Selasa, 12 Februari 2013

Berfikir Sejenak: Mengapa Perlu Meng"ambil berat"?


 

Salah satu simpulan bahasa yang sering digunakan dalam kehidupan masyarakat kita sehari-hari ialah "Ambil berat".  Apakah yang dimaksudkan dengan simpulan bahasa "ambil berat" ini?  Mengikut makna kamus, "ambil" bermaksud memegang atau mengutip sesuatu untuk disimpan atau dibawa.  Manakala, "berat" bermaksud ukuran timbangan atau tekanan sesuatu timbangan (khususnya benda/barang) atau sukar.

Oleh itu, "ambil" bolehlah dikonotasikan sebagai memberi perhatian terhadap sesuatu perkara.  Hal ini kerana, apabila kita memegang atau mengutip sesuatu untuk disimpan, ini bermakna kita memberi tumpuan/perhatian terhadap benda/barang tersebut.  Manakala, "berat" bolehlah dikonotasikan sebagai "perkara yang sukar kerana mendatangkan tekanan".  Hal ini bermakna apabila perkara itu sukar dan mendatangkan tekanan, ia menjadikan seseorang itu bersifat serius.

Secara ringkasnya, berdasarkan makna kamus dan konotasi kedua-dua perkataan "ambil" dan "berat", jadi simpulan bahasa "ambil berat" bermaksud memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara.   

Dalam hal ini, timbul persoalan mengapakah kita perlu meng"ambil berat" atau memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara?   Pada pendapat saya, hal ini berlaku kerana kita mempunyai rasa tanggungjawab dan amanah dalam menjalankan sesuatu perkara.  Sebagai contoh, para pelajar mengambil berat terhadap pelajarannya kerana ingin maju dalam pelajaran dan sekali gus ingin lulus dalam peperiksaan yang bakal dihadapi dengan cemerlang.  Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh para pelajar bagi membuktikan yang mereka mengambil berat terhadap pelajaran mereka.  Antaranya ialah dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran guru di dalam bilik darjah, bertanya jika menghadapi kesulitan/kesukaran dalam pelajaran, membuat kerja rumah dan kerja kelas yang diberikan oleh guru dengan sebaik-baiknya, dan pelbagai cara lagi.

Bagaimanakah pula dengan bukti sikap ibu bapa yang mengambil berat terhadap anak-anak?  Dalam hal ini, terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh ibu bapa.  Biasanya mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang mereka terhadap anak-anak.  Antaranya ialah dengan cara bekerja keras mencari rezeki bagi menyara kehidupan anak-anak terutama yang berhubung dengan keperluan makan dan pakai anak-anak, menghantar anak-anak ke sekolah agar anak-anak memperolehi pendidikan yang sepatutnya, dan sebagainya.

Persoalannya sekarang, apakah anda juga meng"ambil berat" terhadap sesuatu perkara?  Jika ya, apakah perkara tersebut?  Apakah yang telah anda lakukan untuk membuktikan yang anda meng"ambil berat" terhadap perkara tersebut? Adakah perkara yang di"ambil berat" tersebut mendatangkan manfaat kepada anda?  Fikirkanlah...

Disediakan dan diusahakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati