Trend mencipta
atau mengangkat ‘punch line’ dalam komunikasi lisan sering berlaku tanpa kita
sedari. Jika kita cuba imbas kembali,
pada suatu ketika dahulu istilah atau ungkapan ‘Malas tah ku ingau (MTKI)’ agak
popular dan menjadi mainan mulut masyarakat.
MTKI adalah milik asli orang Brunei.
Secara tersiratnya MTKI boleh dijadikan sebagai sindirian atau kritikan
sosial kepada golongan individu yang bersikap acuh tak acuh, bekerja sambil
lewa, malas, lalai dan tidak melaksanakan amanah dengan sebaiknya.
Sekarang,
semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, telah muncul satu lagi ungkapan yang
tidak kurang unik, malah lebih popular iaitu ‘Mun faham bisai (MFB)’. Ungkapan MFB terdiri daripada tiga patah
perkataan iaitu ‘mun,’ ‘faham’ dan ‘bisai’.
‘Mun’ berasal daripada bahasa Melayu Brunei yang bermaksud kalau atau
jika. ‘Faham’ bermaksud tahu atau
mengerti. Manakala ‘bisai’ pula membawa
maksud bagus atau cantik.
Ungkapan MFB
telah menjadi trend dalam penggunaan bahasa pasar masyarakat di negara
ini. Ungkapan ini menjadi begitu popular
sehingga pernah dijadikan tajuk bagi salah sebuah drama televisyen tempatan. Sehingga kini saya tidak mengetahui orang
pertama yang menuturkan ungkapan ini. Bagi
saya ungkapan ini unik dan menjadi begitu popular kerana seperti MTKI, ungkapan
MFB memberikan pelbagai terjemahan maksud yang padat, berisi sindiran yang
sinis, peringatan, teguran dan motivasi.
Jika diamati,
sememangnya ada banyak perkara yang dilangkaui oleh ungkapan MFB sama ada
positif mahupun negatif. Pada
kebiasaannya, MFB dijadikan kalimat penggulungan dalam situasi bual
bicara. Misalnya, selesai berhujah
tentang sesuatu hal yang kurang disenangi, penutur akan ‘menikam’ pendengar atau
orang yang diajak bercakap dengan ungkapan MFB.
Tidak dapat
dinafikan, jika terkena batang hidung sendiri, hati mungkin akan terusik
apabila MFB ditujukan kepada kita.
Namun, dalam situasi yang tertentu janganlah kita mudah melatah dek
terasa diperli, kerana di sebalik ‘usikan’ nakal ini sepatutnya dapat
menjadikan kita lebih bermotivasi untuk menjadi individu yang berfikiran
positif dan lebih baik budi pekerti, “Mun faham bisai…”
Dihasilkan
sepenuhnya oleh:
Cikgu Husaini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan