Sabtu, 22 September 2012

Seindah Bahasa: Antara Bahagia dan Bersyukur?



Melalui Segmen ‘Seindah Bahasa’ kali ini, saya ingin mengemukakan mutiara kata yang berbunyi ‘Bukan Kebahagiaan yang Menjadi Kita Bersyukur tapi Bersyukurlah yang Membuat Kita Bahagia’.  Melalui mutiara kata yang dikemukakan di atas, terdapat dua perkataan yang menjadi dasar pemikiran kita, iaitu pertama, ‘bahagia’ dan kedua, ‘bersyukur’. 

Pada hakikatnya, bahagia ini tidak boleh diukur dengan material.   Ini kerana seseorang yang mempunyai harta yang banyak tidak semestinya berasa bahagia jika dia tidak disayangi atau dicintai, atau tidak dapat berkongsi kisah suka duka dengan orang yang disayangi atau dicintai.  Oleh itu, bahagia itu bermaksud ‘kebebasan’, ‘keringanan’ dan ‘ketenangan’ jiwa seseorang tanpa mempersoalkan apa-apa...    Dengan kata lain, ‘bahagia’ itu hanya dapat dirasai oleh ‘hati’, ‘perasaan’ dan ‘jiwa’ seseorang individu dan jarang dapat dilihat dengan mata kasar.




Manakala, 'bersyukur' pula bermaksud menerima dan memanfaatkan segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita sesuai dengan tujuan Allah memberikan kenikmatan itu kepada kita.  Sederhananya, bersyukur itu menikmati kenikmatan Allah dengan cara yang redha. 



Namun, persoalannya ialah bahagia dan bersyukurkah kita dengan apa yang kita ada?   Bersyukurkah kita dengan nikmat bahagia yang kita kecapi?  Apakah perkara-perkara yang membuatkan kita bahagia dan bersyukur itu?  Wang?  Harta? Pangkat?  Kekasih?  Anak?  Pasangan? Kasih sayang? Atau segala-galanya?  Persoalan –persoalan ini akan saya tinggalkan kepada anda untuk menjawabnya kerana sesungguhnya, segala pilihan adalah terletak di tangan anda...

Sekian.

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Rujukan:
1.                   Facebook: Dunia Macam-macam




Jumaat, 21 September 2012

Asam Garam Duniaku: Betul atau Fitnah?



Apa sebab saya berada dalam bilik ini?  Berlegar-legar dalam fikiran kenapa agaknya guru tersebut dipanggil.  Di hadapan pula duduk seorang perempuan pertengahan usia. Sebelah kanan dua orang Timbalan Pengetua. Tidak ketinggalan guru disiplin dan beberapa orang guru yang juga mengajar di sekolah tersebut. Duduk  berhampiran dengan perempuan itu memang dikenali rupa parasnya.

“Apa agaknya masalah anda datang berjumpa dengan kami kali ini?”, Timbalan Pengetua mula bersuara dengan nada yang tenang. 

“Begini, saya ingin mengadu kepada pihak sekolah bahawa guru anak saya yang mengajar subjek x telah menganggap anak saya tidak wujud dalam kelas”. 

Guru berasa hairan.  Terkial-kial juga memikirkan apa kena mengena kata-kata perempuan tersebut dengan dirinya. 

“Layakkah seorang guru, menganggap pelajarya tidak wujud dalam kelas.  Ini memang tidak patut!” Semakin keras suara si ibu. 

Terasa pedas telinga guru berkenaan mendengarnya. 

Akhirnya guru bersuara tetapi ditujukan kepada pelajarya dan bukannya kepada si ibu,  “Bila agaknya cikgu berkata begitu kepada kamu?”

Pelajar menyahut seakan-akan tidak terdengar suaranya “Kelmarin sewaktu cikgu mengajar dalam kelas”.  

Rasanya tidak pernah guru berkata apa-apa apatah lagi menyakitkan hati pelajar-pelajarnya.  Akhirnya guru bertanya lagi “Adakah cikgu berkata begitu kepada kamu”. 

“Tidak.  Tetapi rakan sekelas saya ada memberitahu kepada saya bahawa cikgu mengatakan saya tidak wujud,” Dengan penuh yakin pula dia menjawab begitu. 

Akhirnya bersuaralah beberapa orang guru yang juga duduk bersama pada masa itu.  Mereka turut memberikan beberapa komen tentang sikap dan anaknya dalam kelas. 

Guru berkenaan akhirnya bersuara, “Terima kasih.”  Guru yang lain terdiam, mungkin berasa hairan.   “Terima kasih membuka mata dan hati saya bahawa tugas guru bukanlah mudah malahan ia mencabar bagi saya” , jelas guru berkenaan tadi. 

Si ibu tertunduk malu dan terus mengarahkan anaknya meminta maaf daripada gurunya.

Melalui peristiwa asam garam duniaku kali ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi.  Salah satunya ialah kehidupan pasti ada cabaran. Tidak mengira apa jua profesion anda sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya.  Jadi, terpulanglah kepada anda bagaimana untuk menangani cabaran tersebut.  Timbul persoalan, profesion apakah agaknya yang tidak mempunyai cabaran?

Mesra hm.

Oh rupanya/Info Ilmu: Bagaimana Menundukkan Sungai Nil?




Pada zaman Jahiliyah, Sungai Nil tidak mengalir sehingga menyebabkan tumbal dilemparkan setiap tahun.  Tumbal dijadikan korban hendaklah seorang perawan. Sehinggalah kedatangan Islam, Sungai Nil yang sepatutnya mengalir ternyata tidak mengalir.  Akhirnya penduduk Mesir mendatangan Amr bin Ash dan memberitahu akan keadaan Sungai Nil yang semakin kering.  Kisah mengenai Tumbal dengan melempar seorang perawan juga diceritakan.  Amr bin Ash lalu mengarahkan penduduk Mesir supaya menghapus tradisi Tumbal kerana hal sedemikian bercanggah dalam agama Islam.  Selama tiga bulan lamanya Sungai Nil tetap tidak mengalir sehingga mereka benar-benar menderita.  Melihat keadaan penduduk Mesir tersebut, Amr bin Ash menulis surat kepada Khalifah Umar bin Khattab dan menceritakan peristiwa tersebut.


Isi surat jawapan dari Khalifah Umar bin Khattab:
“Engkau benar bahawa Islam telah menghapus tradisi tersebut.  Aku mengirim secarik kertas untukmu, lemparkanlah kertas itu ke Sungai Nil.  Jika kamu mengalir kerana dirimu sendiri, maka janganlah mengalir.  Namun, jika Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa yang mengalirkanmu, maka kami mohon kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa untuk membuatmu mengalir.”


Kemudian Amr melempar kertas tersebut ke Sungai Nil sebelum kekeringan benar-benar terjadi.  Keesokan harinya, Allah telah mengalirkan Sungai Nil enam belas hasta dalam satu malam.  Penduduk Mesir yang telah bersiap-siap untuk meninggalkan kota tersebut membatalkan niat untuk berpindah.

Diubahsuai dari: