Assalamualaikum dan
salam sejahtera…
Dalam segmen ‘Seindah
Bahasa’ kali ini saya ingin membincangkan perkataan yang sering didengar tetapi
agak jarang diungkapkan, iaitu ‘tolong’ dan ‘terima kasih’. Saya tertarik untuk mengetengahkan tajuk ini
setelah membaca tulisan Nur Syamimi Mohamad Napis di dalam laman sesawang
ILoveIslam.com. Hal yang boleh saya
rumuskan setelah membaca tulisan ini ialah perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ mencerminkan keperibadian yang mulia dan sangat
penting dalam kehidupan kita.
Bagi masyarakat
Barat, kedua-dua perkataan ini menjadi satu kelaziman dalam pertuturan seharian. Hal ini kerana tanpa menggunakan
perkataan-perkataan ini kita boleh dianggap tidak sopan atau biadab. Dalam hal ini penulis telah membawakan beberapa
senario sebagai contoh seperti berikut:
"Can you press for me level 7, please…" pinta seorang Kiwi (orang New Zealand), semasa penulis berada di
dalam lif di perpustakaan universiti.
"Sure!" balas
penulis sambil jari menekan butang lif.
"Cheers!" Dia
membalas.
Seterusnya dalam
satu kejadian lain…
"Excuse me, can you take that for me. Please..." pinta seorang makcik.
"Which one? This one?"
sambil memegang tin penulis menunjukkan kepada makcik yang meminta.
"Yup. Thank you so much, my love!"
Oh, hati berbunga,
kerana dipanggil 'love'! Penulis
berasa gembira dengan jawapan balas makcik tersebut.
Tetapi dalam satu
kejadian lain, penulis mengongsikan pengalaman beliau semasa perjalanan ke
universiti, dengan menaiki sebuah bas.
Senario rakan penulis membayar tambang bas kepada pakcik pemandu:
Dikatakannya, "university." Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum,
sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50.
"Sorry?" Ujar pakcik pemandu bas tersebut sambil
air mukanya berubah.
Rakan penulis
mengulang perkataan yang sama, "University."
Pakcik
tersebut,"again...?"
Ketika itu penulis
sudah mulai berasa pelik. Di dalam
hati penulis, "Eh, teruk sangat ke slang kita orang sampaikan sebut
'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"
Rakan penulis
menyebut lagi, "University." Air muka rakan penulis tetap tidak berubah,
tetap tersenyum.
Kemudian, pakcik
itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil
mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.
Sepanjang dalam
perjalanan ke universiti, penulis dan rakannya berfikir, kenapa pakcik tersebut
marah? Apakah yang membuatnya
marah? Lantas, Allah SWT mendatangkan
pengajarannya.
Rakan penulis berkata, "mesti sebab kita tak guna perkataan please...”
*
* *
Mungkin bagi
sesetengah individu, senario seperti di atas adalah kejadian biasa-biasa saja. Malah menurut beliau, beliau sendiri bukanlah
seorang yang terlalu peka tentang keadaan, tetapi untuk masa-masa yang
tertentu, beliau menangkap setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang
sekeliling. Senario tersebut telah
mengajak beliau untuk berfikir, menilai dan mempelajari erti kehidupan. Jadi,
apakah yang boleh dipelajari daripada contoh yang diberikan penulis ini?
Penulis telah
membuat perbandingan dengan situasi yang hampir sama tetapi dengan latar
masyarakat yang berbeza, iaitu dalam masyarakat kita, orang-orang Melayu
seperti dialog berikut:
"Mimi,
ambilkan buku di atas meja..."
Penulis berhenti
sekejap. Diam. Otaknya ligat berfikir, memproses ayat yang
dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.
Akhirnya badannya bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.
"Mimi, buka
pintu rumah," nada suaranya biasa sahaja.
Tiada nada marah, mahupun mengarah. Penulis diam. Akhirnya pintu dibuka.
Hati penulis
memberontak. Penulis sememangnya mahu
juga berkata tentang apa yang beliau rasa pada rakan sekeliling. Akhirnya, pada masa senggang yang ada penulis
telah membuat perbincangan dengan rakan beliau, dengan harapan rakan juga boleh
berfikir tentangnya.
"Ijan, perasan
tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'?" penulis memulakan bicara.
"Macam
mana?" Ijan menyoal untuk mengetahui.
"Saya selalu
perasan, kawan-kawan kita jarang menggunakan perkataan 'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat
sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan," ujar penulis.
"Saya selalu
perasan jugak, orang-orang di sini kalau hendak meminta tolong daripada orang
lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, ‘please’. Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat
mereka pasti akan guna juga perkataan ‘please’ tu."
Egokah diri, sebab
tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar
itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sikap si penutur
perkataan tersebut.
Penulis tahu bahawa
mengungkapkan perkataan ‘please’ tidak bererti meminta 'tolong'. Malah, tidaklah terlalu berat atau susah
rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut. Dalam hal ini, penulis mengulas bahawa bukankah
perkataan 'tolong' itu menunjukkan rasa rendah diri? Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu
untuk melakukan sesuatu. Jadi, kita
bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.
Saya sangat
bersetuju dengan kenyataan penulis bahawa manusia tidak ada yang sempurna. Dari itu, manusia perlu untuk hidup dalam
komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu
ditampung oleh individu yang lain.
Dalam konteks ‘tolong’
dan ‘terima kasih’ ini, penulis seterusnya menjelaskan berdasarkan monolog berikut:
"Eh, dah lah
nak minta tolong orang. Lepas itu nak
mengarah pula!" Detik penulis di
dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Pada hal bukanlah penulis sedang di'arah' pun,
cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan penulis rasa seperti sedang diarah.
Sedangkan, kalau difikirkan tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' sebenarnya.
Lagi teruk
keadaannya apabila setelah permintaan dipenuhi, perkataan 'terima kasih' tidak
dilafazkan. Menurut penulis, ucapan
terima kasih adalah tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah
mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?
Sememangnya hal
inilah yang menjadi realiti dalam hidup masyarakat Melayu kita. Kita sudah cukup bagus dalam menegakkan
budaya bersopan santun dan berbudi bahasa.
Tetapi dalam hal ini saya akur dengan teguran penulis. Kita kekurangan sesuatu yang cukup bernilai
tetapi kita masih boleh memperbaiki dan mengubahnya.
Saya sangat
tertarik dengan pesanan penulis:
Jangan ditinggalkan perkataan 'tolong' dan 'terima kasih' dalam hidup
sehari-hari. Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu
untuk kita meminta!
Seterusnya dengan
komentar seorang pengunjung laman sesawang tersebut, iaitu “Jikalau dipikirkan
memang tak sedar dek akal. Selama ini
apa yang kita sebut adalah arahan semata-mata.
Patutlah kadang-kadang orang yang kita arah itu mengikut kata tapi
dengan muka yang masam...”
Maka, gunakanlah perkataan ‘tolong’ atau perkataan lain yang mempunyai maksud yang sama konsepnya dalam konteks perbualan harian kita seperti ‘boleh’, ‘dapat’ dan sebagainya. Sentiasalah juga kita hendaknya mengucapkan ‘terima kasih’. Jadikanlah ungkapan-ungkapan atau bahasa-bahasa indah ini sebagai kebiasaan lidah kita.
Maka, gunakanlah perkataan ‘tolong’ atau perkataan lain yang mempunyai maksud yang sama konsepnya dalam konteks perbualan harian kita seperti ‘boleh’, ‘dapat’ dan sebagainya. Sentiasalah juga kita hendaknya mengucapkan ‘terima kasih’. Jadikanlah ungkapan-ungkapan atau bahasa-bahasa indah ini sebagai kebiasaan lidah kita.
"Manners are not born with us, they are
acquired."
Disediakan oleh:
Muhammad Husaini
Disesuaikan dan diubah
suai daripada:
‘Kehebatan Tolong
dan Terima Kasih’,