Isnin, 15 Oktober 2012

Berfikir Sejenak: Apakah Kepentingan Berfikir dalam Kehidupan?






Dalam Kamus Dewan ( 1984) perkataan kritis ditakrifkan  sebagai  tidak dengan begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu .  Perkataan kritis berasal daripada perkataan Inggeris ‘Critic’.  Manakala dasar kritis merupakan perkataan Greek ‘Krithsbermaksud menimbang.

Sama ada menimbang sesuatu  itu benar atau salah . Sehubungan dengan itu , pemikiran kritis bukan hanya berkisar kepada soal–soal mengkritik sahaja tetapi sepatutnya dilihat dari perspektif yang membina dan objektif.  Oleh itu, apa pentingnya elemen kemahiran berfikir dalam kehidupan? 

Dalam persekitaran dinamik yang sering berubah-ubah ini, pengetahuan merupakan aspek yang paling penting dan boleh membantu setiap individu atau organisasi untuk terus maju dan berdaya saing.  Berfikir adalah latihan mengasah akal yang boleh menghasilkan pelbagai kekuatan pada daya fikir seperti kreativiti serta inovasi.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hujarat: 
يَأُيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيْبُوا قَومًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini.  Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan" (Surah al-Hujarat:6).

Riwayat juga ada mengatakan bahawa ' berfikir sejenak lebih baik daripada beribadat setahun’.  Ini bermakna penelitian dan penilaian terhadap sesuatu maklumat amat penting agar kita tidak tersalah dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan lebih-lebih lagi melibatkan orang lain yang akan membawa akibat yang lebih besar dan buruk seperti penganiayaan, kezaliman dan fitnah.

Satu kemestian bagi kita untuk berfikir sebetul-betulnya sebelum kita bercakap tentang sesuatu tak kira dari sudut kebenaran faktanya, faedahnya, kelebihannya dan lain-lain kerana kata-kata yang keluar dari mulut kita akan ditapis oleh orang lain setiap satu perkataannya, dan kata-kata yang keluar tanpa pemikiran yang jelas akan secara langsung menunjukkan keaiban dan kependekan akal kita dalam berfikir.  Jadi fikir-fikirkanlah.  Bak kata pepatah Melayu 'Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata buruk padahnya'.