Khamis, 4 Oktober 2012

Tips dan Panduan: Ubah Persepsi Pelajar Terhadap Penulisan Karangan





Penulisan karangan sangat penting.  Dalam proses penulisan karangan, pelajar lazimnya diajar bahawa kandungan karangan terdiri daripada isi, fakta, idea, perkataan, ayat, penggunaan perenggan dan sebagainya.  Sepanjang tempoh persekolahan kandungan-kandungan karangan inilah yang sering diajar dan diulang-ulang.  Namun, sebilangan guru tidak sedar bahawa persepsi pelajar terhadap pemilihan kandungan karangan sangat dipengaruhi oleh pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar tentang tajuk karangan, tujuan pelajar menulis karangan tersebut dan juga sifat-sifat dan penilaian guru yang akan membacanya. 

1.       Persepsi Pelajar Terhadap Tajuk Karangan
Guru perlu mengetahui bahawa pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar dapat mempengaruhi sikap dan tujuan pelajar menulis.  Hal ini turut menjadi prioriti dalam set induksi pengajaran.  Dari itu, guru perlulah bijak mengeksploitasi pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar agar mereka dapat menjana minda dan seterusnya membuat pemilihan isi yang difikirkan sesuai dengan tajuk yang akan dibuat.

2.       Persepsi Pelajar Terhadap Gurunya
Pada kebiasaannya, pelajar mempunyai persepsi yang tinggi terhadap kebolehan guru, minat dan sikap serta pengetahuan guru tentang tajuk yang dikarang kerana ingin mendapatkan markah yang tinggi.  Oleh itu, untuk menanamkan sikap mengambil berat pelajar terhadap tugas mengarang yang diberikan, guru mestilah sentiasa mempamerkan sikap-sikap positif dirinya.

3.       Persepsi Pelajar Terhadap Dirinya Sebagai Penulis
Dalam konteks persekolahan, penulis ialah pelajar.  Maka menjadi tanggungjawab guru-guru untuk memberi kesedaran betapa pentingnya peranan seorang penulis dalam aktviti menulis sebuah karangan.  Justeru, pelajar sebagai penulis perlu dilatih untuk menentukan sikap atau kesan yang akan digambarkan atau ditinggalkan kepada pembaca melalui karangannya.

4.       Persepsi Pelajar Terhadap Subjek Karangan
Ramai pelajar mempunyai persepsi negatif tentang subjek karangan yang hendak ditulis.  Subjek bagi kebanyakan pelajar adalah semata-mata mencari dan memberi isi sahaja  Dalam hal ini, selain mengajarkan aspek-aspek mencari isi, guru juga perlu menekankan aspek-aspek berikut:


  • Kuantiti dan kualiti isi, idea atau pemikiran
  • Menyesuaikan kepadatan isi sejajar jumlah perkataan yang dikehendaki soalan
  • Memberi fokus kepada isu/hal yang akan ditulis agar pelajar tidak menghasilkan sebuah krangan yang am dan luas.
  • Pemilihan perkataan, frasa dan ayat.
  • Penggunaan tanda baca yang betul dan berkean.
  • Corak persembahan atau bentuk karangan sama ada naratif, perihalan, deskriptif atau menulis untuk menghujah sesuatu.


5.       Persepsi Pelajar Terhadap Tujuan
Dalam kaitan di atas, pelajar perlu diberi kesedaran supaya mereka membentuk tujuan tertentu apabila hendak menulis dan bukan sekadar memenuhi kehendak dan arahan guru.  Sebagai latihan, guru-guru dapat mewujudkan keadaan yang berlainan untuk kegiatan mengarang.  Misalnya, guru boleh menyatakan tujuan-tujuan berikut:


  • Mengarang untuk memberitahu cara-cara membuat peti surat
  • Mengarang untuk mendesak seseorang supaya menonton wayang
  • Mengarang untuk berkongsi atau bercerita sesuatu pengalaman
  • Mengarang untuk meluahkan perasaan atau pendapat
  • Mengarang untuk membezakan dua objek atau situasi


6.       Persepsi Pelajar Terhadap Pembaca
Pelajar perlu diterangkan bahawa kejayaan sesebuah karangan itu sebahagian besarnya bergantung kepada penerimaan pembaca.  Dalam konteks sekolah, guru ialah pembaca utama bagi kerja-kerja penulisan pelajar.  Oleh itu, guru perlu mengegaskan kepada pelajar supaya bersikap lebih sensitif terhadap cara penyampaian penulisan mereka.  Antara caranya adalah dengan mewujudkan beberapa persolan, iaitu:


  • Siapakah bakal membaca karanganku ini?
  • Sejauh manakah mereka tahu tentang tajuk yang akan aku tulis?
  • Bagaimanakah aku akan menegaskan apa yang kufikirkan?
  • Adakah perkataan, frasa atau penggunaan tanda baca sebegini dapat menarik pembaca?


Ulasan
Persepsi pelajar terhadap penulisan karangan memberi pengaruh terhadap mutu karangan yang dihasilkan.  Sehubungan itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis karangan perlu menekankan banyak usaha ke arah membina dan mengembangkan kemahiran berfikir.  Pemahaman pelajar tentang proses penulisan, subjek, tujuan dan pembaca akan dapat memberi fokus kepada peringkat-peringkat pemikiran yang perlu dilakukan semasa mengarang.

 
Disediakan oleh:
Muhammad Husaini


Diubah suai daripada:
Kamaruddin & Siti Hajar,1997 (m/s. 11-15).  Siri Pendidikan Perguruan: Penguasaan Kemahiran Menulis.  Kumpulan Budiman Sdn., Bhd, Selangor Darul Ehsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan