Rabu, 26 September 2012

Berfikir Sejenak: Mengapakah 'Pagar' Makan 'Padi'?





Pernahkah anda mendengar peribahasa yang berbunyi ‘Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’?  Peribahasa ini sebenarnya membawa maksud ‘orang yang diharapkan untuk melindungi atau menjaga sesuatu, tetapi, dia pula mengkhianatinya’.  ‘Pagar’ dalam konteks ini bolehlah dikonotasikan sebagai ‘manusia yang diharap-harapkan untuk melindungi atau menjaga sesuatu’.  Ini kerana mengikut definisi, ‘pagar’ merupakan sesuatu yang dibuat untuk membatasi (menyekat, mendinding) sesuatu kawasan, sama ada rumah, kebun dan seumpamanya.  Pada zaman dahulu, pagar biasanya diperbuat daripada kayu, namun pada masa sekarang, pagar diperbuat daripada simen dan besi, manakala, reka bentuknya juga sudah dipelbagaikan, sesuai dengan arus perkembangan zaman.  

Dengan menggunakan pagar, sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku mungkin dapat dielakkan.  Contohnya, kecurian.  Si pencuri berkemungkinan tidak akan dapat  menembusi kawasan rumah si tuan empunya rumah kerana terdapatnya ‘penghadang’.  Begitu juga di kawasan sawah padi, gangguan daripada binatang-binatang lain seperti burung, kerbau dan seumpamanya juga akan dapat dielakkan dengan adanya ‘penghadang’ pagar.

Akan tetapi, melalui peribahasa ini, ‘pagar’ yang diharapkan untuk melindungi ‘padi’ dikatakan ‘makan’ padi.  ‘Makan’ dalam konteks ini membawa konotasi ‘mengkhianati’ atau ‘memusnahkan’.  Mengapakah ‘pagar’ dikatakan ‘makan padi’?  ‘Pagar’ mempunyai ‘mulut’kah?  Sebenarnya, perkataan ‘makan’ tersebut cuma berbentuk kiasan semata.  Memang ‘pagar’ tidak mempunyai ‘mulut’, akan tetapi dikonotasikan mempunyai ‘mulut’ sehingga dikatakan telah me‘makan padi’.  

Manakala, ‘padi’ pula merupakan sejenis tumbuhan yang boleh menghasilkan beras.  Dalam konteks kehidupan di negara-negara Asia, ‘beras’ apabila dimasak boleh dijadikan makanan asasi.   Jadi, persoalannya, mengapakah ‘padi’ yang perlu di’makan’?  Mengapakah bukan benda lain yang perlu dimakan? Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa ‘padi’ merupakan simbol ‘sesuatu yang amat berharga yang boleh menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada individu tertentu’.    

Individu tertentu yang dimaksudkan di sini dikonotasikan sebagai ‘pagar’.  Mereka inilah  ‘orang yang diharapkan untuk melindungi atau menjaga sesuatu’.  Mereka  ini melibatkan pelbagai pihak seperti penjaga anak yatim, abang, kakak dan sebagainya.  Selain itu, ia juga boleh melibatkan orang-orang tertentu yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.  Contohnya, ibu bapa si A (seorang perempuan) mengharapkan si B (seorang lelaki) untuk mengawasi dan memantau segala pergerakan si A sewaktu menuntut dan belajar di luar negeri.  Ini kerana mereka mempercayai bahawa si B dapat melindungi dan menjaga anak mereka si A.  Akan tetapi, perkara sebaliknya berlaku apabila si B telah menodai si A sehingga menyebabkan si A berbadan dua.  

Contoh lain boleh dilihat dalam bidang perniagaan.  Misalnya, si C yang diharapkan oleh ayahnya untuk menguruskan perniagaan syarikat mereka.   Namun, si C tidak boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya, malahan telah menggelapkan wang syarikat mereka.

Dalam hal ini, saya cuma sekadar menyebutkan beberapa contoh peristiwa.  Sebenarnya, lebih banyak lagi contoh peristiwa yang boleh dikaitkan dengan peribahasa ‘Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’ ini.  Mungkin anda pernah berhadapan dengan peristiwa-peristiwa tersebut.  Persoalannya, mengapakah ada manusia yang bersifat ‘pagar makan padi’ ini?  Mengapakah mereka bersifat sedemikian?  Adakah anda salah seorang daripada ‘pagar’ tersebut ATAU salah seorang daripada mangsa ‘pagar’?  Sekadar renungan bersama, tanggungjawab hanya lahir daripada perasaan amanah. 

       
Sekian dikongsikan.

Dihasilkan sepenuhnya oleh:
Cikgu Ros Linawati   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan