Jumaat, 28 September 2012

Info Ilmu: Minuman "3-in-1" dan Bahayanya




Kesibukan dan kepadatan jadual kerja harian telah mencorakkan gaya hidup masyarakat moden sekarang.  Semua orang mahu cepat.   Masing-masing mengejar masa.  Semua perkara yang dikehendaki perlu disediakan pantas termasuklah dalam hal makan dan minum. 

Minuman 3-in-1 kebelakangan ini semakin popular kerana ia mudah dibancuh dan permintaannya pula kian meningkat.  Minuman ini tersedia dalam pelbagai rasa dan telah banyak jenama yang dihasilkan untuk kegunaan orang ramai.  Malah wujud pula pelbagai variasi seperti 5-in-1, 6-in-1 dan seterusnya.  Saya yakin ramai yang tidak sedar akan bahaya penggunaannya jika tidak dikawal.  Prof. Madya Shariza Abd. Razak, salah seorang pensyarah Program Dietik, Pusat Pengajian Sains Malaysia (USM), telah menjelaskan kesan dan bahaya pengambilan secara berterusan minuman ini di dalam sebuah keratan akhbar Kosmo yang saya perolehi daripada laman sesawang www.cari.com.my.

Antara kesan dan bahaya pengambilan minuman 3-in-1 yang perlu anda diketahui adalah berikut:
  1. Mengandungi kandungan gula yang tinggi yang membahayakan kesihatan.
  2. Mengambil tiga paket sehari boleh menyumbang kepada berat badan berlebihan.
  3. Mengandungi krimer susu yang bukan tenusu, iaitu yang dihasilkan daripada minyak kelapa sawit, sejenis lemak tepu yang boleh menyumbat saluran arteri atau pembuluh darah dan menyebabkan penyakit koronari jantung dan angin ahmar.
Prof. Madya Shariza Abd. Razak menjelaskan, “walaupun ada minuman itu dikatakan mengandungi ginseng atau tongkat ali untuk menambahkan tenaga namun kandungannya amat sedikit (kerana bahan-bahan tersebut mahal dan sukar diperolehi).”

Oleh itu, saya mengharapkan dengan info ilmu kali ini sedikit sebanyak akan dapat membuka mata kita perihal pentingnya kita selaku pengguna menyelidik isi kandungan makanan dan minuman yang kita ambil.  Kita perlu menghargai kesihatan kita.   

Seperti yang dinyatakan di dalam artikel ini, kita tidak dilarang untuk terus meminum minuman ini, tetapi pengambilannya hendaklah secara berpatutan dan perlulah juga diimbangi dengan makanan-makanan lain yang lebih berkhasiat.  Selain itu, kita perlulah juga membanyakkan pengambilan air kosong.

‘Beringatlah sebelum kena.’



Disediakan oleh:
Muhammad Husaini.

Dipetik dan disesuaikan daripada:
Akhbar Kosmo (tarikh tidak dinyatakan),


Khamis, 27 September 2012

Oh Rupanya: Apakah Kuda Belang?




Mungkin ramai di antara kita yang mengenali kuda.  Begitu juga dengan kuda belangkan?  Akan tetapi,  ada baiknya juga kita mengetahui dengan secara lebih mendalam mengenai habitat haiwan istimewa ini.



Berasal dari Afrika Tengah dan Afrika Selatan, nama saintifiknya ialah Equus Burchelli.  Dikatakan semua kuda belang mempunyai identifikasinya tersendiri iaitu belang menegak hitam dan putih pada bahagian hadapan dan belang sendeng ke arah bahagian belakang. 

Ahli zoologi berpendapat, belang-belang ini berfungsi sebagai mekanisme penyamaran.  Belang tersebut memainkan peranan dalam interaksi sosial dan bertindak sebagai cara membezakan antara seekor dengan seekor yang lain melalui perbezaan corak belang.

Kuda belang suka memakan rumput terutamanya rumput kering dan buah-buahan, sama seperti kuda biasa.  Terdapat tiga spesies kuda belang, iatu kuda belang darat, kuda belang gunung dan kuda belang grey.

Terdapat beberapa fakta yang tidak diketahui umum mengenai  kuda belang ini.  Spesies ini dianggap binatang MULIA!  Kenapa? Kerana haiwan ini hanya makan rumput yang panjang sahaja sementara  rumput yang pendek ditinggalkan kepada haiwan lain.
Kuda belang betina mengandung selama 1 tahun dan hanya lahirkan seekor anak sahaja.  Kerana itulah populasi kuda belang berkurangan.

Akan tetapi kenapakah  kuda belang tidak dijadikan haiwan peliharaan di negara kita? Sedangkan iklim dan sumber makanannya membolehkan haiwan ini hidup di negara kita.  Mungkin jika negara kita memelihara kuda belang secara komersil, ia dapat menjana ekonomi negara kita seperti industri pelancongan dan pertanian.

Rujukan dan diubahsuai dari : Majalah Mekar, Bil.344, Jilid 44, Februari, 2012

Dihasilkam oleh :
Masnor_8168

Asam Garam Duniaku: Mengapakah Pelajar Kita Bermasalah?



Melalui segmen ‘Asam Garam Duniaku’ kali ini, saya ingin mengongsikan pengalaman saya sebagai seorang pendidik.  Kisah ini berlaku di salah sebuah sekolah tempat saya pernah mengajar suatu ketika dahulu.

Kisah ini berlaku pada tahun 2000.  Pada ketika itu, saya berhadapan dengan seorang pelajar yang bermasalah dari segi pembelajaran dan disiplin.  Pelajar ini sebelumnya dijaga oleh bapa saudara di tempat lain dan diberi kasih sayang yang sepenuhnya daripada mereka.  Namun, apabila jodoh bapa saudaranya telah berakhir, dia terpaksa dihantar semula ke tempat asalnya iaitu ke pangkuan ibunya.

Apabila berada dalam jagaan ibunya, pelajar ini mula memberontak kerana segala keinginannya tidak dipenuhi.  Dia mula berkelakuan kasar sehingga terbawa-bawa ke sekolah. Akibat perangainya ini, ibunya tidak menyukainya.  Ibunya mula berat sebelah terhadapnya berbanding dengan saudaranya yang lain.  Keperluan sekolahnya tidak seperti saudaranya yang lain.  Dia diabaikan.  

Pada tahun 2001, saya ditugaskan untuk menjadi guru kelas dan sekaligus mengajar kelas pelajar ini.  Walaupun dia dikenali sebagai pelajar yang tidak berdisiplin, namun saya tetap tekal untuk mendidiknya dan memberi semangat kepadanya untuk menyukai sekolah sekaligus meminati apa sahaja pembelajarannya.

Alhamdulillah, dia berubah.  Dia mula mengikuti pembelajaran sekolah dan mula mengikuti aktiviti yang dianjurkan sekolah dan Jabatan Sekolah-sekolah.  Dia mula pandai mengira, mengeja dan membaca.  Sejak itu dia mempunyai ramai kawan di sekolah.

Pada tahun 2003, pelajar ini masih di bawah didikan saya. Tetapi, pada bulan Ogos, saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Brunei Darussalam (UBD).  Saya tidak berkesempatan mengucapkan selamat tinggal  dan memberi nasihat kepadanya.  Terakhir kisahnya saya dengar, dia menjadi seperti dahulu, tidak mahu belajar dan menimbulkan banyak masalah di sekolah.   Saya juga mendengar cerita bahawa dia telah dipindahkan oleh ibunya ke sekolah lain.  Akan tetapi, dia bertindak lebih ganas di sana. 

Dua tahun lepas, saya terjumpa pelajar ini.  Dia terus bersalam dengan saya walaupun agak kekok kerana dia sekarang sudah menjadi seorang remaja.  Dia memberitahu saya yang dia sekarang bekerja di bengkel membuat perahu.  Dia juga berhasrat untuk membuka perniagaannya sendiri iaitu membuka bengkel membuat dan membaiki perahu kerana minatnya ada di situ.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepadanya tentang kisahnya setelah saya melanjutkan pelajaran ke UBD.  Dia memberitahu bahawa, guru yang menggantikan saya tidak pernah memperdulikannya. Malah mereka sering memarahinya.  

Timbul dalam fikiran saya, adakah saya terlalu memanjakannya semasa saya mengajarnya?  Saya imbas kembali, saya juga pernah memarahinya jika dia melakukan kesalahan.  Mungkin cara saya menangani pelajar ini berbeza daripada guru yang lain.  Walau bagaimanapun, saya dapat mengambil pengajaran daripada cerita ini, bahawa jika kita mengambil berat terhadap pelajar kita, tidak mustahil dia akan mengingati kita selamanya malah kita akan menjadi seorang guru yang paling dihormatinya dan disukainya.

Dihasilkan :
Masnor_8168