Rabu, 24 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Markah Subjek Bahasa Melayu Rendah?



Baru-baru ini sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-22 bagi Tahun 2012, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah tentang pencapaian rendah markah Bahasa Melayu (BM) dalam Ujian dan Peperiksaan.  Menurut baginda, usaha perlu dilakukan bagi menguatkan lagi subjek BM ini.  Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan bagi mengukuhkan dan menguatkan lagi subjek ini?   Siapa pula yang perlu berbuat demikian?


Jika diimbas zaman sebelum era abad ke-21 (sebelum tahun 2000), pencapaian pelajar dalam subjek BM adalah pada tahap yang baik.  Jarang sekali kita dengar yang pelajar atau anak kita gagal dalam subjek ini.  Ini kerana apabila disebut subjek BM, kebanyakan antara kita akan membayangkan bahawa “Subjek ini MUDAH”.  “Kita kan orang Melayu, jadi adalah MUSTAHIL bagi kita untuk GAGAL dalam subjek ini”.  Itulah antara kata-kata yang terkeluar daripada mulut orang-orang kita.  Tapi, sejak akhir-akhir ini, kegagalan dan pencapaian rendah pelajar dalam subjek BM  TIDAK MUSTAHIL lagi.  Lebih-lebih dalam peperiksaan awam di peringkat G.C.E 'O'. 


Persoalannya, mengapakah perkara ini berlaku? Siapakah yang patut dipersalahkan?  Guru? Ibu bapa? Pelajar? Atau pengaruh globalisasi iaitu teknologi maklumat dan komunikasi yang ada sekarang?  Dalam hal ini, saya tidak memihak kepada sesiapa kerana masing-masing mempunyai peranan untuk menguatkan dan mengukuhkan lagi kedudukan subjek BM.   


Kita tidak perlu salahkan guru kerana dalam konteks pendidikan sekarang, pelbagai strategi dan kaedah pengajaran bahasa yang berteraskan trend semasa sudah diaplikasikan oleh guru-guru di negara kita.  Salah satu pendekatan yang paling popular pada masa kini ialah pendekatan konstruktivisme.  Namun, persoalannya?  Betulkah guru-guru ini sudah mengaplikasikan strategi, kaedah dan pendekatan ini dengan sebaik-baiknya?  Bolehkah mereka mengaplikasinya dalam menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?     


Bagaimanakah dengan ibu bapa? Adakah mereka dapat menjadi contoh dan role model yang terbaik dalam mendaulatkan penggunaan BM, bukan sahaja dalam konteks lisan, malahan juga dalam konteks tulisan?    Bagaimanakah agaknya tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan penggunaan BM dalam kehidupan dan sekali gus terhadap pendidikan anak-anak mereka lebih-lebih lagi dalam menangani cabaran globalisasi abad ke-21 ini?


Bagaimanakah dengan ‘pelajar’ itu sendiri?  Adakah mereka SEDAR akan kepentingan penggunaan BM dan subjek BM itu sendiri lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan cabaran globalisasi abad ke-21 ini?  Apakah perkara yang perlu mereka lakukan agar pencapaian mereka dalam subjek ini TIDAK RENDAH?  Perlukah menyalahkan GURU dan IBU BAPA atas kegagalan mereka dalam mencapai keputusan yang baik dalam subjek ini?


Persoalan-persoalan yang saya kemukakan di atas saya tinggalkan kepada ANDA untuk menjawabnya.   Hal ini kerana USAHA UNTUK MENGUATKAN LAGI SUBJEK BAHASA MELAYU BUKAN HANYA DIPIKUL OLEH SATU PIHAK SAHAJA, MALAHAN OLEH RAMAI PIHAK,  LEBIH-LEBIH LAGI DALAM MENANGANI CABARAN GLOBALISASI ABAD KE-21.  Jadi, fikir-fikirkanlah. 


Dihasilkan sepenuhnya Oleh:
Cikgu Ros Linawati