Jumaat, 26 Oktober 2012

Tips dan Panduan/Tunjuk Ajarku Guru: Binaan Perenggan



Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Bertemu kita lagi dalam ruangan Khazanah, Tips dan Panduan.  Pada kali ini saya kongsikan satu maklumat berkenaan binaan perenggan. 

Binaan perenggan ialah unsur yang sangat penting dalam aspek penulisan karangan.  Selain penting dalam aspek penulisan, binaan perenggan yang dinyatakan ini juga boleh dijadikan panduan dalam merangka hujah-hujah dalam aktiviti bahasa, seperti aktiviti lisan, perbualan, aktitivi perbahasan dan sebagainya.  Diharap perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca semua, khasnya buat panduan guru dan pelajar.

1.     Binaan Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan biasanya dibina berdasarkan tugas-tugasnya sebagai:
1. Penyataan Umum
2. Ayat Huraian
3. Ayat Rangsangan
4. Ayat Pandu/Arah

Contoh binaan perenggan pengenalan bagi tajuk karangan ‘Amalan berjimat cermat’:

Ayat Penyataan:
-          Penegasan
-          alasan
Amalan berjimat cermat ialah amalan yang mulia dan perlu ditanamkan dalam diri setiap warga masyarakat.  
Kebaikan amal ini sudah diakui dan sering dijadikan topik perbincangan kerana masih ramai yang mengabaikannya.
Ayat huraian:
-          jenis perbandingan
-          ibarat
-          faedah
Orang yang tidak mengamalkan sikap berjimat cermat atau orang yang suka membazir ialah orang yang rugi.
Bak kata peribahasa ‘sediakan paying sebelum hujan’, amalan berjimat banyak faedahnya.
Ayat rangsangan:
- memujuk perasaan
- rasa ingin tahu
- bentuk penyoalan
Berdasarkan peribahasa ini, masyarakat perlu lebih sedar akan kesan-kesan buruk amalan membazir.
Jadi, apakah perkara yang perlu kita jimatkan dalam kehidupan kita seharian?
Ayat pandu/arah:
-          tujuannya untuk memandu pembaca tentang hala tuju karangan
-          lima aspek ingin dibahasakan
Sememengnya terdapat lima perkara yang perlu kita jimatkan dalam kehidupan yang serba moden ini iaitu masa, air, wang, elektrik dan makanan.


2.     Binaan Perenggan Isi

Perenggan isi digunakan untuk menyampaikan idea.  Penyampaian idea tentang isi hendaklah jelas supaya cepat diterima atau difahami oleh pembaca.  Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika ayat-ayat yang digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis dalam bentuk ayat topik.  Perenggan isi hanya perlu mengandungi satu idea utama.  Perenggan isi biasanya dibina berdasarkan tugas-tugasnya sebagai:
1. Ayat Topik             
2. Ayat Huraian         
3. Ayat Contoh           
4. Ayat Sokongan       
5. Ayat Rumusan

Misalnya, salah satu idea atau isi utama bagi tajuk karangan ‘Amalan berjimat cermat’ ialah masa.  Maka, faktor masa hendaklah dijadikan ayat topik bagi perenggan isi.

Contoh binaan perenggan isi untuk faktor masa:
Ayat topik
Masa sangat penting dalam kehidupan kita dan penggunaannya hendaklah diurus dengan baik.
Ayat huraian
Orang yang tidak tahu mengurus masa akan berhadapan dengan pelbagai masalah.
Ayat contoh
(dua atau tiga contoh boleh dinyatakan)
Misalnya kita sering mendengar kisah-kisah kegagalan pelajar yang suka membuang masa tanpa mengulang kaji pelajaran sedangkan waktu peperiksaan semakin dekat.  (Satu contoh saja)
Ayat sokongan
Bahkan dalam agama Islam sendiri telah mengingatkan kita betapa ramai dalam kalangan manusia yang sentiasa dalam kerugian kerana lalai dalam aspek pengurusan masa.  (Menyokong contoh di atas)
Ayat rumusan
Jadi, untuk memperolehi kejayaan dalam hidup pengurusan masa adalah sangat mustahak.


3.     Binaan Perenggan Penutup
Untuk meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup dibina menggunakan strategi yang mengandungi beberapa ayat yang berfungsi sebagai:
Ringkasan,
Rumusan,
Keputusan,
Penegasan,
Imbasan,
Bandingan,
Amaran,
Harapan,
Ramalan,
Kesan ,dan
Cadangan.

Perenggan penutup boleh dibina menggunakan satu atau beberapa fungsi di atas sekali gus jika sesuai.   Misalnya, bagi contoh karangan bertajuk ‘Amalan berjimat cermat’ boleh dibina seperti berikut:

  • Ringkasan
Dalam konteks berjimat cermat kita mestilah menjimatkan penggunaan masa, air, wang, elektirik dan makanan.
  • Ulasan
Kelima-lima aspek ini sangat mustahak dalam kehidupan kita.
  • Cadangan
Amalan berjimat cermat hendaklah dibudayakan dalam hidup, khasnya kepada generasi baharu yang akan menjadi pelapis dan pemimpin akan datang.
  • Amaran
Kita perlu sedar bahawa orang yang suka membazir ialah orang yang tidak tahu bersyukur dan menyusahkan banyak pihak.
  • Harapan
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut seruan kerajaan agar amalan ini dijadikan sebagai amalan sepanjang hayat.



Disediakan oleh:
Muhammad Husaini

Diubah suai daripada:

Khamis, 25 Oktober 2012

Tips dan Panduan: 'The Six Thinking Hats'?





Apakah yang dimaksudkan dengan ‘The Six Thinking Hats?  Sebenarnya 'The Six Thinking Hats' adalah alat berfikir yang telah dipelopori oleh Edward De Bono.  Pada pendapat saya, “The Six Thinking Hats’ ini merupakan satu teknik yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan.  Hal ini demikian, kerana sekolah tempat saya bertugas suatu ketika dahulu, sudah pernah melaksanakan teknik ini dan ternyata ia berkesan.  Walau bagaimanapun, pengaplikasian teknik ini memerlukan masa yang panjang terutamanya jika ia diaplikasikan di peringkat sekolah rendah.

Berikut diterangkan serba sedikit tentang ‘The Six Thinking Hats’ untuk kita fahami.

1. Topi Hijau ( Green Hat )

  • Topi hijau melambangkan pemikiran yang kreatif.
  • Warna hijau melambangkan otak yang subur dengan idea-idea.
  • Topi hijau digunakan bagi mencari idea-idea alternatif berdasarkan maklumat yang ada.
  • Topi hijau digunakan pada waktu mula-mula berfikir.
  • Situasi yang paling penting bagi menggunakan topi hijau ialah ketika ingin menyelesaikan masalah.


2. Topi Kuning ( Yellow Hat )

  • Topi kuning melambangkan pemikiran yang konstruktif.
  • Warna kuning melambangkan kecerahan yang bermakna positif.
  • Topi kuning digunakan bagi mencari segala faedah daripada sebarang idea alternatif yang dikeluarkan oleh topi hijau.
  • Situasi yang paling baik bagi menggunakan topi kuning ialah apabila mendapati idea-idea mempunyai banyak kelemahan

 .
3. Topi Putih ( White) Hat )

  • Topi putih melambangkan pemikiran objektif.
  • Warna putih melambangkan kebersihan yang bermakna tiada prejudis.
  • Topi putih digunakan untuk mencari fakta, angka dan maklumat semata-mata.
  • Topi putih dipakai sebelum membuat sebarang keputusan bagi memilih sebarang alternatif.


4. Topi Hitam ( Black Hat )

  • Topi hitam melambangkan pemikiran yang kritikal dan negatif.
  • Warna hitam melambangkan kegelapan yang bermakna tiada harapan.
  • Topi hitam digunakan untuk mencari segala yang salah , sukar , berisiko dan berbahaya.
  • Topi hitam berguna untuk menghasilkan rancangan kecemasan dan keselamatan.
  • Topi hitam dipakai sebelum membuat sebarang tindakan dengan memikirkan segala keburukan dan kerugian yang akan dialami.


5. Topi Merah ( Red Hat )

  • Topi merah melambangkan pemikiran yang emosional.
  • Warna merah melambangkan perasaan yang ghairah.
  • Topi merah membenarkan pemikiran emosi dan intuisi sewaktu berfikir.
  • Masa yang paling sesuai memakai topi ini ialah selepas mengambil kira semua fakta yang ada.


6. Topi Biru ( Blue Hat )

  • Topi biru melambangkan pemikiran untuk mengawal dan menguasai.
  • Warna biru melambangkan langit yang bermakna paling atas.
  • Topi biru mengawasi topi-topi lain bekerja.
  • Orang yang paling sesuai untuk memakai topi ini ialah seseorang yang menjadi ketua.


Cara Implementasinya :

  • Jelaskan kepada pelajar mengenai keenam-enam topi ini.
  • Kemudian beri mereka keratan akhbar atau petikan.
  • Arahkan mereka untuk menganalisis keratan akhbar atau petikan tersebut berdasarkan warna topi.
  • Proses terakhir, arahkan pelajar untuk membina sebuah karangan yang mempunyai tajuk hampir-hampir sama dengan keratan akhbar atau petikan yang telah mereka analisis.
  • Pastikan mereka menggunakan peranan keenam-enam topi yang disediakan.



Dihasilkan dan diubahsuai oleh :
Masnor_8168

Rabu, 24 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Markah Subjek Bahasa Melayu Rendah?



Baru-baru ini sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-22 bagi Tahun 2012, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah tentang pencapaian rendah markah Bahasa Melayu (BM) dalam Ujian dan Peperiksaan.  Menurut baginda, usaha perlu dilakukan bagi menguatkan lagi subjek BM ini.  Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan dan menguatkan lagi subjek ini?   Siapa pula yang perlu berbuat demikian?


Jika diimbas zaman sebelum era abad ke-21 (sebelum tahun 2000), pencapaian pelajar dalam subjek BM adalah pada tahap yang baik.  Jarang sekali kita dengar yang pelajar atau anak kita gagal dalam subjek ini.  Ini kerana apabila disebut subjek BM, kebanyakan antara kita akan membayangkan bahawa “Subjek ini MUDAH”.  “Kita kan orang Melayu, jadi adalah MUSTAHIL bagi kita untuk GAGAL dalam subjek ini”.  Itulah antara kata-kata yang terkeluar daripada mulut orang-orang kita.  Tapi, sejak akhir-akhir ini, kegagalan dan pencapaian rendah pelajar dalam subjek BM  TIDAK MUSTAHIL lagi.  Lebih-lebih dalam peperiksaan awam di peringkat G.C.E 'O'. 


Persoalannya, mengapakah perkara ini berlaku? Siapakah yang patut dipersalahkan?  Guru? Ibu bapa? Pelajar? Atau pengaruh globalisasi iaitu teknologi maklumat dan komunikasi yang ada sekarang?  Dalam hal ini, saya tidak memihak kepada sesiapa kerana masing-masing mempunyai peranan untuk menguatkan dan mengukuhkan lagi kedudukan subjek BM.   


Kita tidak perlu salahkan guru kerana dalam konteks pendidikan sekarang, pelbagai strategi dan kaedah pengajaran bahasa yang berteraskan trend semasa sudah diaplikasikan oleh guru-guru di negara kita.  Salah satu pendekatan yang paling popular pada masa kini ialah pendekatan konstruktivisme.  Namun, persoalannya?  Betulkah guru-guru ini sudah mengaplikasikan strategi, kaedah dan pendekatan ini dengan sebaik-baiknya?  Bolehkah mereka mengaplikasinya dalam menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?     


Bagaimanakah dengan ibu bapa? Adakah mereka dapat menjadi contoh dan role model yang terbaik dalam mendaulatkan penggunaan BM, bukan sahaja dalam konteks lisan, malahan juga dalam konteks tulisan?    Bagaimanakah agaknya tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan penggunaan BM dalam kehidupan dan sekali gus terhadap pendidikan anak-anak mereka lebih-lebih lagi dalam menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?


Bagaimanakah dengan ‘pelajar’ itu sendiri?  Adakah mereka SEDAR akan kepentingan penggunaan BM dan subjek BM itu sendiri lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan cabaran globalisasi abad ke-21 ini?  Apakah perkara yang perlu mereka lakukan agar pencapaian mereka dalam subjek ini TIDAK RENDAH?  Perlukah menyalahkan GURU dan IBU BAPA atas kegagalan mereka dalam mencapai keputusan yang baik dalam subjek ini?


Persoalan-persoalan yang saya kemukakan di atas saya tinggalkan kepada ANDA untuk menjawabnya.   Hal ini kerana USAHA UNTUK MENGUATKAN LAGI SUBJEK BAHASA MELAYU BUKAN HANYA DIPIKUL OLEH SATU PIHAK SAHAJA, MALAHAN OLEH RAMAI PIHAK,  LEBIH-LEBIH LAGI DALAM MENANGANI CABARAN GLOBALISASI ABAD KE-21.  Jadi, fikir-fikirkanlah. 


Dihasilkan sepenuhnya Oleh:
Cikgu Ros Linawati