Selasa, 4 September 2012

Seindah Bahasa: Hutang Emas dan Hutang Budi...




Pisang emas dibawa belayar,
   masak sebiji di atas peti;
hutang emas boleh dibayar,
   hutang budi dibawa ke mati.

Rangkap pantun budi di atas sangat masyhur dalam kalangan masyarakat Melayu.  Gaya bahasanya indah dan mempunyai nilai etika yang sangat tinggi.  Sungguhpun pantun ini mungkin sudah berusia beratus-ratus tahun lamanya, ia masih sangat releven hingga ke zaman sekarang.  Pantun ini dengan begitu jelas menggambarkan betapa tingginya nilai budi dalam konteks bangsa Melayu. 

Apakah yang dimaksudkan dengan budi?  Budi dapat diertikan sebagai kesantunan, jasa, sifat atau akhlak.  Sememangnya budi dan masyarakat Melayu begitu sinonim dan tidak dapat dipisahkan.  Dalam konteks bahasa, budi dapat dikategorikan kepada tiga, iaitu budi bahasa, budi bicara dan budi pekerti.  Budi bahasa bermaksud gaya pertuturan, cara bercakap dengan orang yang lebih berusia atau berpangkat tinggi dalam keluarga mahupun masyarakat.  Budi bicara pula bermaksud cara seseorang membuat pertimbangan akal sebelum membuat keputusan dan tindakan.  Manakala, budi pekerti pula bermaksud tingkah laku ataupun keolahan dalam pergaulan seharian.

Peringatan dan kepentingan menghargai budi banyak terzahir dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu semenjak dahulu lagi, khasnya dalam budaya, adat dan istiadat.  Budi telah sekian lama menjadi prioriti dan mengalir dalam darah orang-orang Melayu, misalnya dalam hal-hal kekeluargaan, berurus niaga, perhubungan, mencari pasangan hidup dan sebagainya.  Oleh itu, sebagai orang Melayu, kita mestilah sentiasa menyanjung nilai budi, khasnya terhadap budi yang diberi.  Jangan sampai kita dikatakan orang yang tidak tahu mengenang budi atau ‘Seperti kacang lupakan kulit’.  Selain itu, dalam hidup ini juga, kita hendaklah selalu memberi, jangan hanya tahu menerima.

                Yang kurik itu kundi yang merah itu saga;
                   Yang cantik itu budi yang indah itu bahasa.



Nukilan:
Cikgu Md. Husaini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan