Selasa, 11 Disember 2012

Seni Kreatif: Kita, Engkau dan Aku

Sajak ini merupakan hasil nukilan saya sendiri yang saya hasilkan bagi mengenang kenangan pahit manis dan segala perjuangan, semangat serta cita-cita ahli-ahli SARPEN BAYU sepanjang mengikuti kursus Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu sesi 2011/2012 selama setahun.  
Sajak ini telah dideklamasikan oleh salah seorang rakan saya Ros Linawati Tindeh sewaktu Majlis Perpisahan antara ahli-ahli SARPEN BAYU dengan pensyarah-pensyarah kursus Pendidikan Bahasa Melayu sesi 2011/2012 yang diadakan pada 6hb. Disember, 2012 yang telah lalu.  
Kita, engkau dan aku
telah berjaya melewati liku
terhimpun kenangan pahit manis
dari kosong menjadi padu
semakin kenal semakin cinta
cinta seorang teman
cinta persahabatan dan perjuangan
cinta ilmu
cinta yang tertinggi nilainya.

 

Kita, engkau dan aku
pada hari ini sudah berada di titik akhir
engkau kulihat gembira
aku pun engkau lihat sama
cantik dan wajah manis
bahagia dan gembiranya kita hari ini
tapi aku tahu kita takkan lupa
kerana kita pernah menangis
kita pernah kecewa
kita pernah hampa
kita pernah hilang
kita pernah sakit
kita masing-masing pernah
tetapi kita berjaya menghadam semuanya
demi kejayaan masa hadapan.

 

Kita, engkau dan aku
sama-sama mengerti
matlamat perjuangan
dan akan selalu kukenang
budi yang telah kau hulur
maka terima kasihku
terima kasih atas jasa budimu.

 

Kita, engkau dan aku
berpisah cuma sementara
ingatlah persahabatan tak boleh lupa
dekat di hati
terpatri
moga kita berjaya nanti
merealitikan mimpi
bukan fantasi.



Oleh Md Husaini @06 Dis 2012, 3.45 pagi

Isnin, 10 Disember 2012

Aktiviti Bahasa: Majlis Perpisahan antara Ahli-ahli SARPEN BAYU dengan Pensyarah Kursus Pendidikan Bahasa Melayu Sesi 2011/2012

Acara bergambar ramai ahli SARPEN BAYU dengan pensyarah kursus Pendidikan Bahasa Melayu

Baru-baru ini iaitu pada 6hb. Disember, 2012 (Hari Khamis), ahli-ahli SARPEN BAYU (Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu) bagi sesi 2011/2012 telah berkesempatan mengadakan satu majlis perpisahan bersama pensyarah-pensyarah kursus Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Brunei Darussalam, bertempat di Restoran ANEKA RASA Kiulap.

Majlis pada hari itu dimulakan pada jam 11.15 pagi.  Antara aturcara majlis yang disusun pada hari itu ialah bacaan doa selamat yang diketuai oleh Mohd. Yusri bin Haji Abdullah, ucapan daripada wakil ahli SARPEN BAYU iaitu Muhd. Husaini bin Haji Mat Yassin dan ucapan pensyarah kursus Dr. Haji Yahya bin Haji Othman dan Dr. Hajah Suraya binti Haji Tarasat, penyampaian cenderahati kepada pensyarah-pensyarah kursus, deklamasi sajak yang bertajuk "Kita, Engkau dan Aku" daripada saya sendiri dan nyanyian "Seribu Impian" daripada Muhd. Husaini bin Haji Mat Yassin. 


Ahli-ahli SARPEN BAYU juga mengadakan acara kejutan buat pensyarah kursus Dr. Haji Yahya bin Haji Othman dan Dr. Hajah Suraya binti Haji Tarasat, iaitu acara memotong kek.

Turut diundang ke majlis tersebut ialah Cikgu Noradinah binti Haji Jaidi, Cikgu Sri Kartika binti Abdul Rahman dan isteri Dr. Haji Yahya.

Disediakan Oleh:
Ros Linawati



Isnin, 19 November 2012

Aktiviti Bahasa: Upaya Meningkatkan Kemahiran Lisan Pelajar dengan Menggunakan Teknik Perbahasan

Baru-baru ini, ahli-ahli 'Serambi Pelita Ilmu' telah berkesempatan menjalankan kajian tindakan di salah sebuah sekolah menengah di negara ini.  Tajuk kajian ialah "Upaya Meningkatkan Kemahiran Lisan Pelajar dengan Menggunakan Teknik Perbahasan".  Kajian ini dijalankan sebagai memenuhi salah satu keperluan projek kerja kursus EO-5306: Kemahiran Berfikir dalam Pendidikan Bahasa.  Hasil dan dapatan kajian dikongsi bersama ketika sesi pembentangan dijalankan baru-baru ini, iaitu pada 17hb. November, 2012 (Hari Sabtu).  

Berikut dikongsikan slaid pembentangan 'power point' pelaksanaan kajian: