Rabu, 26 September 2012

Tips dan Panduan: Integrasi Puisi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu



APAKAH BAHAN PUISI DAN TMK?

Puisi merupakan karangan berangkap, seperti sajak, pantun, gurindam, syair dan seloka.  Manakala, TMK pula melibatkan penggunaan pelbagai alat komputer seperti komputer meja atau komputer riba, telefon tangan serta pelbagai perisian termasuk Internet dengan strategi pengajaran bagi meningkatkan pembelajaran pelajar. 

BAGAIMANAKAH INTEGRASI PUISI DAN TMK DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BM?

Berikut disertakan beberapa aktiviti bagaimana bahan puisi dan TMK diimplementasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM).

1.            Aktiviti Nyanyian
Bagi meningkatkan kemahiran lisan pelajar, sajak dan bahan audio boleh digunakan.  Ini kerana banyak kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahan audio dapat meningkatkan kemahiran lisan pelajar (Mahzan Arshad, 2005).  Sebelum aktiviti dimulakan, pelajar-pelajar dikehendaki berbincang terlebih dahulu tentang melodi lagu yang diminati dalam kumpulan masing-masing di samping menyesuaikannya dengan sajak yang dipelajari.  Setelah selesai perbincangan, guru boleh meminta pelajar untuk melagukan atau menyanyikan sajak mengikut melodi lagu yang dibincangkan tadi.  Agar persembahan pelajar lebih menarik, nyanyian pelajar boleh diiringi dengan alat muzik seperti gitar atau muzik instrumental daripada MP3.  Dalam konteks pengajaran bahasa, aktiviti menyanyi ini bukan sahaja dapat menjadikan pengajaran guru lebih menarik, malahan ia juga memudahkan pemahaman pelajar di samping dapat membantu pelajar mengingat kembali perkara yang telah dipelajari, menguasai perbendaharaan kata dan sebutan dengan lebih mudah (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009). 

2.            Aktiviti Mendeklamasi
Pelajar juga boleh mendeklamasikan sajak dan melagukan /  menambang syair di dalam kelas.  Sebelum itu, contoh atau cara mendeklamasi sajak atau melagukan / menambang syair perlulah ditunjukkan terlebih dahulu kepada pelajar dengan menggunakan bahan bantu yang meliputi bukan sahaja bahan audio, malahan juga bahan video.  Bahan-bahan ini boleh dimuatkan dalam satu perisian kursus sama ada yang dirakam sendiri oleh guru atau yang diperolehi melalui internet atau web.  Dengan berpandukan bahan ini, pelajar dapat mendengar dan mengajuk serta melafazkan puisi dengan sebutan, intonasi, gaya dan irama yang betul (Nazri Abu Bakar et al.). 

3.            Aktiviti Bercerita
Pelajar juga boleh meluahkan atau menceritakan tentang sesuatu dengan menggunakan sajak, contohnya yang berkaitan dengan ayah.  Dengan menggunakan sajak, guru boleh meminta para pelajar untuk meluahkan dan menceritakan segala-galanya mengenai ayah mereka seperti pengorbanan dan kasih sayang yang ayah mereka curahkan kepada mereka dan sebagainya.   Mereka juga boleh membawa gambar ayah mereka yang disimpan di dalam CD untuk dipamerkan dengan menggunakan komputer kepada rakan-rakan mereka.  Dengan adanya aktiviti ini, secara tidak langsung akan dapat merangsang emosi pelajar di samping dapat memupuk nilai perasaan kasih sayang mereka terhadap ibu bapa. 

4.  Aktiviti Menulis
Pelajar juga boleh menghasilkan apa sahaja jenis karangan seperti cerpen, artikel dan sajak setelah aktiviti bercerita dijalankan berdasarkan puisi yang telah dipelajari.  Pelajar bebas memilih tajuk atau jenis penulisan tetapi mestilah berkaitan dengan sajak yang dipelajari, contohnya yang berkaitan dengan ayah.  Bagi memastikan hasil karangan pelajar tidak dibiarkan begitu saja, guru boleh meminta pelajar untuk menjadikan hasil karangan tersebut dalam bentuk buku atau majalah sebenar dengan menggunakan program-program komputer seperti Microsoft Publisher.  Hasil karangan pelajar yang terbaik boleh dihantar untuk diterbitkan ke dalam majalah atau surat khabar seperti majalah Mekar, majalah Juara Pelajar dan akhbar Pelita Brunei.  Selain itu, ia juga boleh diterbitkan di laman web yang dicipta dan dikendalikan oleh sekumpulan pelajar di dalam bilik darjah agar ia kelihatan lebih menarik (Mahzan Arshad, 2005). Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran bahasa, berfikir dan kemahiran menggunakan teknologi, malahan juga diajar untuk menghayati sikap dan nilai-nilai murni seperti sikap kasih sayang, perjuangan hidup dan bekerjasama.

5. Aktiviti Mengulas
Selain itu, guru juga boleh meminta pelajar untuk mengulas dan mentafsir maksud puisi berdasarkan lirik lagu. Hal ini perlu dilakukan supaya mesej tersurat dan tersirat yang terdapat pada lirik lagu (yang berupa bait-bait puisi) dapat difahami dengan lebih jelas. Lirik lagu yang dipilih sudah setentunyalah mempunyai mesej sama ada secara tersurat atau tersirat. 

Banyak contoh lirik lagu yang boleh digunakan untuk aktiviti mengulas dan mentafsir ini.  Salah satu contohnya ialah lirik lagu “Pergi Tak Kembali” nyanyian kumpulan Rabbani.  Lirik lagu dan lagu yang berupa teks puisi dan bahan audio/video ini kemudiannya ditayangkan dengan menggunakan program Microsoft Power Point.  Setelah pelajar melihat teks / lirik lagu dan mendengar lagu, pelajar dikehendaki berbincang dalam kumpulan masing-masing untuk mentafsir maksud lirik lagu tersebut.  Kemudian, hasil perbincangan dibentangkan.  Tugas guru adalah untuk memberikan komen pada setiap hasil perbincangan para pelajar agar dapat dijadikan panduan dan ingatan kepada pelajar. Setelah pembentangan dan penilaian diberikan, barulah guru memberikan contoh dan membimbing pelajar tentang cara-cara mentafsir puisi. 

Setelah pelajar dibimbing tentang cara-cara mentafsir puisi, aktiviti lanjutan boleh dijalankan.   Para pelajar diminta untuk mencari lirik lagu sendiri sama ada secara individu atau berkumpulan.  Kemudian, lirik lagu tersebut diberi tafsiran dan ulasan secara bertulis (ditaip dengan menggunakan program Microsoft Word).  Pelajar juga diminta untuk membentangkan hasil tafsiran dan ulasan puisi tersebut dengan menggunakan perisian Microsoft Power Point dan bahan audio.  Dengan adanya aktiviti ini, kemahiran berfikir kritis pelajar dapat ditingkatkan.

6. Aktiviti Main Peranan
Guru juga boleh mengadaptasikan bahan puisi seperti sajak kepada aktiviti main peranan.  Aktiviti main peranan ini merupakan aktiviti lakonan spontan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar tanpa menggunakan skrip. Melalui aktiviti ini, pelajar perlu melakonkan watak masing-masing tanpa merancang terlebih dahulu dialog yang bakal diperkatakan (Naffi Mat, 2006).   Dalam aktiviti ini, bahan puisi digunakan sebagai pencetus idea kepada pelajar bagi membayangkan masalah yang pernah dilalui oleh mereka sama ada melalui bahan puisi yang dibaca ataupun bahan lain selain daripada itu.  Salah satu contoh sajak yang boleh digunakan ialah sajak “Daun” karya Aminah Haji Momin.  Melalui sajak ini, terdapat pelbagai persoalan tentang kehidupan manusia dikemukakan oleh pengarang.  Antaranya tentang penderitaan, kegembiraan dan sikap putus asa manusia dalam menghadapi kehidupan di dunia ini.  Berdasarkan persoalan-persoalan ini, guru boleh memberikan idea kepada pelajar tentang lakonan yang hendak dipersembahkan.  Antara idea-idea yang boleh dikemukakan ialah tentang penderitaan hidup dalam berumah tangga, penderitaan hidup seorang anak, penderitaan kerana kemiskinan dan sebagainya.  Dengan adanya aktiviti ini, kreativiti para pelajar akan dapat dikembangkan.


Dihasil sepenuhnya oleh:
Cikgu Ros Linawati             

Tiada ulasan:

Catat Ulasan