Selasa, 25 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Bagaimanakah Memupuk Budaya Minat Membaca?





Sebelum ini dalam Segmen Ibu Bapa  telah menyentuh tentang membaca ayat mudah.  Dalam segmen kali ini, saya akan memberi panduan kepada ibu bapa bagaimana memupuk budaya minat membaca kepada anak.  Kita sering mendengar ‘melentur buluh biar dari rebungnya’.  Namun, kita juga jangan terlena bahawa ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan kepada anak-anak.  Kejelasan maksud peribahasa ’bagaimana acuan begitulah kuihnya’ memberikan bukti akan peranan ibu bapa dalam aspek pembacaan.  Berikut adalah beberapa panduan yang ringkas bagaimana memupuk minat anak anda untuk membaca:


  • Bahan bacaan hendaklah bersesuaian dengan tahap umur anak-anak. Bahan bacaan tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja.  Bacaan umum tidak kurang pentingnya kerana ia mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk minat sikap membaca mereka. Jangan lupa melihat isi kandungan buku tersebut.
  • Galakkan anak anda meminjam buku-buku yang digemari.  Bagi ibu bapa yang mampu dari segi ekonomi boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka.  Selain itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka.
  • Layanilah anak anda jika sekiranya ada pertanyaan yang mereka tidak faham dari buku tersebut.
  • Sesekali bertanyalah kepada anak anda untuk memastikan pemahaman mereka tentang buku yang mereka baca.
  • Bagi ibu bapa yang prihatin, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak dan anda menghabiskan masa lapang dengan begitu berfaedah.


Semoga dengan amalan yang baik ini akan dapat mengasah fikiran anak anda supaya lebih bercambah kerana dengan banyak membaca kita mempunyai imaginasi yang tinggi serta menyuburkan perkembangan minda. Namun begitu, berapa ramaikah rakyat di negara kita ini yang mengamalkannya?


Disediakan oleh:
Mesra HM.

Aktiviti Bahasa: Kata Kerja - Lakonan dan Menulis Dialog



Berikut ialah proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas yang pernah dijalankan oleh salah seorang guru menengah bawah.  Mungkin ia boleh memberi panduan kepada kita tentang aktiviti-aktiviti yang akan kita ajarkan dalam kelas.





Tajuk yang diajarkan dalam aktiviti ini ialah pengajaran Tatabahasa iaitu ‘Kata kerja’. Dalam aktiviti ini pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan.  Mereka diberikan tugasan untuk melakonkan cerita yang berkaitan dengan tajuk pelajaran.  Pelajar juga diarahkan untuk membina sendiri dialog atau plot cerita bagi lakonan tersebut.  Masa yang diberikan hanyalah 7-10 minit sahaja.  Apa yang menarik dalam aktiviti ini ialah keterlibatan semua pelajar pada sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan.  Tugasan amat menarik apabila setiap pelajar diarahkan untuk menulis dialog sendiri.  Manakala kumpulan lain yang mendengar juga diberikan tugasan iaitu menyenaraikan ‘kata  kerja’ yang disebutkan oleh pelajar-pelajar yang sedang berlakon. 

Isnin, 24 September 2012

Seni Kreatif: 'Positif Mail'?





Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada bulan September ini saya berpeluang menjalankan kajian di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Kampung Mentiri.  Alhamdulillah sejauh ini semuanya berjalan lancar dan kerjasama pihak sekolah dan partisipasi pelajar sangat memuaskan.

Dalam pada melaksanakan kajian, saya tertarik dengan satu ruangan di dalam salah sebuah kelas Tahun 9 yang saya masuki.  Sekeping kertas biru dihiasi beberapa sampul surat berwarna hijau dan biru tertera di bahagian dinding belakang.  Setelah memberikan kerja kepada pelajar, saya mendekati ruangan tersebut:  ‘Positif Mails’ dan di dalam beberapa sampul surat yang tertulis nama pelajar itu mengandungi kepingan nota kecil.  Saya sekadar menyingkap beberapa mulut sampul surat yang terbuka.  Isi kandungan nota tersebut tidaklah saya baca kerana saya tahu saya perlu ‘menghormati’ isi kandungannya.

Sebelum sesi pengajaran tamat, saya seperti biasa membuat rumusan isi pelajaran.  Kebetulan pada hari itu saya menyelitkan formula ‘Five wifes and one husband, 5W + 1H’ dalam pembelajaran pelajar.  Akhirnya, setelah mengarahkan pelajar menyatakan kembali maksud 5W + 1H, saya terus mengambil peluang yang ada dan menjadikan ‘Positif Mails’ sebagai subjek perbualan.  Beberapa soalan saya ajukan:

1    Siapakah yang menghasilkan ‘Positive Mails’ tersebut?
2    Apakah tujuan ‘Positive Mails’ dihasilkan?
3    Apakah yang boleh dimasukkan ke dalam ‘Positif Mails’ tersebut? 

“Positif Mails dibuat oleh cikgu Bahasa Melayu kami, cikgu.  Ia dihasilkan sebagai salah satu cara untuk menyatakan kata-kata positif kepada kawan-kawan.  Isi-isi surat yang dimasukkan di dalamnya mestilah yang positif, cikgu.  Contohnya, macam ucapan terima kasih sebab memberikan pertolongan…” 

Oh ya, ‘Positif Mail’, saya tersenyum.  Sudah tentulah perkara-perkara yang positif saja kan?  ujar saya sebelum meninggalkan kelas. 

Saya puji guru yang menghasilkan ‘Positive Mails’.  Walaupun nampak ‘simple’, tetapi idea dan kreativiti beliau secara tidak langsung mengajar saya bahawa untuk menjadi seorang yang kreatif tidak semestinya memerlukan idea yang hebat.  Kreativiti boleh saja dimulai dengan idea-idea yang nampak ‘simple’ tetapi apabila kena dengan caranya, ia boleh menghasilkan sebuah produk yang menarik dan yang lebih penting dapat membuka fikiran orang lain.


Dihasilkan sepenuhnya oleh:
Muhammad Husaini

Analisis Kesalahan Bahasa: Jangan Keliru dengan Penggunaan Kata Pemeri "Ialah" dan "Adalah"




Kata pemeri ialah kata tugas yang memerihalkan atau menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam perdikat.  Terdapat dua jenis kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah.  Penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata pemeri ini baik dalam lisan dan tulisan sering diabaikan. 

Jika kita perhatikan, umpamanya dalam majlis-majlis penyampaian anugerah atau pengumuman-pengumuman keputusan sesebuah pertandingan,  kesalahan penggunaan ‘ialah’ dan ‘adalah’ selalu berlaku.  Sewaktu menyampaikan nama penerima atau pemenang, frasa-frasa berikut lazim disebut oleh pengacara atau penyampai:
i.                     “Pemenangnya ialah…”
ii.                   “Pemenangnya adalah…”

Mengapakah hal ini berlaku?  Bagi saya, hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa fungsi kedua-dua kata pemeri ini sama sahaja.  Sebenarnya tanggapan ini salah.  Menukar ganti kata pemeri dengan sewenang-wenangnya perlu diperbetulkan. 

KATA PEMERI ‘IALAH’

Kata pemeri ‘ialah’ diletakkan di hadapan frasa nama bagi menjelaskan persamaan.  Contoh ayat:
1      
      Bunga simpur ialah bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
[… ialah + frasa nama ‘bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam’]

2       Lelaki itu ialah Yusri.
[… ialah + frasa nama ‘Yusri’]

3       Angin ialah udara yang bergerak.
[… ialah + frasa nama ‘udara yang bergerak’]

Bagaimanapun, sebenarnya kata pemeri ‘ialah’ hanya bersifat pilihan atau dalam erti kata yang lain boleh digugurkan.  Erti kata lain, tanpa kehadiran ialah, ayat (1), (2) dan (3) yang dibina tetap gramatis:

Bunga simpur bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Lelaki itu Yusri.
Angin udara yang bergerak.

Namun yang demikian, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri ‘ialah’ dapat membantu meningkatkan  kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas, seperti contoh berikut:

Lelaki yang baru saja memasuki dewan itu ialah Yusri.


KATA PEMERI ‘ADALAH’

Kata pemeri ‘adalah’ diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama bagi menjelaskan sesuatu secara huraian, seperti contoh ayat berikut:
.        
      Kepakaran beliau adalah dalam bidang komputer.
[… adalah + frasa sendi nama  ‘dalam bidang komputer’]

5      Hadiah ini adalah untuk Nurul di sekolah.
     [… adalah + frasa sendi nama  ‘untuk Nurul di sekolah’]

6     Rupa-rupanya berita yang kita dengar selama ini adalah palsu.
[… adalah + frasa adjektif  ‘palsu’]

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu baku, kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan di hadapan kata kerja atau frasa kerja, seperti berikut:
7
           Adalah dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (SALAH)
Dengan ini dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (BETUL)
8 
          Amalan bergotong royong adalah merupakan amalan mulia.  (SALAH)
Amalan bergotong royong merupakan amalan mulia.  (BETUL)


UJI DIRI

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih kata pemeri yang betul, sama ada ‘ialah’ atau ‘adalah’.

1    Dengan markah 89.5%, johan pertandingan pidato  _________ Farid.

2    Buah-buahan tempatan kegemaran Hasibah _________ durian, rambutan, nangka dan mata kucing.

3    Warna kegemaran Hidayah ________ kuning, merah jambu dan hijau .

4    Lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ ________ lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

5    "Novel yang saya beli tadi ada ______ adik,” kata Masnor.

6    Azim akan menyerahkan hadiah itu ______ tunangnya ______ hari esok.



Sila emelkan jawapan anda kepada rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas. 



Disesuaikan daripada:
Explorasi Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 1, 2003.

Disediakan oleh:
Cikgu Muhammad Husaini