Pada zaman
sekarang, penyebaran sesuatu maklumat, peristiwa atau gosip semakin sukar
dikawal. Penyebaran 1001 macam
peristiwa, berita atau gosip di hujung jari sudah menjadi lumrah dalam
kehidupan pada alaf ini. Pergolakan yang
berlaku dalam konteks komunikasi umat manusia alaf ini sebahagian besarnya
adalah disebabkan oleh kemajuan dalam bidang teknologi maklumat yang menjadikan
dunia kita semakin kecil. Dengan
kemudahan ‘copy and paste’dan ‘copy and forward’ telah menjadikan maklumat sampai dengan sekelip
mata.
Saya tidak
menolak kemajuan. Saya juga bukan anti
kemajuan kerana saya juga percaya kemajuan dalam segenap aspek kehidupan itu
penting. Namun kemajuan itu mestilah
didasari oleh pertimbangan akal yang waras dan pegangan agama. Pertimbangan akal dan agama sangat perlu
supaya kita sentiasa beringat dan memikirkan kesan dan akibat sesuatu
perbuatan. Saya percaya pertimbangan
yang kita lakukan boleh mempengaruhi dan mengubah prasangka atau persepi diri masing-masing.
Sememangnya
persepsi atau tanggapan masing-masing tidak sama. Setiap individu memiliki acuan persepsi yang
berlainan, namun seperti yang saya nyatakan tadi persepsi boleh berubah dan
boleh pula dipengaruhi oleh persepsi individu lain. Misalnya, dalam hal penerimaan sesuatu berita
atau maklumat. Sebilangan individu mudah
percaya tanpa memikirkan kesahihan sesuatu berita atau maklumat. Ramai yang tidak membuat penilaian dengan
tepat atau lebih tepat lagi saya katakan ramai yang cepat menghukum.
Jangan cepat
menghukum. Jangan cepat mempercayai
maklumat yang diterima atau dibaca tanpa usul periksa. Setiap berita atau maklumat yang kita terima
perlu diketahui sumber atau kesahihannya.
Hal ini kerana pada masa sekarang terlalu ramai wujud pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab. Penyebaran
maklumat berunsur fitnah, hasutan, provokasi semakin menjadi-jadi. Dengan sekelip mata saja maruah individu
boleh terjaja dan termalu. Kita perlu berwaspada. Apabila kita menerima sesuatu berita yang
meragukan janganlah kita mudah berasa gairah dan turut sama menekan ‘copy and
paste’ atau ‘copy and forward’ kepada individu lain. Kita sentiasa perlu beringat dan sedar bahawa
segala yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan kelak. Fikirkanlah…
‘Telajak perahu
boleh diundur, telajak kata buruk padahnya!’
Disediakan
sepenuhnya oleh:
Muhammad Husaini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan