Isnin, 24 September 2012

Analisis Kesalahan Bahasa: Jangan Keliru dengan Penggunaan Kata Pemeri "Ialah" dan "Adalah"




Kata pemeri ialah kata tugas yang memerihalkan atau menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam perdikat.  Terdapat dua jenis kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah.  Penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata pemeri ini baik dalam lisan dan tulisan sering diabaikan. 

Jika kita perhatikan, umpamanya dalam majlis-majlis penyampaian anugerah atau pengumuman-pengumuman keputusan sesebuah pertandingan,  kesalahan penggunaan ‘ialah’ dan ‘adalah’ selalu berlaku.  Sewaktu menyampaikan nama penerima atau pemenang, frasa-frasa berikut lazim disebut oleh pengacara atau penyampai:
i.                     “Pemenangnya ialah…”
ii.                   “Pemenangnya adalah…”

Mengapakah hal ini berlaku?  Bagi saya, hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa fungsi kedua-dua kata pemeri ini sama sahaja.  Sebenarnya tanggapan ini salah.  Menukar ganti kata pemeri dengan sewenang-wenangnya perlu diperbetulkan. 

KATA PEMERI ‘IALAH’

Kata pemeri ‘ialah’ diletakkan di hadapan frasa nama bagi menjelaskan persamaan.  Contoh ayat:
1      
      Bunga simpur ialah bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
[… ialah + frasa nama ‘bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam’]

2       Lelaki itu ialah Yusri.
[… ialah + frasa nama ‘Yusri’]

3       Angin ialah udara yang bergerak.
[… ialah + frasa nama ‘udara yang bergerak’]

Bagaimanapun, sebenarnya kata pemeri ‘ialah’ hanya bersifat pilihan atau dalam erti kata yang lain boleh digugurkan.  Erti kata lain, tanpa kehadiran ialah, ayat (1), (2) dan (3) yang dibina tetap gramatis:

Bunga simpur bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Lelaki itu Yusri.
Angin udara yang bergerak.

Namun yang demikian, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri ‘ialah’ dapat membantu meningkatkan  kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas, seperti contoh berikut:

Lelaki yang baru saja memasuki dewan itu ialah Yusri.


KATA PEMERI ‘ADALAH’

Kata pemeri ‘adalah’ diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama bagi menjelaskan sesuatu secara huraian, seperti contoh ayat berikut:
.        
      Kepakaran beliau adalah dalam bidang komputer.
[… adalah + frasa sendi nama  ‘dalam bidang komputer’]

5      Hadiah ini adalah untuk Nurul di sekolah.
     [… adalah + frasa sendi nama  ‘untuk Nurul di sekolah’]

6     Rupa-rupanya berita yang kita dengar selama ini adalah palsu.
[… adalah + frasa adjektif  ‘palsu’]

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu baku, kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan di hadapan kata kerja atau frasa kerja, seperti berikut:
7
           Adalah dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (SALAH)
Dengan ini dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari Isnin depan.  (BETUL)
8 
          Amalan bergotong royong adalah merupakan amalan mulia.  (SALAH)
Amalan bergotong royong merupakan amalan mulia.  (BETUL)


UJI DIRI

Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan memilih kata pemeri yang betul, sama ada ‘ialah’ atau ‘adalah’.

1    Dengan markah 89.5%, johan pertandingan pidato  _________ Farid.

2    Buah-buahan tempatan kegemaran Hasibah _________ durian, rambutan, nangka dan mata kucing.

3    Warna kegemaran Hidayah ________ kuning, merah jambu dan hijau .

4    Lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ ________ lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

5    "Novel yang saya beli tadi ada ______ adik,” kata Masnor.

6    Azim akan menyerahkan hadiah itu ______ tunangnya ______ hari esok.



Sila emelkan jawapan anda kepada rosainora@gmail.com untuk mendapatkan maklum balas. 



Disesuaikan daripada:
Explorasi Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 1, 2003.

Disediakan oleh:
Cikgu Muhammad Husaini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan