Rabu, 19 September 2012

Aktiviti Bahasa: Pelancaran Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu


17 September, 2012 adalah tarikh yang dipilih untuk pelancaran Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu bagi Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya, Sengkarai, Tutong.  Antara objektif bagi Bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu ini ialah :


  • Menceriakan waktu perkumpulan pagi dan situasi bilik darjah dengan mengadakan pelbagai jenis peraduan;
  • Mewujudkan keyakinan diri murid-murid untuk bercakap di depan khalayak serta mengambil bahagian dalam setiap peraduan yang dijalankan;
  • Menanamkan minat murid-murid terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu; dan
  • Membantu murid agar dapat menguasai komponen Bahasa Melayu dengan mendedahkan mereka kepada komponen ini terutamanya komponen tatabahasa melalui permainan, aktiviti dan peraduan yang disediakan.
Penolong Guru Besar merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Melayu


Pelbagai aktiviti telah disusun bagi memeriahkan lagi bulan Mata Pelajaran ini, antaranya Pertandingan membaca bertema bagi setiap peringkat, Peraduan mengarang antara kelas; Minggu Kuiz mengenai Kata Hubung, Antonim, Sinonim, Penjodoh Bilangan dan Kata Ganda; Aktiviti Tulisan Cantik antara kelas dan Aktiviti Permainan Bahasa.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Membaca Bertema


Dalam ucapannya, Penolong Guru Besar sekolah ini berharap agar murid-muridnya dapat mengambil peluang keemasan ini untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang telah dirancang kerana  pihak sekolah telah menyediakan hadiah kepada pemenang-pemenang sambil menimba ilmu yang dikongsikan melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Diharapkan bulan Mata Pelajaran Bahasa Melayu ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan setiap pelajar mendapat manfaat dari aktiviti-aktiviti yang disediakan.   Tahniah kepada komiti Bahasa Melayu sekolah ini kerana berjaya mencapai kata sepakat untuk mengadakan Bulan Mata Pelajaran ini.

Catatan :
Cg.Masnor_8168

Selasa, 18 September 2012

Seni Kreatif: Koir 'Guru Oh Guru'



Sambutan Hari Guru di Negara Brunei Darussalam (NBD) diraikan pada setiap 23hb. September.  Walau bagaimanapun, pada tahun 2012 ini, sambutan Hari Guru diraikan pada 24hb. September, 2012 (Hari Isnin).  Demi menghargai sumbangan dan jasa guru, tarikh 24hb. September, 2012 telahpun diistiharkan sebagai hari cuti awam bagi sekolah-sekolah di negara ini.  Ini menunjukkan betapa kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengambil berat dan prihatin terhadap sumbangan dan jasa yang diberikan oleh golongan guru ini. Melalui sambutan tersebut, pelbagai anugerah Hari Guru diberikan kepada guru-guru di NBD ini, antaranya Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Guru Berjasa.

  
Pada kesempatan ini, saya mewakili ahli-ahli SERAMBI PELITA ILMU (yang juga merupakan antara guru-guru yang berkhidmat dengan kerajaan di NBD ini) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru yang ada di negara ini.   Semoga anda ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas anda.

Sempena Sambutan Hari Guru ini, berikut dipersembahkan koir Guru oh Guru :




Setelah mendengar koir 'Guru Oh Guru', terdapat pernyataan 'Negara Menghormatimu Dirimu Guru'.  Namun, timbul persoalan... adakah masyarakat juga menghormati profession perguruan kini?

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Video dipetik dari pautan:  http://www.youtube.com/watch?v=0ZzCTGieOH0

Analisis Kesalahan Bahasa: Penggunaan Imbuhan -an



Melalui segmen Analisis Kesalahan Bahasa kali ini, dikemukakan beberapa fungsi imbuhan –an dalam Bahasa Melayu, seperti berikut:

MAKSUD
AYAT CONTOH
1. Hasil sesuatu perbuatan
Contoh: masakan, bantahan, bantuan, sukatan, catuan
  • Para tetamu memuji masakan Masnordina yang sungguh enak dan lazat itu.
  • Orang ramai menyatakan bantahan terhadap keputusan itu.
2. Alat atau perkakas
Contoh: Ampaian, saluran, acuan, buaian, kurungan
  • Adunan kuih yang dimasukkan ke dalam acuan itu akan dibakar selama beberapa minit.
  • Ayam-ayam itu akan dimasukkan ke dalam kurungan sebelum disembelih oleh atuk.
3. Bilangan banyak atau himpunan
Contoh: batuan, ratusan, ribuan, jutaan
  • Pertunjukan kebudayaan itu disaksikan oleh ribuan penonton dari dalam dan luar negeri.
  • Ratusan bangkai ikan terapung-apung di permukaan sungai yang tercemar itu.

4. Tempat
Contoh: lapangan, hentian, tepian, laluan
  • Kapal terbang itu hampir terbabas ketika mendarat di lapangan terbang itu.
  • Mesra dan adik-adiknya kejar-mengejar di tepian pantai sambil ketawa dengan riang.
5. Ukuran, kiraan atau jangkamasa
Contoh: harian, mingguan, bulanan, elaan
  • Bermain badminton merupakan aktiviti mingguan Cikgu Hussaini.
  • Orang ramai sentiasa menanti majalah bulanan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan itu.


UJI DIRI:
Bina satu ayat dengan menggunakan kata berimbuhan –an, yang panjangnya tidak kurang daripada 8 patah perkataan berdasarkan maksudnya berikut:
(a)                Hasil sesuatu perbuatan
(b)               Alat atau perkakas
(c)                Bilangan banyak atau himpunan
(d)               Tempat
(e)               Ukuran, kiraan atau jangkamasa

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Isnin, 17 September 2012

Tunjuk Ajarku Guru: Mengapa Tercorot?





"Awak tidak berkebolehan dalam bidang ini!" ATAU "Awak pelajar yang paling tercorot dalam kelas ini!".  Sebagai seorang pelajar sudah setentunya anda berasa rendah diri dan anda berasa "  self esteem" anda rendah.  OPTIMISLAH! Mengapa tidak mengubah persepsi ini kepada sesuatu yang positif? 

Berikut adalah beberapa tips untuk meningkatkan keyakinan diri:

Terima seadanya apa yang ada dalam diri. Kita perlu menjadi seperti orang lain untuk berjaya.  

Cubalah anda keluar dari kawasan rasa takut.  Tampilkan diri anda di khalayak ramai dengan penuh rasa yakin yang anda juga mempunyai peluang untuk berjaya seperti mereka.

Tidak perlu cemburu dengan kelebihan orang lain.  Kita bersyukur diberikan kelebihan dan kita hendaklah redha dengan segala kelemahan yang Allah ciptakan buat kita.  

Jangan endahkan sindiran dan cemuhan orang lain yang mengatakan anda seorang yang tercorot kerana mereka juga manusia biasa.  Allah menciptakan manusia dengan menciptakan kelebihan dan kelemahan kepada kita.  Jadikan kelemahan anda sebagai 'benteng' dan cabaran dalam mengorak hidup untuk berjaya.  

Kita perlulah berhati-hati kerana kelemahan yang kita miliki hari ini merupakan kelebihan di mata orang lain.  

Masihkah anda menganggap diri anda tercorot?




Disediakan Oleh:
Mesra Hm.

Santai Ilmu: Teka-teki




Bertemu kita lagi dalam segmen santai ilmu.  Kali ini saya membawakan anda beberapa soalan teka-teki sebagai hiburan bersama.

1).  Antara banyak lembu, lembu apakah agaknya yang semua petani cari?
2).  Banyak-banyak ikan, ikan apa yang pemalu?
3).  Dalam banyak-banyak air, air apa yang paling berani?
4).  Rumah yang sering dikunjungi orang ramai?
5).  Mari kita lihat kehidupan yang ada dalam lautan, apakah ‘spesies’ yang paling tua didalamnya?
6).  Satu ketika ada seekor gajah dan seekor kancil sedang berjalan-jalan dalam hutan.  Tidak lama kemudian mereka terjumpa sebuah titian kecil.  Semasa kancil menaiki titian tersebut, titian itu runtuh.  Kancil telah patah kaki.  Gajah pula patah________.


Dipetik dan diubahsuai dari;