Melalui segmen ‘Berfikir Sejenak’
kali ini, saya tertarik untuk mengemukakan satu ungkapan iaitu ‘Maaf’. Ungkapan ‘maaf’ ini memang sering kali kita
dengar dan ucapkan ketika Sambutan Hari Raya, namun, jarang sekali kita
ungkapkan pada hari-hari biasa. Sedangkan
untuk mengungkapkan perkataan ‘maaf’ bukanlah satu perkara yang sukar, dan
apabila diucapkan tidaklah mendatangkan kesakitan, malahan sebaliknya akan
lebih mengeratkan hubungan persaudaraan atau persahabatan.
Ada yang beranggapan “Tidak
perlulah meminta maaf, kerana aku tak buat salah pun!” Namun, hakikatnya, anggapan seperti ini
perlulah diperbetulkan. Ini kerana
ungkapan ‘maaf’ tidak semestinya menunjukkan kita mempunyai atau melakukan
‘kesalahan’ terhadap orang lain, tetapi
lebih merupakan sebagai satu komitmen terhadap sesuatu perhubungan persaudaraan
atau persahabatan. Pada hakikatnya,
kita yakin yang kita tidak melakukan kesalahan, namun, di sebaliknya, kita
tidak sedar ada tingkah laku atau perbuatan kita yang tidak disenangi sehingga
boleh menggores atau menyinggungkan perasaan orang lain. Contohnya, ketika kita bergurau senda. Oleh itu, dengan meminta maaf, perasaan
tergores dan tersinggung tersebut tidak akan menjadi ‘nanah’ dan ‘duri’ dalam
sesebuah perhubungan persaudaraan atau persahabatan.
Orang yang tidak tahu meminta maaf
walaupun mengetahui yang dirinya melakukan kesalahan merupakan manusia yang
‘ego’ dan ‘tinggi diri’. Dalam Agama
Islam sendiri ada menyatakan akan kepentingan meminta maaf itu seperti mana
sabda Rasulullah yang berbunyi "Setiap
manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah
orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT". Ini bererti bahwa manusia yang baik bukan bererti tidak pernah melakukan
kesalahan, sebab perkara itu adalah mustahil kecuali Rasulullah SAW yang
ma’shum (sentiasa dalam bimbingan Allah SWT). Tetapi, manusia yang baik adalah
manusia yang menyedari akan kesalahannya dan segera bertaubat kepada-Nya.
Oleh itu, dalam konteks kehidupan kita sehari-hari, janganlah kita ralat
untuk mengungkapkan ucapan ‘maaf’ antara sesama manusia. Ini kerana ungkapan ‘maaf’ boleh menjadi ‘ubat’ dan meredakan perasaan ‘amarah’. Namun, persoalannya apakah kita sudah
bersedia untuk meminta maaf jika kita memang benar-benar melakukan kesalahan? Bagaimanakah caranya kita mengungkapkan
perkataan ‘maaf’ tersebut? Adakah kita ikhlas mengungkapkan perkataan ‘maaf’
tersebut?
Sekian
dikongsikan.
Dihasilkan Oleh:
Cikgu Ros
Linawati
Rujukan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan