Jumaat, 25 Januari 2013

Tunjuk Ajarku Guru: Menulis Perenggan Pendahuluan?


Melalui segmen "Tunjuk Ajarku Guru" pada kali ini, saya akan memberi serba sedikit panduan kepada para pelajar tentang teknik menulis perenggan pendahuluan (khususnya bagi karangan jenis pendapat/perbincangan).  Semoga panduan ini akan dapat membantu para pelajar menghasilkan perenggan pendahuluan yang baik.

 

PERENGGAN PENDAHULUAN 
Binaan perenggan pendahuluan adalah seperti berikut:

  1. Ayat Rangsangan [Memperkenalkan tajuk]
  2. Huraian Sokongan [Definisi/Maksud/Erti tajuk dan contoh-contoh]
  3. Ayat Arah [Memperkenalkan kunci tajuk].


Contoh Soalan 1:

Kes remaja lari dari rumah merupakan kes yang sering diperkatakan pada zaman kini. Bincangkan punca-punca berlakunya masalah ini.


Tajuk bagi Soalan 1 : Kes remaja lari dari rumah


Kunci tajuk bagi Soalan 1: Punca-punca


Contoh Perenggan Pendahuluan:

[1] Golongan remaja sering dikaitkan dengan masalah lari dari rumah. [2] Mereka merupakan golongan yang berusia antara 12 hingga 18 tahun dan biasanya berada dan bersekolah di peringkat sekolah menengah.  Manakala, lari dari rumah bermaksud meninggalkan rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.    [3] Dalam hal ini, terdapat beberapa punca berlakunya kes remaja lari dari rumah seperti yang akan dibincangkan berikut:


UJI DIRI :
LATIHAN MENULIS PERENGGAN PENDAHULUAN

Bina perenggan pendahuluan bagi soalan-soalan berikut:


  • Sejak kebelakangan ini, kita sering didedahkan dengan berita-berita kemalangan jalan raya.  Pada pendapat anda, apakah punca-punca berlakunya masalah tersebut?
  • Bincangkan kebaikan dan keburukan telefon bimbit.


Disediakan Oleh:
Cikgu Ros Linawati