APAKAH BAHAN PUISI DAN TMK?
Puisi merupakan karangan
berangkap, seperti sajak, pantun, gurindam, syair dan seloka. Manakala, TMK pula melibatkan penggunaan
pelbagai alat komputer seperti komputer meja atau komputer riba, telefon tangan
serta pelbagai perisian termasuk Internet dengan strategi pengajaran bagi
meningkatkan pembelajaran pelajar.
BAGAIMANAKAH INTEGRASI PUISI DAN TMK DALAM PROSES
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BM?
Berikut disertakan beberapa
aktiviti bagaimana bahan puisi dan TMK diimplementasikan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM).
1. Aktiviti
Nyanyian
Bagi meningkatkan kemahiran lisan
pelajar, sajak dan bahan audio boleh digunakan.
Ini kerana banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahan audio dapat
meningkatkan kemahiran lisan pelajar (Mahzan Arshad, 2005). Sebelum aktiviti dimulakan, pelajar-pelajar
dikehendaki berbincang terlebih dahulu tentang melodi lagu yang diminati dalam
kumpulan masing-masing di samping menyesuaikannya dengan sajak yang
dipelajari. Setelah selesai perbincangan,
guru boleh meminta pelajar untuk melagukan atau menyanyikan sajak mengikut
melodi lagu yang dibincangkan tadi. Agar
persembahan pelajar lebih menarik, nyanyian pelajar boleh diiringi dengan alat
muzik seperti gitar atau muzik instrumental daripada MP3. Dalam konteks pengajaran bahasa, aktiviti
menyanyi ini bukan sahaja dapat menjadikan pengajaran guru lebih menarik,
malahan ia juga memudahkan pemahaman pelajar di samping dapat membantu pelajar
mengingat kembali perkara yang telah dipelajari, menguasai perbendaharaan kata
dan sebutan dengan lebih mudah (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009).
2. Aktiviti
Mendeklamasi
Pelajar juga boleh mendeklamasikan
sajak dan melagukan / menambang syair di
dalam kelas. Sebelum itu, contoh atau
cara mendeklamasi sajak atau melagukan / menambang syair perlulah ditunjukkan
terlebih dahulu kepada pelajar dengan menggunakan bahan bantu yang meliputi
bukan sahaja bahan audio, malahan juga bahan video. Bahan-bahan ini boleh dimuatkan dalam satu
perisian kursus sama ada yang dirakam sendiri oleh guru atau yang diperolehi
melalui internet atau web. Dengan
berpandukan bahan ini, pelajar dapat mendengar dan mengajuk serta melafazkan
puisi dengan sebutan, intonasi, gaya dan irama yang betul (Nazri
Abu Bakar et al.).
3. Aktiviti
Bercerita
Pelajar juga boleh meluahkan atau
menceritakan tentang sesuatu dengan menggunakan sajak, contohnya yang berkaitan
dengan ayah. Dengan menggunakan sajak,
guru boleh meminta para pelajar untuk meluahkan dan menceritakan segala-galanya
mengenai ayah mereka seperti pengorbanan dan kasih sayang yang ayah mereka
curahkan kepada mereka dan sebagainya.
Mereka juga boleh membawa gambar ayah mereka yang disimpan di dalam CD
untuk dipamerkan dengan menggunakan komputer kepada rakan-rakan mereka. Dengan adanya aktiviti ini, secara tidak
langsung akan dapat merangsang emosi pelajar di samping dapat memupuk nilai
perasaan kasih sayang mereka terhadap ibu bapa.
4. Aktiviti Menulis
Pelajar juga boleh menghasilkan
apa sahaja jenis karangan seperti cerpen, artikel dan sajak setelah aktiviti
bercerita dijalankan berdasarkan puisi yang telah dipelajari. Pelajar bebas memilih tajuk atau jenis
penulisan tetapi mestilah berkaitan dengan sajak yang dipelajari, contohnya
yang berkaitan dengan ayah. Bagi
memastikan hasil karangan pelajar tidak dibiarkan begitu saja, guru boleh
meminta pelajar untuk menjadikan hasil karangan tersebut dalam bentuk buku atau
majalah sebenar dengan menggunakan program-program komputer seperti Microsoft Publisher. Hasil karangan pelajar yang terbaik boleh dihantar
untuk diterbitkan ke dalam majalah atau surat khabar seperti majalah Mekar, majalah Juara Pelajar dan akhbar Pelita
Brunei. Selain itu, ia juga boleh diterbitkan
di laman web yang dicipta dan dikendalikan oleh sekumpulan pelajar di dalam
bilik darjah agar ia kelihatan lebih menarik (Mahzan Arshad, 2005). Melalui
aktiviti ini, pelajar bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran bahasa,
berfikir dan kemahiran menggunakan teknologi, malahan juga diajar untuk menghayati
sikap dan nilai-nilai murni seperti sikap kasih sayang, perjuangan hidup dan
bekerjasama.
5. Aktiviti Mengulas
Selain itu, guru juga boleh
meminta pelajar untuk mengulas dan mentafsir maksud puisi berdasarkan lirik
lagu. Hal ini perlu dilakukan supaya mesej tersurat dan tersirat yang terdapat
pada lirik lagu (yang berupa bait-bait puisi) dapat difahami dengan lebih
jelas. Lirik lagu yang dipilih sudah setentunyalah mempunyai mesej sama ada
secara tersurat atau tersirat.
Banyak contoh lirik lagu yang
boleh digunakan untuk aktiviti mengulas dan mentafsir ini. Salah satu contohnya ialah lirik lagu “Pergi
Tak Kembali” nyanyian kumpulan Rabbani.
Lirik lagu dan lagu yang berupa teks puisi dan bahan audio/video ini
kemudiannya ditayangkan dengan menggunakan program Microsoft Power Point. Setelah
pelajar melihat teks / lirik lagu dan mendengar lagu, pelajar dikehendaki
berbincang dalam kumpulan masing-masing untuk mentafsir maksud lirik lagu
tersebut. Kemudian, hasil perbincangan
dibentangkan. Tugas guru adalah untuk
memberikan komen pada setiap hasil perbincangan para pelajar agar dapat
dijadikan panduan dan ingatan kepada pelajar. Setelah pembentangan dan
penilaian diberikan, barulah guru memberikan contoh dan membimbing pelajar
tentang cara-cara mentafsir puisi.
Setelah pelajar dibimbing tentang
cara-cara mentafsir puisi, aktiviti lanjutan boleh dijalankan. Para pelajar diminta untuk mencari lirik
lagu sendiri sama ada secara individu atau berkumpulan. Kemudian, lirik lagu tersebut diberi tafsiran
dan ulasan secara bertulis (ditaip dengan menggunakan program Microsoft Word). Pelajar juga diminta untuk membentangkan
hasil tafsiran dan ulasan puisi tersebut dengan menggunakan perisian Microsoft Power Point dan bahan audio. Dengan adanya aktiviti ini, kemahiran
berfikir kritis pelajar dapat ditingkatkan.
6. Aktiviti Main Peranan
Guru juga boleh mengadaptasikan
bahan puisi seperti sajak kepada aktiviti main peranan. Aktiviti main peranan ini merupakan aktiviti
lakonan spontan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar tanpa menggunakan skrip.
Melalui aktiviti ini, pelajar perlu melakonkan watak masing-masing tanpa
merancang terlebih dahulu dialog yang bakal diperkatakan (Naffi Mat,
2006). Dalam aktiviti ini, bahan puisi
digunakan sebagai pencetus idea kepada pelajar bagi membayangkan masalah yang
pernah dilalui oleh mereka sama ada melalui bahan puisi yang dibaca ataupun
bahan lain selain daripada itu. Salah
satu contoh sajak yang boleh digunakan ialah sajak “Daun” karya Aminah Haji
Momin. Melalui sajak ini, terdapat
pelbagai persoalan tentang kehidupan manusia dikemukakan oleh pengarang. Antaranya tentang penderitaan, kegembiraan
dan sikap putus asa manusia dalam menghadapi kehidupan di dunia ini. Berdasarkan persoalan-persoalan ini, guru
boleh memberikan idea kepada pelajar tentang lakonan yang hendak
dipersembahkan. Antara idea-idea yang
boleh dikemukakan ialah tentang penderitaan hidup dalam berumah tangga,
penderitaan hidup seorang anak, penderitaan kerana kemiskinan dan
sebagainya. Dengan adanya aktiviti ini,
kreativiti para pelajar akan dapat dikembangkan.
Dihasil sepenuhnya oleh:
Cikgu Ros Linawati