Sememangnya
upaya menjadikan pembelajaran yang menyeronokkan telah sekian lama difikirkan
dan diusahakan oleh guru-guru dan pakar-pakar pendidikan seluruh dunia. Pelbagai cara atau kaedah telah dicipta ke
arah itu dan kita selaku guru juga telah banyak mencuba kaedah atau cara
tersebut. Namun, kita sedia maklum
tidak semua kaedah atau cara yang dicipta itu berkesan. Kaedah-kaedah atau sesuatu cara pengajaran
itu pula ada kelemahan-kelemahannya.
Pada kali ini,
saya tertarik membicarakan isu pembelajaran yang menyeronokkan yang telah
dibincangkan oleh Ahmad Fadzli Fauzi di dalam bukunya ‘Bagaimana Merangsang
Seronok Belajar’. Dalam buku ini banyak
tips yang sangat berguna bagi para guru dalam usaha memotivasikan pelajar untuk
mencintai ilmu pengetahuan. Terdapat 20
aktiviti seronok belajar yang dihuraikan di dalam buku ini, antaranya Crossword
Puzzle, Mnomenic, Mini Treasure Hunt, Bisikan Keramat dan sebagainya.
Saya bersetuju
dengan kenyataan penulis bahawa mengajarkan pelajar yang memiliki sikap negatif
terhadap pelajaran adalah cabaran yang besar bagi seorang pendidik. Saya sendiri pernah merasakan ilmu yang
saya curahkan umpama air yang dicurahkan ke daun keladi saja. Kekecewaan.
Itulah yang sering berlaku apabila berhadapan dengan minda dan jiwa muda
sebilangan pelajar yang tertutup. Namun,
saya percaya semua guru mengidamkan pembelajaran yang menyeronokkan. Pembelajaran yang menyeronokkan adalah
apabila seorang guru berjaya mengubah persepsi negatif pelajarnya bahawa
belajar itu sesuatu yang membosankan dan memenatkan.
Dalam buku ini
penulis mengingatkan bahawa peluang untuk anak-anak yang tercicir dan tidak
berpendidikan terjebak melakukan hal-hal buruk adalah tinggi. Jika hal ini tidak ditangani dari peringkat
akar umbi, anak-anak berkenaan bukan saja merosakkan diri mereka sendiri bahkan
orang lain juga. Dari itu, menjadi
tanggungjawab kita selaku guru untuk sama-sama berusaha membimbing mereka
dengan menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan. Tetapi, bagimanakah caranya belajar itu boleh
menjadi seronok?
Sebagai langkah
mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan, penulis telah menyarankan empat
perkara asas yang perlu dilakukan para guru, iaitu berikut:
i.
Baca dan baca
Guru perlu memiliki sikap ingin
memajukan diri sendiri. Dalam erti kata
lain, guru perlulah ada inisiatif untuk menambahkan ilmu dalam bidang
pendidikan. Jangan terlalu mengharapkan
pihak kerajaan untuk menyampaikan segala maklumat tentang perkembangan dunia
pendidikan sekarang. Sebagai pencinta
ilmu, warga pendidik perlu memiliki sikap suka membaca untuk menambah ilmu,
misalnya tentang ilmu pedagogi. Warga
pendidik juga perlu memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat yang ada untuk
mempertingkatkan kemahiran mengajar.
Konsep-konsep pendidikan yang terkandung dalam bahan-bahan bacaan pula
hendaklah difahami dan dihadam semaksimanya.
ii.
Tulis catatan dan
conteng
Jangan sayang kertas dan dakwat
pen. Penulis menyarankan agar guru
membiasakan untuk membuat nota atau catatan, atau mengaris isi-isi penting yang
terkandung dalam sesebuah bahan bacaan.
Jangan takut hendak mengotorkan bahan-bahan rujukan, biarlah berbaloi
kita memilikinya.
iii.
Buat latihan
Seterusnya, selepas memahami semua
konsep di dalam sesebuah bahan bacaan, berlatihlah mengaplikasinya. Untuk mengelakkan rasa ‘pening kepala’
penulis mengesyorkan agar kita memilih dan mencuba satu cara sahaja dulu dan
berlatihlah mengaplikasikannya dalam bilik darjah. Guru yang komited terhadap tugas perlu berani
melakukan eksperimentasi terhadap kepelbagaian kaedah pengajaran.
iv.
Berdoa dan jangan
berputus asa
Akhir sekali, selain berusaha jangan
tinggal untuk berdoa supaya segala usaha kita akan mendapat kejayaan. Sekiranya gagal kali pertama, usaha
lagi. Cari kelemahan dan kekurangan dan
teruslah memperbaiki mutu pengajaran kita kerana ‘Usaha itu tangga kejayaan’.
Disesuaikan
daripada:
Buku ‘Bagaimana
Merangsang Seronok Belajar’,
Ahmad Fadzli
Fauzi (2009), PTS Professional Publishing Sdn., Bhd, Kuala Lumpur.
Disediakan oleh:
Muhammad Husaini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan