak!  Saya terlupa bawa pensil.
Alamak, saya terlupa bawa pensil!



UJI DIRI ANDA
Sila kesan dan betulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

a.       Nama beliau ialah Pro Dr Hj Ak Roslan.
b.      Oh! Tuhan kepada Mu tempatku meminta.
c.       Dk Rosnita dilahirkan sekitar tahun 80an.
d.      “Mendapat tempat ke7 dalam pertandingan ini ialah Pg Hj Bakri,” kata pengacara itu.

e.      Dia seorang yang anti Barat.


Sila emelkan jawapan anda ke rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas.




Disediakan oleh:
Muhammad Husaini

Disesuaikan daripada:
Eksplorasi Bahasa Melayu, KBSM Tingkatan 1, 2003.  Fajar Bakti Sdh.., Bhd., Malaysia.

Ahad, 30 September 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Kata Hubung Gabungan





Melalui segmen ‘Analisis Kesalahan Bahasa’ kali ini, saya akan mengemukakan fungsi dan contoh penggunaan Kata Hubung Gabungan dalam ayat. 

Apakah yang dikatakan sebagai Kata Hubung  Gabungan?
Kata Hubung Gabungan ialah bentuk kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang setara sifatnya.

Perhatikan jadual penggunaan kata hubung gabungan seperti yang berikut:

Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan Dalam Ayat
DAN
Untuk menambah subjek dan predikat dalam sesuatu ayat.
Rose dan Mesra akan melanjutkan pelajaran mereka di sebuah universiti tempatan pada bulan Julai nanti.
ATAU
Menunjukkan pilihan.
Pada hari Ahad atau kelepasan awam, dia jarang duduk di rumah.
KECUALI
Menunjukkan kekecualian.
Semua pelajar di kelas itu dapat membaca dengan baik kecuali Mahmud.
LALU
Menggabungkan dua perbuatan yang dilakukan secara berturut-turut.
Dia masuk ke dewan lalu duduk di barisan hadapan sekali.
TETAPI
Menggabungkan dua ayat yang menunjukkan makna yang berlawanan.
Dk. Sebah ingin melanjutkan pelajarannya tetapi ayahnya tidak mampu untuk membiayai kos pengajiannya.
SAMBIL
Menunjukkan sesuatu perbuatan yang dilakukan serentak atau pada masa yang sama.
Salmah menyanyi sambil menari ketika berada di atas pentas.

SERTA
Menyatakan maksud turut atau bersama-sama.
Herman, Iwan serta beberapa orang kawannya akan berkelah di Pantai Seri Kenangan pada hari minggu ini.



UJI DIRI
Isi tempat kosong dengan kata hubung gabungan yang bersesuaian.


  1. Hidayah akan ditinggalkan di rumah neneknya pada setiap hari  ________hari Ahad dan cuti umum.
  2. Fatimah rajin _______ gigih berusaha untuk mencapai cita-citanya.
  3. Emak membeli ikan, sayur-sayuran ________ buah-buahan di pasar tani itu.
  4. Kereta itu cantik ______ mahal harganya.
  5. Emak mengumpulkan daun-daun kering itu _______ membakarnya.
  6. Cikgu Husaini menulis sesuatu di papan hitam ________ menerangkannya kepada pelajar-pelajar di dalam kelas.
  7. Masnordina masih belum membuat keputusan _______________  hendak meletakkan jawatan atau terus berkhidmat di syarikat itu.


Diubahsuai dan disesuaikan dari: Nota Komprehensif SPM Bahasa Melayu (Menengah 4 & 5).


Sila hantarkan jawapan anda melalui emel rosainora@gmail.com.

Disediakan oleh:
Cikgu Ros Linawati