Ahad, 16 September 2012

Seindah Bahasa: Mun Faham Bisai




Trend mencipta atau mengangkat ‘punch line’ dalam komunikasi lisan sering berlaku tanpa kita sedari.  Jika kita cuba imbas kembali, pada suatu ketika dahulu istilah atau ungkapan ‘Malas tah ku ingau (MTKI)’ agak popular dan menjadi mainan mulut masyarakat.  MTKI adalah milik asli orang Brunei.  Secara tersiratnya MTKI boleh dijadikan sebagai sindirian atau kritikan sosial kepada golongan individu yang bersikap acuh tak acuh, bekerja sambil lewa, malas, lalai dan tidak melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Sekarang, semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, telah muncul satu lagi ungkapan yang tidak kurang unik, malah lebih popular iaitu ‘Mun faham bisai (MFB)’.  Ungkapan MFB terdiri daripada tiga patah perkataan iaitu ‘mun,’ ‘faham’ dan ‘bisai’.   ‘Mun’ berasal daripada bahasa Melayu Brunei yang bermaksud kalau atau jika.  ‘Faham’ bermaksud tahu atau mengerti.  Manakala ‘bisai’ pula membawa maksud bagus atau cantik.

Ungkapan MFB telah menjadi trend dalam penggunaan bahasa pasar masyarakat di negara ini.  Ungkapan ini menjadi begitu popular sehingga pernah dijadikan tajuk bagi salah sebuah drama televisyen tempatan.  Sehingga kini saya tidak mengetahui orang pertama yang menuturkan ungkapan ini.  Bagi saya ungkapan ini unik dan menjadi begitu popular kerana seperti MTKI, ungkapan MFB memberikan pelbagai terjemahan maksud yang padat, berisi sindiran yang sinis, peringatan, teguran dan motivasi. 

Jika diamati, sememangnya ada banyak perkara yang dilangkaui oleh ungkapan MFB sama ada positif mahupun negatif.  Pada kebiasaannya, MFB dijadikan kalimat penggulungan dalam situasi bual bicara.  Misalnya, selesai berhujah tentang sesuatu hal yang kurang disenangi, penutur akan ‘menikam’ pendengar atau orang yang diajak bercakap dengan ungkapan MFB. 

Tidak dapat dinafikan, jika terkena batang hidung sendiri, hati mungkin akan terusik apabila MFB ditujukan kepada kita.  Namun, dalam situasi yang tertentu janganlah kita mudah melatah dek terasa diperli, kerana di sebalik ‘usikan’ nakal ini sepatutnya dapat menjadikan kita lebih bermotivasi untuk menjadi individu yang berfikiran positif dan lebih baik budi pekerti, “Mun faham bisai…”


Dihasilkan sepenuhnya oleh:

Cikgu Husaini

Info Ilmu: Berus Gigi Jauh Dari Tandas?




Sudah menjadi kebiasaan sebilangan individu untuk menyimpan kelengkapan mandi seperti berus gigi, sabun dan sebagainya di dalam kamar mandi.  Bagi kamar mandi yang mempunyai mangkuk tandas anda perlulah berwaspada.  Pakar dan doktor gigi mengesyorkan berus gigi hendaklah diletakkan sekurang-kurangnya enam kaki jauh dari tandas untuk menghalang kuman berterbangan ketika anda menggunakan “flush tandas.  Hal ini adalah kerana kemungkinan kuman-kuman tersebut menghinggapi berus gigi anda adalah tinggi.

Jika anda merasakan hal ini kurang praktikal, anda hendaklah menyimpan berus gigi anda di tempat yang tertutup kemas, misalnya di dalam peti atau amari kecil khas tempat menyimpan kelengkapan mandi.  Selain itu, untuk mengurangkan jumlah kuman yang berterbangan sewaktu menggunakan “flush” tandas, mangkuk tandas hendaklah sentiasa ditutup selepas digunakan.

Sumber:
Mastika, November 2007,
Bil. 98 PP/10198/12/2007

Disediakan dan disesuaikan oleh:
Cikgu Muhammad Husaini