Selasa, 25 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Memupuk Budaya Minat Membaca?





Sebelum ini dalam Segmen Ibu Bapa  telah menyentuh tentang membaca ayat mudah.  Dalam segmen kali ini, saya akan memberi panduan kepada ibu bapa bagaimana memupuk budaya minat membaca kepada anak.  Kita sering mendengar ‘melentur buluh biar dari rebungnya’.  Namun, kita juga jangan terlena bahawa ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan kepada anak-anak.  Kejelasan maksud peribahasa ’bagaimana acuan begitulah kuihnya’ memberikan bukti akan peranan ibu bapa dalam aspek pembacaan.  Berikut adalah beberapa panduan yang ringkas bagaimana memupuk minat anak anda untuk membaca:


  • Bahan bacaan hendaklah bersesuaian dengan tahap umur anak-anak. Bahan bacaan tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja.  Bacaan umum tidak kurang pentingnya kerana ia mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk minat sikap membaca mereka. Jangan lupa melihat isi kandungan buku tersebut.
  • Galakkan anak anda meminjam buku-buku yang digemari.  Bagi ibu bapa yang mampu dari segi ekonomi boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka.  Selain itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka.
  • Layanilah anak anda jika sekiranya ada pertanyaan yang mereka tidak faham dari buku tersebut.
  • Sesekali bertanyalah kepada anak anda untuk memastikan pemahaman mereka tentang buku yang mereka baca.
  • Bagi ibu bapa yang prihatin, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak dan anda menghabiskan masa lapang dengan begitu berfaedah.


Semoga dengan amalan yang baik ini akan dapat mengasah fikiran anak anda supaya lebih bercambah kerana dengan banyak membaca kita mempunyai imaginasi yang tinggi serta menyuburkan perkembangan minda. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat di negara kita ini yang mengamalkannya?


Disediakan oleh:
Mesra HM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan