Selasa, 18 September 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Penggunaan Imbuhan -an



Melalui segmen Analisis Kesalahan Bahasa kali ini, dikemukakan beberapa fungsi imbuhan –an dalam Bahasa Melayu, seperti berikut:

MAKSUD
AYAT CONTOH
1. Hasil sesuatu perbuatan
Contoh: masakan, bantahan, bantuan, sukatan, catuan
  • Para tetamu memuji masakan Masnordina yang sungguh enak dan lazat itu.
  • Orang ramai menyatakan bantahan terhadap keputusan itu.
2. Alat atau perkakas
Contoh: Ampaian, saluran, acuan, buaian, kurungan
  • Adunan kuih yang dimasukkan ke dalam acuan itu akan dibakar selama beberapa minit.
  • Ayam-ayam itu akan dimasukkan ke dalam kurungan sebelum disembelih oleh atuk.
3. Bilangan banyak atau himpunan
Contoh: batuan, ratusan, ribuan, jutaan
  • Pertunjukan kebudayaan itu disaksikan oleh ribuan penonton dari dalam dan luar negeri.
  • Ratusan bangkai ikan terapung-apung di permukaan sungai yang tercemar itu.

4. Tempat
Contoh: lapangan, hentian, tepian, laluan
  • Kapal terbang itu hampir terbabas ketika mendarat di lapangan terbang itu.
  • Mesra dan adik-adiknya kejar-mengejar di tepian pantai sambil ketawa dengan riang.
5. Ukuran, kiraan atau jangkamasa
Contoh: harian, mingguan, bulanan, elaan
  • Bermain badminton merupakan aktiviti mingguan Cikgu Hussaini.
  • Orang ramai sentiasa menanti majalah bulanan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan itu.


UJI DIRI:
Bina satu ayat dengan menggunakan kata berimbuhan –an, yang panjangnya tidak kurang daripada 8 patah perkataan berdasarkan maksudnya berikut:
(a)                Hasil sesuatu perbuatan
(b)               Alat atau perkakas
(c)                Bilangan banyak atau himpunan
(d)               Tempat
(e)               Ukuran, kiraan atau jangkamasa

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan