Ahad, 30 September 2012

Seni Kreatif: Cerpen "Kasut Baru"





Kali ini dalam segmen ‘Seni Kreatif’, saya akan memetik sebuah cerpen hasil karya saya sendiri yang saya hasilkan ketika saya berada di bangku sekolah menengah lagi.  Tajuk cerpen yang saya maksudkan ialah ‘Kasut Baru’.  Cerpen ini pernah tersiar dalam majalah ‘Mekar’ (keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei) dan diterbitkan dalam sebuah antologi cerpen yang bertajuk  ‘Sesekali Angin Bertiup’ keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 1997.   Semoga anda khususnya para pelajar akan dapat memperolehi serba sedikit pengajaran melalui cerita yang disampaikan pada cerpen ini. 
****
NORDIN TERSENYUM gembira melihat kasut yang dipakainya hari itu.  Kasut itu mahal harganya.  Tak ada sesiapa pun yang dapat membelinya, detik hatinya.

“Aku seorang sahajalah yang dapat membeli kasut yang berjenama ini.”

Kasut itu dibelinya petang kelmarin semasa mereka sekeluarga keluar membeli-belah di bandar.  Maklumlah, ayahnya baru menerima gaji bulanan. 

“Din nak beli kasut, ayah,” ujarnya.

“Kasut jenis apa?  Bukankah Din dah ada kasut yang lama?” tanya Encik Yusuf.

“Tapi kasut itu dah buruk.  Tak boleh dipakai.  Ayah belikanlah untuk Din.  Malulah Din jika asyik pakai kasut itu saja.  Kawan-kawan Din semuanya pakai kasut jenis baru,” pujuknya.

“Tak boleh.  Din membazir sangat!  Kasut itu baru sahaja dibeli bulan lepas, bulan ini nak beli kasut baru lagi!” ujar ibunya.

“Tapi mak, Din tak suka pakai kasut yang dah lusuh.”

“Buat apalah kasut banyak-banyak Din, kasut yang di rumah itu kan dah cukup.  Takkan dalam masa sebulan kasut tu dah lusuh,” marah ibunya.

“Memanglah dah lusuh.  Kalau tak lusuh takkanlah Din nak suruh ayah belikan,” jawabnya.

“Manalah tidak lusuh?  Pergi ke sekolah pakai kasut itu, pergi berjalan dan bermain bola pun pakai kasut itu.  Macamlah tak ada kasut lain lagi yang nak dipakai untuk pergi bermain bola tu,” kata ibunya.

“Kasut sukan itu dah sempit.  Tak bolehlah Din  nak pakai.  Kaki Din bukannya makin kecil, tapi dah makin besar, “ujarnya lagi.

“Kalau dah tahu kaki tu dah makin besar, kenapa beli kasut yang saiznya kecil?  Belilah saiz yang besar supaya tidak membazir,” jawab ibunya tak mahu mengalah.

“Kasut tu dah lama Din pakai mak dan Din beli setahun yang lalu.  Sekarang ini Din nak beli kasut baru.”

“Kasut!  Kasut!  Kasut!  Takkan pergi main bola pun tak boleh pakai kasut sempit sikit!” tengking ibunya.

Nordin diam.  Angan-angannya nak membeli kasut baru berkecai.

“Sudahlah!” kata ayahnya meredakan keadaan.  “Ayah akan beli kasut baru untuk Din,” terang ayahnya.

Nordin tersenyum.  Ia amat gembira kerana ayahnya mahu membelikannya kasut baru.  Terkabullah angan-angannya untuk memakai kasut baru esok.

“Hai Din ... nampaknya kau hari ini bau Cina,” sapa Ishak tersenyum.

“Apa? $70, tak percayalah aku Din.  Walau secantik mana pun kasut, takkanlah sampai mahal sangat,” sampuk Yunus.

“Kau memang! Kau mana pernah beli kasut seperti aku.  Kasut aku, kasut yang kubeli di pasar raya tentulah mahal, tapi kasut kau, kau beli di kedai-kedai kecil,” tawanya.

Yunus turut ketawa. “Jangan menghina tau.  Walaupun murah tapi selesa,” ujarnya berlalu dari situ.

“Penyibuk betul Si Yunus tu!  Adakah kasut mahal berharga $70 pun tak percaya,” marah Nordin.

“Sudahlah Din.  Nasib baik dengan Si Yunus, kalau dengan orang lain yang kau hina, tentu mereka kecil hati,” sindir Ishak.

“Apa yang kau tau? Kau tak ada kasut pun.  Kalau tak tau, senyap-senyap saja, jangan sibuk macam Si Yunus kepala penyibuk tu!” ujar Nordin seperti menengking.

Ishak menggeleng kepala tanda kesal menasihati Nordin yang selalu menghina orang miskin. “Dia fikir, dia saja yang boleh beli kasut mahal yang berharga $70 tu.  Aku pun boleh juga,” ujar Ishak kecil hati.  “Lihatlah nanti.  Mentang-mentang kasut baru, mahal, jadi kawan pun dihina.” Meluap-luap marah Ishak dalam hati.

“Kau fikir kau saja yang bolehkah?” tanyanya sekali lagi.  “Kasut tu tak juga seberapa.  Mengada-ngadalah kau tu Din.  Ingat! Aku tak nak lagi berkawan dengan kau.  Dah puas aku bersabar.  Jangan fikir kau kaya kau boleh cari kawan seberapa ramai yang kau boleh cari.  Jangan harap!” jerit hati Ishak yang cepat perasa itu.

“Wah! Wah! Wah! Kasut baru kau kali ini, Din,” tegur Mariam.  Hidung Nordin kembang bagai nak meletup apabila dipuji.

“Tentu saja.  Kasut ini, kasut yang mahal tau,” ujarnya bangga.

“Berapa harganya?” tanya Mariam ingin tahu.

“Kau tau tak? Tak ada seorang pun yang dapat membeli kasut jenama jenis ini kerana ia mahal sangat.  Harga $70 tau,”ujarnya tersenyum.

“Macam tak percaya ajelah Yam,” kata Mariam ragu-ragu.

Nordin berasa tersinggung tapi lekas-lekas dibalutnya dengan senyuman.

“Di mana kau beli kasut jenama ini?” tanya Mariam lagi.

“Di pasar raya.  Kalau tak di pasar raya di mana lagi?”

“Di kedai kopilah,” sampuk Yunus sambil ketawa.

Nordin berasa marah. “Hei, Nus!  Kenapa awak sibuk sangat ni?  Dari tadi, asyik menyampuk cakap aku.  Kenapa? Kau dengkikah dengan kasut baru aku ini?” tanyanya sambil bercekak pinggang.

Yunus ketawa. “Hoi... siapalah yang nak dengki dengan kasut kau tu.  Aku pun boleh beli pakai main bola kerana kasut tu kasut sukan,” kata Yunus sambil ketawa.

“Kau nak cabar aku ya?”

“Bukan.  Buat apalah aku nak cabar dengan orang seperti kau ini.  Sia-sia sahaja.  Membuang masa,” ujarnya.  “Maaflah jika aku menyampuk tadi.  Aku bukan sengaja dan main-main tapi aku cakap yang sebenarnya.  Aku pergi dulu ya.” Yunus berlalu dari situ.

“Pergilah kau!  Benci aku tengok muka kau tu.  Asyik-asyik nyampuk aje,” marah Nordin.

“Sudahlah tu Din.  Janganlah bergaduh dengan kawan-kawan fasal kasut barumu tu.  Tak ada apa yang nak dibangga dengan kasut barumu tu!” ujar Mariam.

“Yalah Din.  Baru aku ingat, fasal kasut mu itu juga Cikgu Hisyam panggil kau,”sampuk Azlina.

“Apa?  Cikgu Hisyam panggil akukah?” tanyanya agak kecut sikit.  “Buat apa dia panggil aku ah?”

“Entahlah Din, aku pun tak tahu tapi cubalah kau pergi ke bilik disiplin sekarang juga.”

Hati Nordin jadi takut apabila mendengar nama Cikgu Hisyam dan bilik disiplin.  Aku ada melanggar disiplinkah? Tanya hatinya kecut.

Nordin pun masuk ke bilik disiplin.  “Silakan duduk,” ujar Cikgu Hisyam.  Cikgu Hisyam memandangnya.  “Awak tahu kenapa cikgu panggil?” Tanyanya pada Nordin.  Nordin menggeleng. 

“Cuba cakap!  Cikgu tak mau awak hanya menggeleng angguk saja.”

Nordin rasa kecut.  Memang dia tau Cikgu Hisyam orangnya tegas juga, cerita kawannya.

“Tidak cikgu,” jawabnya.

“Ah!  Bagus!  Itu yang cikgu mau,” ujar Cikgu Hisyam.  “Cikgu panggil awak sebab awak melanggar disiplin sekolah.  Awak perlu didenda.”

“A...a... apa kesalahan saya cikgu?’ tanya tergagap-gagap.

“Kenapa tanya cikgu,” ujar Cikgu Hisyam tegas.

“Saya masih tak faham cikgu,” ujarnya.

“Kalau tak faham.  Tengok di bawah,” ujarnya.  “Tengok di bawah, apa yang menyebabkan cikgu mengatakan awak melanggar disiplin sekolah,” tegas saja bunyi suara Cikgu Hisyam.

Nordin pun memandang ke bawah.  Apa yang ada di bawah, tanyanya seperti orang bodoh.  Apalah agaknya menyebabkan cikgu marah pada Din?

“Tau?” tanya Cikgu Hisyam lagi.

“Tidak.”

“Kasut tu, kasut barukah Nordin?” tanya Cikgu Hisyam.

“Ya.”

“Awak tau kasut apa yang awak pakai?”

“Saya tau tapi...”

“Tau pun.  Kenapa awak pakai kasut tu?”

“Sebab kasut saya dah lusuh.”

“Tak bolehkah awak cuci kasut yang lusuh itu?”

“Er... er... saya sangka saya boleh pakai kasut seperti ini.”

“Berapa tahun awak belajar di sekolah ini? Dah lima tahunkan?  Awak tak pernahkah belajar peraturan sekolah,hah?

“Pernah.”

“Tapi kenapa memakai kasut ini hingga melanggar disiplin sekolah?” Nordin tak menjawab.  “Kalau macam itu, buka kasut dan tinggalkan di sini.”

“Apa?  Cikgu nak ambil kasut saya?”

“Tidak.  Cikgu harus menjalankan tugas cikgu sebagai guru disiplin.”

“Jadi saya nak pakai apa?”

“Pakai stoking saja.  Hah!  Buka kasut tu!” perintah Cikgu Hisyam.

“Tapi...”

“Sudah!  Buka kasut tu!” bentaknya.

Terpaksalah Nordin membuka kasutnya yang cantik itu.

“Malulah aku nanti apabila keluar pakai stoking.  Bagaimana?” tanya sendirian.

****

Bagaimanakah penilaian anda khususnya para pelajar terhadap watak Nordin dalam cerpen 'Kasut Baru' di atas?  Perlukah anda bersikap seperti Nordin yang bangga dengan kasut barunya yang mahal? 

Sekian. 

Hasil Karya:
Ros Linawati Tindeh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan