Khamis, 20 September 2012

Tips dan Panduan: Jadikan Pembelajaran Sesuatu Yang Menyeronokkan



Sememangnya upaya menjadikan pembelajaran yang menyeronokkan telah sekian lama difikirkan dan diusahakan oleh guru-guru dan pakar-pakar pendidikan seluruh dunia.  Pelbagai cara atau kaedah telah dicipta ke arah itu dan kita selaku guru juga telah banyak mencuba kaedah atau cara tersebut.   Namun, kita sedia maklum tidak semua kaedah atau cara yang dicipta itu berkesan.  Kaedah-kaedah atau sesuatu cara pengajaran itu pula ada kelemahan-kelemahannya.  

Pada kali ini, saya tertarik membicarakan isu pembelajaran yang menyeronokkan yang telah dibincangkan oleh Ahmad Fadzli Fauzi di dalam bukunya ‘Bagaimana Merangsang Seronok Belajar’.  Dalam buku ini banyak tips yang sangat berguna bagi para guru dalam usaha memotivasikan pelajar untuk mencintai ilmu pengetahuan.  Terdapat 20 aktiviti seronok belajar yang dihuraikan di dalam buku ini, antaranya Crossword Puzzle, Mnomenic, Mini Treasure Hunt, Bisikan Keramat dan sebagainya.

Saya bersetuju dengan kenyataan penulis bahawa mengajarkan pelajar yang memiliki sikap negatif terhadap pelajaran adalah cabaran yang besar bagi seorang pendidik.    Saya sendiri pernah merasakan ilmu yang saya curahkan umpama air yang dicurahkan ke daun keladi saja.  Kekecewaan.  Itulah yang sering berlaku apabila berhadapan dengan minda dan jiwa muda sebilangan pelajar yang tertutup.  Namun, saya percaya semua guru mengidamkan pembelajaran yang menyeronokkan.  Pembelajaran yang menyeronokkan adalah apabila seorang guru berjaya mengubah persepsi negatif pelajarnya bahawa belajar itu sesuatu yang membosankan dan memenatkan.

Dalam buku ini penulis mengingatkan bahawa peluang untuk anak-anak yang tercicir dan tidak berpendidikan terjebak melakukan hal-hal buruk adalah tinggi.  Jika hal ini tidak ditangani dari peringkat akar umbi, anak-anak berkenaan bukan saja merosakkan diri mereka sendiri bahkan orang lain juga.  Dari itu, menjadi tanggungjawab kita selaku guru untuk sama-sama berusaha membimbing mereka dengan menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan.  Tetapi, bagimanakah caranya belajar itu boleh menjadi seronok?

Sebagai langkah mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan, penulis telah menyarankan empat perkara asas yang perlu dilakukan para guru, iaitu berikut:

i.                    Baca dan baca
Guru perlu memiliki sikap ingin memajukan diri sendiri.  Dalam erti kata lain, guru perlulah ada inisiatif untuk menambahkan ilmu dalam bidang pendidikan.  Jangan terlalu mengharapkan pihak kerajaan untuk menyampaikan segala maklumat tentang perkembangan dunia pendidikan sekarang.  Sebagai pencinta ilmu, warga pendidik perlu memiliki sikap suka membaca untuk menambah ilmu, misalnya tentang ilmu pedagogi.  Warga pendidik juga perlu memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat yang ada untuk mempertingkatkan kemahiran mengajar.  Konsep-konsep pendidikan yang terkandung dalam bahan-bahan bacaan pula hendaklah difahami dan dihadam semaksimanya.

ii.                  Tulis catatan dan conteng
Jangan sayang kertas dan dakwat pen.  Penulis menyarankan agar guru membiasakan untuk membuat nota atau catatan, atau mengaris isi-isi penting yang terkandung dalam sesebuah bahan bacaan.  Jangan takut hendak mengotorkan bahan-bahan rujukan, biarlah berbaloi kita memilikinya.

iii.                Buat latihan
Seterusnya, selepas memahami semua konsep di dalam sesebuah bahan bacaan, berlatihlah mengaplikasinya.  Untuk mengelakkan rasa ‘pening kepala’ penulis mengesyorkan agar kita memilih dan mencuba satu cara sahaja dulu dan berlatihlah mengaplikasikannya dalam bilik darjah.  Guru yang komited terhadap tugas perlu berani melakukan eksperimentasi terhadap kepelbagaian kaedah pengajaran.

iv.                 Berdoa dan jangan berputus asa
Akhir sekali, selain berusaha jangan tinggal untuk berdoa supaya segala usaha kita akan mendapat kejayaan.  Sekiranya gagal kali pertama, usaha lagi.  Cari kelemahan dan kekurangan dan teruslah memperbaiki mutu pengajaran kita kerana ‘Usaha itu tangga kejayaan’.



Disesuaikan daripada:
Buku ‘Bagaimana Merangsang Seronok Belajar’,
Ahmad Fadzli Fauzi (2009), PTS Professional Publishing Sdn., Bhd, Kuala Lumpur.

Disediakan oleh:
Muhammad Husaini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan