Sabtu, 1 September 2012

Segmen Ibu Bapa: Hargailah Anak Kita


Bertemu kita dalam ruangan segmen ibu bapa.  Diharap dalam segmen ini akan dapat sama-sama membuka minda kita dalam mendidik anak bangsa.  Sesuatu yang paling berharga dalam hidup berumah tangga  ialah anak.  Anak adalah anugerah daripada Allah.  Sebagai ibu bapa, kita setentunya ingin melihat anak-anak membesar dengan sempurna dari semua aspek.  Namun perlu diingat, tahap kecerdasan dan kredibiliti setiap kanak-kanak adalah tidak sama. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang bijak, kita hendaklah menerima kelemahan dan kebaikan anak kita.  Apa yang penting ialah mereka dilengkapkan dengan didikan dan asuhan akhlak yang baik.  Sebagaimana ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’.


Mesra Hm.

Jumaat, 31 Ogos 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Antara "Baru" dan "Baharu"


Selamat tahun baru atau selamat tahun baharu?  Kereta baru atau kereta baharu?  Errr…yang mana satu betul ni?  Bunyinya seakan sama saja…

Sebenarnya ‘baru’ dan ‘baharu’ ialah dua perkataan yang mempunyai maksud yang berlainan.  Mungkin tidak ramai yang peka atau kisah tentang kesalahan makna ini.  Untuk memudahkan pemahaman, dijelaskan seperti berikut:

‘Baru’ dalam konteks bahasa Inggeris bermaksud ‘just’, manakala ‘baharu’ pula bermaksud ‘new’.  Perhatikan contoh ayat berikut:

I have just bought a new car.
à Saya baru saja membeli sebuah kereta baru.  (SALAH). 
à Sebetulnya ditulis ‘Saya baru saja membeli sebuah kereta baharu’  (BETUL)

Maka dapatlah disimpulkan bahawa ‘baru’ bermaksud hal yang berkaitan dengan masa.  Manalaka ‘baharu’ adalah lawan bagi kata sifat ‘lama’, ‘lapuk’ atau ‘usang’.  Jadi, dalam konteks ungkapan ‘Selamat tahun baru’ dan ‘kereta baru’, kita sekarang sepatutnya sudah boleh membetulkannya menjadi ‘Selamat tahun baharu’ (happy new year) dan ‘kereta baharu’ (new car).

Sekian dikongsikan untuk info pembaca semua.

Cikgu Husaini

Seni Kreatif: Serambi Pelita Ilmu




Serambi pelita ilmu
serambi tempat berista
menyimpan khazanah
tempat berkumpul ibu ayah
berkasih ilmu
berindu ilham
bedudun anak peradian
berkongsi pelita kisah
dan petua
bukan serambi kosong
serambi kami tempat bertemu
berguru
bermesra
berpesan
berjabat
berhubung
beramanat…


Nukilan:
Cikgu Md Husaini
(Usai 09 Ogos 2012)

Khamis, 30 Ogos 2012

Santai Ilmu: Simpulan Bahasa


Pilih Simpulan Bahasa yang paling sesuai untuk melengkapkan ayat di bawah ini.


1. Budak-budak ............ itu sering membuat bising hingga larut malam.
a).          kacang hantu 
b).          berat tulang 
c).          kaki bangku

2. Orang kaya yang .............. itu tidak mahu menghulurkan derma, walaupun seringgit.
a).         mata duitan
b).         rambang mata
c).         tangkai jering

3. Ali dapat menjawab semua soalan yang diberikan oleh Cikgu Zaidi kerana dia pelajar yang........
a).          hati batu
b).          bintang terang
c).          otak cair

4. Khadizah ............ untuk menjadi seorang peragawati yang terkenal.
a).          ada hati
b).          iri hati
c).           hati batu            

5. Fikri disayangi oleh gurunya kerana dia........
a).          panjang tangan
b).          buruk siku
c).          ringan tulang

6. Syafiqah dan Sarah membawa ................ ketika menziarahi ibu saudara mereka di hospital.
a)            buah mulut
b).          buah fikiran
c).           buah tangan

7. Ahmad hanya duduk di tepi padang ketika kawan-kawannya bermain bola kerana dia..............
a).          kaki bangku
b).          kaki ayam
c).           lipas kudung

8. Ayah telah membelikan adik cermin mata kerana dia ..................
a).          rabun warna
b).          anak emas
c).           rabun ayam

9.Pada cuti penggal persekolahan yang lepas, kami sekeluarga .............. di Ulu Temburong.
a).          makan angina
b).          makan suap
c).           makan angkat

10.Beberapa orang pelajar membuka ______________ apabila dikejar oleh seekor anjing gila.
 a).          langkah seribu
 b).          langkah kanan
 c).           langkah kiri