Jumaat, 14 September 2012

Tips dan Panduan: Pemilihan Bahan dalam Pengajaran Tatabahasa



Dalam pengajaran tatabahasa, bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah bahan yang dapat digunakan bagi menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tatabahasa yang hendak diajarkan. Bahan ini merupakan wadah penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-unsur tatabahasa tertentu (Awang Sariyan, 2009).

Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dilakukan oleh guru dalam memilih bahan-bahan pengajaran tatabahasa. Salah satunya ialah bahan-bahan yang digunakan perlulah pelbagai jenis (Kementerian Pendidikan, 1994).  Antaranya ialah bahan-bahan sastera seperti prosa (novel, cerpen dan skrip drama) dan puisi (pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak).  Dengan menggunakan bahan sastera, aspek-aspek tatabahasa dalam Bahasa Melayu seperti bentuk dan golongan kata, jenis-jenis ayat, bentuk-bentuk kata dan kesalahan bahasa dapat dibincangkan.   Menurut Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001), penggunaan bahan sastera mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, ia boleh memberikan keseronokan kepada pelajar.  Ini kerana karya sastera mengandungi pelbagai keindahan serta huraian tentang hal-hal yang aneh dan ajaib yang diselaraskan mengikut peringkat umur pelajar.  Selain keseronokan, Ismail Ahmad pula berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera dalam pendidikan Bahasa Melayu juga membuka ruang kepada pelajar untuk melihat dunia dengan lebih luas lagi.  Ia bermula dari pengalaman sendiri dan seterusnya meneroka pengalaman di luar dari hidupnya melalui hubungannya dengan masyarakat dan budaya (Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud,2001). 
                                         
Selain bahan sastera, bahan-bahan multimedia seperti audio, video, grafik, animasi dan komputer juga boleh digunakan untuk pengajaran tatabahasa.  Namun, kesesuaian dan kelebihan bahan-bahan ini perlulah diberi perhatian.   Contohnya,  komputer hanya sesuai digunakan untuk pengajaran tatabahasa secara terancang, manakala, video karaoke pula dapat digunakan untuk latihan membina ayat dan menyebut perkataan dalam sebutan baku  (Kamal Shukri Abdullah Sani, 2007).  Penggunaan bahan-bahan multimedia ini akan dapat mewujudkan pembelajaran secara aktif kerana kesemua pancaindera murid dapat dirangsang untuk mengingati fakta-fakta dengan lebih baik (Mayer, 2001).  Penggunaan grafik dan video pula dapat mempercepatkan proses yang rumit, manakala, penggunaan audio pula dapat memberikan pelajar pendedahan kepada sebutan yang betul (Khine dan Fisher 2003).

Bahan-bahan autentik seperti iklan, jadual, gambar, brosur, poster, akhbar, majalah dan grafik juga boleh digunakan (Kementerian Pendidikan Malaysia : 1994 dan Awang Sariyan : 2009). Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan analisis kesilapan (Awang Sariyan, 2009) agar dapat melatih pelajar supaya menjadi lebih kritikal dan peka terhadap penggunaan bahasa yang betul dan tepat (Kementerian Pendidikan, 1994).   

Selain itu, bahan-bahan yang dipilih oleh guru juga mestilah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu di samping mengandungi nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan penyerapan nilai (Awang Sariyan, 2009).

Dengan adanya bahan rangsangan itu tadi, pelajar akan dapat diajar tentang tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-jenis wacana. Ini bermakna, pelajar tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat memanfaatkan bahan tersebut untuk memberikan contoh unsur tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya.  Selain itu, guru juga dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya adalah berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang berdasarkan tema (Awang Sariyan, 2009).

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan