Khamis, 4 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Beringat Sebelum Hujan




Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Benarkah jenayah semakin menjadi-jadi pada masa ini?  Inilah antara isu yang menjadi buah mulut ramai orang.  Apa tidaknya hampir saban hari berita atau informasi tentang kejadian jenayah tersebar sepantas kilat.  Kiriman video, salinan berita-berita perihal kejadian jenayah sudah seperti pisang goreng; panasnya tak menyempat di tangan sudah dipindah ke tangan orang lain.  Inilah bahana aktiviti ‘copy & paste’ dan ‘copy & forward’ yang sudah menjadi trend semasa.  Trend ini sememangnya menjadikan ramai individu menjadi ‘iski’ (ghairah) tanpa memikirkan kesan-kesannya.

Sebenarnya bukan tujuan saya untuk menentukan boleh atau tidak kerana masing-masing mempunyai akal untuk membuat pilihan, penilaian dan keputusan. Saya juga turut menerima informasi-informasi berkaitan pelbagai kejadian termasuk kejadian-kejadian yang tidak diingini.  Namun, seperti yang saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, kita jangan mudah percaya bulat-bulat berita yang dipindahkan kepada kita.  Kita perlu lebih bijak membuat pertimbangan.  Bukti yang sahih perlu ada.  Paling tidak pun sumber berita tersebut mestilah yang boleh dipercayai seperti berita daripada akhbar-akhbar tempatan dan juga pihak kerajaan.

Menyebarkan berita palsu adalah salah dan boleh membahayakan ketenteraman masyarakat.  Di dalam akhbar Media Permata, keluaran 2 Oktober 2012, hal ini telah ditegaskan oleh Pengiran Haji Abd Salam bin Pengiran Haji Abd Ghani, Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei sewaktu mengulas tentang penyebaran berita palsu melalui sistem pesanan ringkas WhatsApp yang mendakwa kononnya berlaku pergaduhan besar di ibu negara.  Menurut beliau berita tersebut tidak benar.  Beliau lantas mengingatkan bahawa menyebarkan berita atau maklumat yang tidak betul atau tidak berasas yang boleh menggugat ketenteraman awam adalah menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum di bawah Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

Namun, saya tidak menafikan ada juga berita-berita atau maklumat-maklumat yang kita terima itu benar dan memang berlaku.  Gejala curi, ragut, jenayah terhadap golongan wanita dan orang tua, pecah rumah dan memusnahkan harta benda orang lain semakin membimbangkan. 

Apa sudah jadi dengan manusia dan kemanusiaannya?  Keselamatan dan rasa aman yang kita kecapi di bumi bertuah ini sudah mula dicemari oleh penjenayah yang semakin berani.  Saya sangat kesal dengan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang tidak ada belas kasihan dan tidak takut akan dosa dan balasan Allah.   Malah saya secara peribadi mengutuk perbuatan yang tidak bermoral yang dilakukan di dalam rumah Allah.

Kita tidak boleh berpeluk tubuh.  Kita semua perlu bertindak.  Selain memberikan pertolongan dan kerja sama kepada golongan yang teraniaya dan pihak berwajib, kita hendaklah mengamalkan sikap beringat sebelum kena.  Jangan menganggap kejadian-kejadian buruk yang kita tonton atau baca tidak akan berlaku kepada kita.  Berdasarkan kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini, kita perlu melakukan langkah-langkah intervensi atau pencegahan seperti berikut:

  1. Pastikan semua pintu dan tingkap rumah kita dikunci rapat.
  2. Jangan tinggalkan atau dedahkan barang-barang berharga di dalam kenderaan.
  3. Jangan tinggalkan kenderaan tanpa menguncinya walaupun sekejap.
  4. Jangan tinggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa.
  5. Jangan tinggalkan orang tua, kanak-kanak atau orang kurang upaya bersendirian di dalam rumah.
  6. Jangan bawa barang berharga di dalam masjid.
  7. Bagi golongan wanita (dan kanak-kanak), jangan pakai perhiasan yang boleh menarik perhatian penjenayah.

Penjenayah semakin berani kini.  Oleh itu, kita perlu menggandakan usaha.  Sediakan payung sebelum hujan.



Disediakan sepenuhnya oleh:

Muhammad Husaini


Sumber ilustrasi/gambar:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan