Isnin, 24 September 2012

Seni Kreatif: 'Positif Mail'?





Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pada bulan September ini saya berpeluang menjalankan kajian di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Kampung Mentiri.  Alhamdulillah sejauh ini semuanya berjalan lancar dan kerjasama pihak sekolah dan partisipasi pelajar sangat memuaskan.

Dalam pada melaksanakan kajian, saya tertarik dengan satu ruangan di dalam salah sebuah kelas Tahun 9 yang saya masuki.  Sekeping kertas biru dihiasi beberapa sampul surat berwarna hijau dan biru tertera di bahagian dinding belakang.  Setelah memberikan kerja kepada pelajar, saya mendekati ruangan tersebut:  ‘Positif Mails’ dan di dalam beberapa sampul surat yang tertulis nama pelajar itu mengandungi kepingan nota kecil.  Saya sekadar menyingkap beberapa mulut sampul surat yang terbuka.  Isi kandungan nota tersebut tidaklah saya baca kerana saya tahu saya perlu ‘menghormati’ isi kandungannya.

Sebelum sesi pengajaran tamat, saya seperti biasa membuat rumusan isi pelajaran.  Kebetulan pada hari itu saya menyelitkan formula ‘Five wifes and one husband, 5W + 1H’ dalam pembelajaran pelajar.  Akhirnya, setelah mengarahkan pelajar menyatakan kembali maksud 5W + 1H, saya terus mengambil peluang yang ada dan menjadikan ‘Positif Mails’ sebagai subjek perbualan.  Beberapa soalan saya ajukan:

1    Siapakah yang menghasilkan ‘Positive Mails’ tersebut?
2    Apakah tujuan ‘Positive Mails’ dihasilkan?
3    Apakah yang boleh dimasukkan ke dalam ‘Positif Mails’ tersebut? 

“Positif Mails dibuat oleh cikgu Bahasa Melayu kami, cikgu.  Ia dihasilkan sebagai salah satu cara untuk menyatakan kata-kata positif kepada kawan-kawan.  Isi-isi surat yang dimasukkan di dalamnya mestilah yang positif, cikgu.  Contohnya, macam ucapan terima kasih sebab memberikan pertolongan…” 

Oh ya, ‘Positif Mail’, saya tersenyum.  Sudah tentulah perkara-perkara yang positif saja kan?  ujar saya sebelum meninggalkan kelas. 

Saya puji guru yang menghasilkan ‘Positive Mails’.  Walaupun nampak ‘simple’, tetapi idea dan kreativiti beliau secara tidak langsung mengajar saya bahawa untuk menjadi seorang yang kreatif tidak semestinya memerlukan idea yang hebat.  Kreativiti boleh saja dimulai dengan idea-idea yang nampak ‘simple’ tetapi apabila kena dengan caranya, ia boleh menghasilkan sebuah produk yang menarik dan yang lebih penting dapat membuka fikiran orang lain.


Dihasilkan sepenuhnya oleh:
Muhammad Husaini

Analisis Kesalahan Bahasa: Jangan Keliru dengan Penggunaan Kata Pemeri "Ialah" dan "Adalah"




Kata pemeri ialah kata tugas yang memerihalkan atau menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam perdikat.  Terdapat dua jenis kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah.  Penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata pemeri ini baik dalam lisan dan tulisan sering diabaikan. 

Jika kita perhatikan, umpamanya dalam majlis-majlis penyampaian anugerah atau pengumuman-pengumuman keputusan sesebuah pertandingan,  kesalahan penggunaan ‘ialah’ dan ‘adalah’ selalu berlaku.  Sewaktu menyampaikan nama penerima atau pemenang, frasa-frasa berikut lazim disebut oleh pengacara atau penyampai:
i.                     “Pemenangnya ialah…”
ii.                   “Pemenangnya adalah…”

Mengapakah hal ini berlaku?  Bagi saya, hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa fungsi kedua-dua kata pemeri ini sama sahaja.  Sebenarnya tanggapan ini salah.  Menukar ganti kata pemeri dengan sewenang-wenangnya perlu diperbetulkan. 

KATA PEMERI ‘IALAH’

Kata pemeri ‘ialah’ diletakkan di hadapan frasa nama bagi menjelaskan persamaan.  Contoh ayat:
1      
      Bunga simpur ialah bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
[… ialah + frasa nama ‘bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam’]

2       Lelaki itu ialah Yusri.
[… ialah + frasa nama ‘Yusri’]

3       Angin ialah udara yang bergerak.
[… ialah + frasa nama ‘udara yang bergerak’]

Bagaimanapun, sebenarnya kata pemeri ‘ialah’ hanya bersifat pilihan atau dalam erti kata yang lain boleh digugurkan.  Erti kata lain, tanpa kehadiran ialah, ayat (1), (2) dan (3) yang dibina tetap gramatis:

Bunga simpur bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Lelaki itu Yusri.
Angin udara yang bergerak.

Namun yang demikian, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri ‘ialah’ dapat membantu meningkatkan  kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas, seperti contoh berikut:

Lelaki yang baru saja memasuki dewan itu ialah Yusri.


KATA PEMERI ‘ADALAH’

Kata pemeri ‘adalah’ diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama bagi menjelaskan sesuatu secara huraian, seperti contoh ayat berikut:
.        
      Kepakaran beliau adalah dalam bidang komputer.
[… adalah + frasa sendi nama  ‘dalam bidang komputer’]

5      Hadiah ini adalah untuk Nurul di sekolah.
     [… adalah + frasa sendi nama  ‘untuk Nurul di sekolah’]

6     Rupa-rupanya berita yang kita dengar selama ini adalah palsu.
[… adalah + frasa adjektif  ‘palsu’]

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu baku, kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan di hadapan kata kerja atau frasa kerja, seperti berikut:
7
           Adalah dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (SALAH)
Dengan ini dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (BETUL)
8 
          Amalan bergotong royong adalah merupakan amalan mulia.  (SALAH)
Amalan bergotong royong merupakan amalan mulia.  (BETUL)


UJI DIRI

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih kata pemeri yang betul, sama ada ‘ialah’ atau ‘adalah’.

1    Dengan markah 89.5%, johan pertandingan pidato  _________ Farid.

2    Buah-buahan tempatan kegemaran Hasibah _________ durian, rambutan, nangka dan mata kucing.

3    Warna kegemaran Hidayah ________ kuning, merah jambu dan hijau .

4    Lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ ________ lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

5    "Novel yang saya beli tadi ada ______ adik,” kata Masnor.

6    Azim akan menyerahkan hadiah itu ______ tunangnya ______ hari esok.



Sila emelkan jawapan anda kepada rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas. 



Disesuaikan daripada:
Explorasi Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 1, 2003.

Disediakan oleh:
Cikgu Muhammad Husaini


Ahad, 23 September 2012

Tunjuk Ajarku Guru/Info Ilmu: Apakah Penanda Wacana?



Pada pertemuan kali ini saya ingin mengongsikan maklumat mengenai ‘Penanda Wacana’.  Apa dia Penanda Wacana?  Penanda Wacana dikenali juga sebagai perangkai ayat.  Penanda wacana digunakan untuk mewujudkan kesinambungan idea antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana.
Jadual di bawah menjelaskan jenis penanda wacana yang berperanan sebagai penghubung.

Penanda wacana
Kegunaan
Contoh
Penghubung tambahan
Memberi maklumat tambahan kepada perkara sebelumnya
Dan, lalu, malahan, selanjutnya, tambahan pula, apatah lagi, selain itu, di samping itu, lebih-lebih lagi, dsb.
Penghubung tentangan
Menunjukkan pertentangan maklumat antara sesuatu yang baru diperkatakan dengan yang sebelumnya
Tetapi, sebaliknya, walau bagaimanapun, namun, namun begitu, namun demikian, dsb.
Penghubung musabab
Menandakan sebab berlakunya sesuatu
Kerana, oleh sebab, oleh itu, dengan itu, oleh hal demikian, maka itu, dsb.
Penghubung tempoh
Menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu
Pertama, akhirnya, maka, kemudian, selepas itu, seterusnya, selanjutnya dsb.

Antara contoh penggunaan penanda wacana dalam ayat :

Penanda wacana
Ayat contoh
Penghubung tambahan
Banjir kilat bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda malahan menggangu urusan harian penduduk yang terlibat.
Penghubung tentangan
Tersesat sendirian di dalam hutan memang menakutkan.  Namun begitu, haruskah aku menyerah begitu sahaja tanpa sebarang usaha?
Penghubung musabab
Telefon bimbit menggangu pembelajaran pelajar di sekolah.  Oleh sebab itu, penggunaannya di sekolah telah diharamkan.
Penghubung tempoh
Mula-mula beliau menghadiri majlis kenduri yang diadakan jirannya.  Selepas itu, barulah dia pergi ke majlis kenduri yang diadakan anaknya.

Diharap dengan pengongsian ringkas ini, para pelajar dapat manfaat darinya dengan mengaplikasikan penanda wacana ini dalam penulisan mereka, mahupun dalam komunikasi lisan mereka. 

Dipetik dan diubahsuai dari : Tatabahasa Bahasa Malaysia UPSR. 2011.Kuala Lumpur :Longman.

Dihasilkan oleh :
Cg.Masnor_8168

Santai Ilmu: Menyenaraikan Golongan Kata Dari Gambar?



Kita selalu mendengar bahawa gambar boleh mengeluarkan seribu makna.  Jadinya, untuk segmen santai ilmu kali ini, saya ingin menggunakan peranan gambar sebagai medium untuk pelajar menyenaraikan beberapa perkataan berdasarkan kategorinya.

Perhatikan gambar di bawah.  Cuba pelajar senaraikan kata nama, kata sifat dan kata kerja dari gambar di bawah ini.



 Kata Nama:                                                            
1. ______________________                                
2. ______________________                                
3. ______________________                                
4. ______________________                                
5. ______________________                                

Kata Kerja:
1. ______________________
2. ______________________
3. ______________________
4. ______________________
5. ______________________

Kata Sifat:
1. ______________________
2. ______________________
3. ______________________
4. ______________________
5. ______________________


Disediakan Oleh:
Masnor

Sabtu, 22 September 2012

Info Ilmu: Apakah Teknologi 3G?



3G adalah singkatan bagi The Third Generation atau Generasi Ketiga teknologi telefon bimbit.  Teknologi 3G secara ringkasnya merupakan satu sistem yang membolehkan pengguna berkomunikasi secara bersemuka dari telefon bimbit ke komputer riba.  Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun lagu dan video pada kadar sepuluh kali ganda lebih cepat daripada biasa.  Telefon ini diperkenalkan oleh Jepun.  Bentuk dan saiznya agak kecil tetapi menarik dan dilengkapi dengan kamera serta video berkembar.

Telefon 3G juga adalah teknologi rangkaian telekomunikasi tanpa wayar yang membolehkan video, audio dan data dihantar lebih cepat menerusi satu rangkaian jalur lebar tanpa wayar berbanding teknologi yang sedia ada.  Teknologi yang semakin popular ini menyediakan akses bagi tayangan televisyen, pertunjukan multimedia, sidang video langsung, pelayaran laman web, e-mel, pesanan segera, faksimili dan petunjuk peta.

Persoalannya sekarang, sejauh manakah anda menggunakan kecanggihan teknologi 3G ini dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan anda? 

Disesuaikan dari artikel yang bertajuk 'Teknologi 3G', susunan G-Beh, dari Majalah Juara Pelajar, Keluaran September-Oktober, 2007.

Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati