Memaparkan catatan dengan label Oh rupanya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Oh rupanya. Papar semua catatan

Ahad, 21 Oktober 2012

Oh Rupanya: Muslihat atau Semula Jadi





Apakah yang tergambar dalam minda kita apabila melihat gambar ini?  Adakah kita menganggap gambar ini hanya muslihat kamera atau ia adalah pemandangan semula jadi yang dicipta Allah SWT?

Sebenarnya ini adalah salah satu gambar yang telah dirakam untuk menunjukkan kejernihan sungai ini.  Sungai ini adalah sungai Verzasca, yang terletak di Switzerland.  Dipercayai  kejernihan air sungai ini adalah disebabkan oleh  air yang mengalir dari gunung-ganang yang terletak di Pizzo Barone ke Tasik Maggiore.   Air sungai ini sangat jernih, sehinggakan pada kedalaman 10 meter di dasar sungai, anda masih dapat melihat dengan jelas jambatan yang merentangi sungai ini. Lokasi ini terkenal sebagai kawasan pelancongan untuk aktiviti scuba diving dan bungee jumping.  Sungai ini juga dianggap sebagai sungai yang terjernih di dunia.   Betapa indahnya ciptaan Allah SWT. 



 Lagi beberapa keping gambar yang menunjukkan kejernihan sungai ini.




Kebersihan sungai ini juga dijaga sehingga sungai ini nampak begitu indah dan mendamaikan mata memandangnya…

Dicatat oleh :
Masnor _8168
 

Khamis, 18 Oktober 2012

Oh Rupanya: Mengapa Air Laut Rasanya Masin?




Semua jenis air termasuk air hujan, mengandungi KIMIA PELARUT yang dipanggil GARAM. Tetapi bukan semua air mempunyai rasa masin.

Air laut rasanya MASIN kerana dianggarkan mengandungi lebih kurang 50 kuadrilion ton bahan-bahan pelarut.  Jumlah bahan-bahan pelarut iaitu GARAM  dikatakan dapat membentuk sebuah permukaan tanah yang besar daripada yang sedia ada.  Permukaan GARAM ini nanti dikatakan boleh mencapai ketebalan kira-kira 500 kaki dan mempunyai ketinggian yang sama dengan bangunan 40 tingkat.

Kebanyakan GARAM di laut wujud akibat proses pemecahan batu-batu igneus yang disebabkan oleh cuaca dan hakisan. Bahan-bahan mineral ini dibawa ke laut ketika hujan turun. Selain itu, terdapat juga GARAM secara semulajadi di lantai laut akibat proses pereputan. Sumber-sumber lain adalah daripada sisa-sisa letupan gunung berapi.

Pada awalnya, laut tidaklah begitu MASIN tetapi apabila hujan pertama melanda dunia lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu menyebabkan proses pemecahan batu-batan. Kemudian batu-batan ini terus diangkut ke sungai dan laut oleh aliran hujan dan menyebabkan tahap kemasinan air laut bertambah. Sungai yang mengalir dari Amerika Syarikat dipercayai membawa bahan-bahan pelarut sebanyak 225 juta tan ke dalam laut. Kiraan terbaru juga menunjukkan kira-kira enam tan dari Australia dan 120 tan dari Eropah yang mengalirkan bahan pelarut.

Ahli jurutera marin melaporkan tahap kemasinan dan larutan kimia dalam air laut terdiri daripada klorida, sodium dan magnesium. Tahap kemasinan diukur dengan simbol o/oo. Tahap kemasinan laut akan berubah mengikut peredaran masa dan mengambil masa yang lama. Fenomena ini disebabkan oleh faktor-faktor seperti pencairan ais, pengaliran air sungai, proses sejatan, hujan, salji, angin, arus ombak dan perubahan laut apabila berlaku pencampuran garam secara melintang dan menegak.

Laut Merah dan Teluk Parsi mempunyai jumlah kemasinan yang paling tinggi kira-kira 40 o/oo, di mana kadar proses sejatannya amat tinggi. Lautan Atlantik Utara juga mempunyai tahap kemasinan yang agak tinggi kira-kira 37.9 o/oo. Antara bahagian yang paling masin di Atlantik Utara adlaah lautan Sargasso yang terletak di Pulau Canary. Laut Sargasso merupakan kawasan yang mempunyai rumpai laut terapung di permukaan laut dikenali sebagai “sargassum”. Laut ini mendapat nama sempena rumpai laut terapung itu. Tahap kemasinan laut Sargasso adalah berpunca daripada suhu air terlalu tinggi kira-kira 83F. Suhu tinggi akan menyebabkan kadar proses penyejatan yang tinggi kerana tidak ada aliran air biasa.

Kemasinan paling rendah hanya terdapat di lautan Antartik dan Artik. Lautan Baltik pula mempunyai tahap kemasinan kira-kira 5 hingga 15 o/oo. Manakala tahap kemasinan Laut Hitam pula adalah lebih kurang 20 o/oo. Tahap kemasinan perairan Miami, Florida akan berubah daripada 34.8 o/oo pada bulan Oktober dan meningkat ke 36.4 o/oo pada bulan Mei dan Jun.

Hidupan laut juga memainkan peranan penting dalam laut. Laut bukan sahaja agen garam tetapi juga bertindak sebagai pembekal bekalan gas oksigen kepada hidupan laut. Contohnya tiram, kerang, dan kepah mendapat kalsium daripada laut untuk membentuk rangka dan kulit. Hidupan laut seperti ketam, udang, udang kara dan tetirip memerlukan sejumlah besar garam galian untuk membina badan. Terumbu karang dibentuk dengan bantuan kalsium karbonat lebih kurang berjuta-juta tahun dahulu. Plankton juga memerlukan kandungan mineral laut untuk hidup dengan subur.

Disesuaikan dan diubahsuai dari:
http://www.aku-sempoi.com/2010/02/kenapa-air-laut-masin.html

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Selasa, 16 Oktober 2012

Oh Rupanya: Adakah Tasik Berwarna Merah?

Melalui segmen 'Oh rupanya' kali ini, saya akan mengemukakan satu info berkaitan dengan sebuah tasik yang dikenali dengan nama Tasik Retba.  Tasik ini terletak di Senegal, Afrika Barat.  Ia bukan sahaja kelihatan pelik, malahan juga mempunyai bau yang kurang menyenangkan.  Air tasiknya mempunyai warna merah jambu.  Mengapa hal ini berlaku?  Menurut laporan, ia disebabkan oleh kandungan larutan garam yang tinggi.  Data menunjukkan bahawa tahap kemasinan di sesetengah kawasan adalah setinggi 40%.  Aktiviti perlombongan garam tempatan adalah sumber pendapatan yang penting di situ dan dianggap sebagai faktor kepada berlakunya proses perubahan air tasik berkenaan. Ahli mikrobiologi berpendapat bahawa warna air Tasik Retba disebabkan oleh bakteria halophile ‘Dunaliella salina’.




Persoalannya sekarang, pernahkah anda menemui air tasik yang mempunyai warna yang sama dengan warna air tasik yang kita nampak pada gambar di atas?  

Rabu, 3 Oktober 2012

Oh Rupanya/Info Ilmu: Hiperaktif


Kelakuan hiperaktif selalu mendapat perhatian serta merunsingkan ibu bapa apabila kanak-kanak itu berusia dua atau tiga tahun.  Dari penyelidikan yang telah dijalankan, didapati ramai kanak-kanak yang mengalami sindrom hiperaktif ini akan meninggalkan kesan kurang yakin kepada diri sendiri.  Selain itu sifat mudah gentar dan resah mungkin ada pada diri mereka.

Berikut ialah kelakuan yang boleh dikenal pasti mengenai dengan  hiperaktif:



  1. Kekurangan tumpuan perhatian.  Kanak-kanak yang sangat senang beralih pandangan dari satu perbuatan kepada perbuatan yang lain.  Mereka seolah-olah tidak mendengar apabila orang lain cuba bercakap dengannya.  Dia selalu tidak menghabiskan apa-apa tugas yang hendak dibuatnya dan tidak boleh duduk bermain dengan lamanya seperti kanak-kanak lain.
  2. Mengikut dorongan hati.  Ibu bapa dan guru-guru sukar mengawal perbuatannya kerana dia tidak mengikut arahan yang diberikan.
  3. Berkelakuan terlalu aktif.  Kanak-kanak hiperaktif tidak boleh berdiam diri.  Mereka suka berlari-lari, melompat-lompat dan memanjat-manjat perabot.


Kanak-kanak hiperaktif ini dikenal pasti melalui pemeriksaan pediatrik dan psikologi.  Ibu bapa perlu mendapat penerangan yang jelas tentang hiperaktif ini.  Ada beberapa strategi rawatan yang boleh digunakan.  Rawatan perlu dimulakan seawal-awal yang boleh.  Walau bagaimanapun, kelakuan ini biasanya berkurangan apabila mereka dewasa.


Diubah suai dari: